URBAN

Pengaruh Ramli sejauh India

Pengaruh Ramli sejauh India




APABILA bercakap tentang tarian klasikal India, nama Ramli Ibrahim pasti tidak lekang di bibir peminat yang mengagumi kehebatan beliau dalam setiap persembahan yang dilakukan.

Figura yang dikenali sebagai pereka tari terkemuka di Malaysia ini terutama menerusi tarian Bharata Natyam dan Odissi itu telah berjaya melahirkan ramai penari berbakat dalam tarian klasik India menerusi Yayasan Sutra yang ditubuhkannya sejak 1983.

Terbaru, Ramli, 57, dan produksinya tampil dengan persembahan mega Vision of Forever yang berlangsung dengan jayanya di Istana Budaya dari 22 hingga 25 April lalu.

Bertindak sebagai Pengarah Artistik, Ramli berkata muzikal Vision of Forever merupakan kesinambungan kejayaan persembahan itu yang pernah dianjurkan pada Disember 2006 di Kalakshetra, Chennai, India.

Rentetan daripada sambutan di luar jangkaan yang diterima, tenaga produksi itu kemudian mengadakan siri jelajah ke selatan India pada tahun 2007 untuk membuat persembahan termasuklah di Delhi, Jaipur, Mumbai, Coimbatore dan Banglore.

"Kali terakhir kami mengadakan persembahan membabitkan Sutra Odissi adalah pada tahun 2005 menerusi pementasan Spellbound di Istana Budaya.

"Boleh dikatakan persembahan ini sebagai kemunculan semula untuk dinikmati oleh peminat tarian Odissi di Malaysia yang tahu menghargai ketinggian nilainya," ujar Ramli ketika ditemui Kosmo! di Yayasan Sutra yang terletak Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Mengulas lebih lanjut, Ramli berkata pementasan Vision of Forever mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ia menterjemahkan contoh tarian terbaik yang dipelajari dari guru Odissi beliau, mendiang Guru Deba Prasad Das.


PADA usia 57 tahun, Ramli masih komited menjayakan persembahan tarian klasik India untuk kepuasan diri.


"Persembahan ini saya dedikasikan kepada mendiang yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai seni tari Odissi yang mempunyai fenomena tersendiri," jelasnya.

Secara keseluruhan terdapat 21 penari dari Sutra Dance Theatre berusia di antara 11 hingga 57 tahun telah menjayakan pementasan muzikal yang menerima sentuhan pereka set dan penataan cahaya oleh Sivarajah Natarajan itu.

Selain Ramli, persembahan tersebut turut menampilkan tiga penari terkenal yang memegang watak utama iaitu Guna, Rathimalar dan Revathi. Mereka sememangnya begitu sinonim dengan Sutra Dance Theatre.

Reka gerak tari

Menurut Rathimalar yang ditemui selepas berakhirnya pementasan Vision of Forever pada malam pertama 22 April lalu, dia sangat berpuas hati dan gembira kerana dapat beraksi semula di Malaysia. Apatah lagi dalam persembahan ini, dia berpeluang menari bersama Ramli menerusi watak utama yang dijayakan.

"Saya sangat gembira dan teruja apabila dapat beraksi di pentas Istana Budaya kerana sudah hampir 10 tahun saya tidak menari bersama Ramli kerana terlalu sibuk dengan rutin tarian di Australia.

"Namun, apa yang lebih menyeronokkan apabila Ramli turut memberi peluang kepada saya untuk mereka gerak tari sendiri dan meluahkan pendapat saya mengenai koreografi yang telah dihasilkan beliau.

"Tindakan Ramli itu membuatkan saya rasa amat dihargai dan sememangnya saya bangga kerana terpilih menjayakan pementasan bertaraf mega ini," tutur Rathimalar sambil tersenyum puas.

Bagi seorang lagi penari Sutra Dance Theatre, Tan Mei Mei yang mula terlibat dalam tarian India sejak berusia 12 tahun, persembahan pada malam itu merupakan permulaan untuk produksi mereka mengorak langkah lebih jauh.


VISION of Forever menyaksikan Rathimalar kembali berpasangan dengan Ramli selepas 10 tahun tidak menari bersama.


"Banyak yang dapat dipelajari daripada persembahan kali ini yang memerlukan kekuatan dari aspek fizikal dan mental. Ia benar-benar memberi kepuasan kepada kami terutama dalam kerjasama yang dijalinkan antara penari.

"Ternyata, pujian seharusnya diberikan kepada guru kami, Ramli yang begitu bersemangat dan mempunyai wawasan tinggi untuk melahirkan barisan pelapis penari klasik India di negara kita," kata Mei Mei yang sudah enam tahun menyertai Sutra Dance Theatre.

Dengan harga tiket sebanyak RM52, RM72 dan RM102, persembahan Vision of Forever memang mempunyai aura yang sukar dinafikan kerana sepanjang empat malam dipentaskan, ia berjaya menarik kehadiran ribuan penonton termasuk yang sanggup datang dari India.

Malah, mereka yang hadir juga terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India di samping pelancong asing yang meminati dan mengikuti perjalanan seni Ramli Ibrahim.

Salah seorang daripada peminat Ramli yang begitu setia ialah Lalit Verma yang datang dari India bersama isterinya demi menyaksikan persembahan sulung Vision of Forever edisi Malaysia.

Lalit yang sanggup menempuh perjalanan 3,238km demi sebuah persembahan itu memberitahu, ia satu pementasan yang menakjubkan. Gerak tari dan ketepatan langkah para penari memerlukan latihan yang jitu untuk menjayakannya.

"Secara peribadi saya akui cemburu kerana Malaysia mempunyai Ramli Ibrahim sebagai salah seorang daripada puluhan juta rakyat di negara ini.

"Ramli boleh diibaratkan sebagai khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Bahkan ramai rakyat India mengagumi kehebatan Ramli dalam dunia tarian klasik India. Bagi saya, Ramli adalah 'hero' kami di India," tegas Lalit yang sudah menyaksikan lebih 50 persembahan Ramli di peringkat antarabangsa.


KOREOGRAFI yang penuh kelembutan dan keindahan yang dipersembahkan merupakan hasil kerja keras Ramli bersama anak didiknya di Sutra Dance Theatre.


Sempena pementasan itu juga, Ramli telah mengundang seorang pelukis terkenal dari India, Chelian untuk mengadakan pameran berkaitan gerak tari yang dihasilkan Ramli.

Pameran bertajuk Visvaroopa itu pada mulanya dipamerkan di Istana Budaya pada 22 hingga 25 April sebelum berpindah ke Galeri Sutra yang beralamat di No. 12, Persiaran Titiwangsa 3, Taman Tasik Titiwangsa sehingga penghujung Mei ini.

Persembahan Vision of Forever pula akan menjelajah ke seluruh negara melalui sembilan siri pementasan selepas Istana Budaya iaitu di Ipoh, Georgetown, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Sungai Petani.

Semua persembahan itu akan berlangsung sepanjang bulan Mei hingga Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.sutradancetheatre.com atau hubungi Yayasan Sutra di talian 03-4021 1092 dan 03-4022 9669.

Process time in ms: 15