HIBURAN

Alyah sanggup bela anak luar nikah

Alyah sanggup bela anak luar nikah


SITI dan Saida menyokong penuh kempen Kami Prihatin.


TIDAK kira siapa anda selagi bernama manusia - sama ada lelaki atau perempuan, perasaan pasti akan tersentuh bila melihat gambar-gambar bayi yang dibuang di merata-rata tempat di negara ini.

Apatah lagi bila membaca artikel mengenai bayi yang dijumpai di tong sampah sehingga berulat, tepi jalan, malah di balang gula, terasa sakit hati dan geram dengan segelintir manusia yang berhati kejam membuang bayi mereka seperti orang yang tidak bertamadun.

Semua ini berpunca daripada kebanyakan pasangan kekasih yang terlanjur sehingga 'menghasilkan' anak tanpa disengajakan. Disebabkan malu dengan keluarga dan masyarakat, mereka sanggup membuang bayi mereka yang baru dilahirkan itu.

Memandangkan gejala buang bayi semakin menjadi-jadi di negara kita, Utusan Malaysia mengambil inisiatif melancarkan kempen Kami Prihatin dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, stesen televisyen Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Kempen tersebut menjadi lebih bermakna dengan sokongan para artis.

Seramai 20 penyanyi tempatan yang antaranya ialah Datuk Siti Nurhaliza, Hattan, Aishah, Amy Search, Lah Ahmad, Aizat, Amy Mastura, Fauziah Latiff, kumpulan Flava, Alyah dan Amylea, telah bergabung suara merakamkan lagu kempen Kami Prihatin, iaitu Harapan Tanpa Suara yang dihasilkan oleh komposer S. Atan dan penulis lirik, Habsah Hassan.

Mereka sanggup mengorbankan komitmen lain bagi menjayakan kempen ini dengan menyedarkan dan menarik perhatian umum untuk membantu kerajaan membanteras gejala pembuangan bayi.

Sedih dengan sesetengah kelakuan masyarakat yang bertindak tanpa berfikir kesannya, penyanyi popular, Alyah, bangga kerana berpeluang melibatkan diri dalam kempen Kami Prihatin.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu, dia sanggup melakukan apa sahaja bagi mengurangkan jenayah itu malah sanggup mengambil bayi yang enggan dijaga oleh keluarga sebagai anak angkatnya.

"Walaupun saya belum berkahwin, saya sudah memiliki dua orang anak angkat dan saya tersentuh bila melihat bayi-bayi yang dibuang ibarat sampah.

"Menyertai kempen ini, tiada apa yang saya harapkan, melainkan dapat mengubah pemikiran masyarakat iaitu ibu dan bapa kepada bayi yang dibuang serta keluarga yang tidak menerima kehadiran anak luar nikah itu.


MEREKA prihatin (dari kiri), Hattan, Amy Mastura, Umie Aida, Fauziah Latiff dan Amy Search.


"Kalau tak mahu anak itu, carilah jalan penyelesaian lain dengan menghantar ke rumah kebajikan atau beri kepada orang yang boleh menjaga bayinya.

"Bagi saya, jika ada yang datang dan menyerahkan bayi anak luar nikahnya kepada saya, saya sanggup bela. Bayi itu tak bersalah pun.

"Harapan saya agar kempen ini akan berterusan sampai bila-bila agar masyarakat kita akan sedar betapa buruknya implikasi yang terhasil daripada kes seperti ini," katanya selepas pelancaran Kempen Kami Prihatin di KL Sentral baru-baru ini.

Jalan mudah

Lain pula pendapat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Dia sebaliknya enggan memberi jalan mudah kepada golongan yang memiliki anak luar nikah dengan menerima anak tersebut sebagai anak angkatnya.

Bagi Siti, jika dia menerima anak hasil daripada keterlanjuran sesebuah pasangan tersebut, ia berkemungkinan besar dapat mengulangi lagi kesilapan sosial tersebut.

"Mana yang nasi sudah menjadi bubur, kita perlu prihatin dengan mereka agar bayi yang dikandung tidak mati bila lahir nanti gara-gara dibuang ibunya.

"Tapi saya juga tak mahu memberi input, 'ya, saya terima budak itu', kerana ini lebih menggalakkan mereka untuk membuat kesilapan yang sama. Sedangkan kita patut ajar mereka bagaimana mahu menjaga diri dan anak yang dikandung, dimana waktu itu keluarga sudah tidak menerima mereka.

"Kita juga perlu membantu golongan ini untuk menyelesaikan masalah mereka jika mereka enggan menjaga bayi yang dilahirkan itu. Sebab itu kempen ini mempunyai talian 15999 untuk menyelesaikan kekusutan mereka.

"Perlu diingat, anak itu adalah anugerah yang terindah daripada Allah. Mengapa mereka harus diperlakukan sebegitu? Apakah dosa anak kecil itu sehingga menemui ajak dalam keadaan yang sangat menyayat hati?

"Masyarakat pula, terutamanya keluarga, usahlah menghukum dan menyisihkan golongan yang terlanjur ini. Sebaliknya mereka perlu duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian untuk langkah seterusnya," kata Siti yang menegaskan kepada golongan muda agar jangan memikirkan keseronokan yang akhirnya boleh mengundang musibah pada diri sendiri.

Tambah Siti, hasil gabungan ramai artis tempatan menerusi lagu Harapan Tanpa Suara dengan muzik video yang sangat menyayat hati, ia sudah cukup menjelas situasi gejala pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi

Cepat menghukum

Bagi penyanyi pujaan ramai wanita, Anuar Zain pula, dia antara penyanyi yang terawal bersetuju untuk terlibat serta menyumbangkan suara dalam lagu kempen tersebut.


PENGLIBATAN golongan artis diharap mampu membuahkan kejayaan bagi kempen Kami Prihatin.


Katanya, kempen sebegini patut dibuat sejak dahulu lagi agar timbulnya kesedaran terhadap masyarakat umum.

Pelantun lagu Lelaki Ini itu berpendapat, masyarakat tempatan terlalu cepat menghukum terhadap daripada memikirkan cara menyelesaikan masalah.

"Sikap itu sudah menunjukkan betapa ceteknya pemikiran mereka dalam menangani isu-isu sebegini. Mereka cuma fikir apa orang luar akan berkata tentang mereka, dan tidak terfikir apa yang akan jadi dengan bayi yang dikandung itu bila dilahirkan nanti.

"Bila membaca kisah-kisah bayi yang dijumpai dengan keadaan yang memilukan, saya sedih. tergamak mereka berbuat demikian.

"Sebab itu bila saya diajak untuk menyertai kempen ini, saya terus setuju. Saya rasa, dengan cara ini (berkempen) dapat menyedarkan masyarakat. Tambah pula menerusi lagu Harapan tanpa Suara, saya percaya, ia akan berkesan," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah melancarkan kempen Kami Prihatin Jumaat lalu dan turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Lagu Harapan Tanpa Suara kini sudah boleh didengar menerusi radio naungan Astro seperti Era, XFM, Sinar dan Gegar dan boleh diikuti melalui laman web www.utusan.com.my.

Process time in ms: 31