HIBURAN

Suami Maya pulang ke England?

Suami Maya pulang ke England?




SEJAK berita pergolakan rumah tangga aktres terkenal Maya Karin menjadi tatapan umum bermula Februari lalu, tiada banyak yang diluahkan oleh anak kacukan Melayu-Jerman itu.

Lebih banyak berdiam diri dan cuba mengelak daripada menjawab soalan terlalu peribadi yang disifatkan hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Terbaru, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke cukup terkejut dengan sesetengah pihak yang lebih arif tentang rumah tangganya daripada dirinya sendiri.

Ini berikutan tersebar di Internet kononnya suami Maya yang bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa telah menghantar notis berhenti kerja dan bakal pulang ke kampung halamannya di England.

"Saya tidak mahu komen tentang apa disebarkan di Internet itu. Biarlah mereka nak cakap apa sekali pun, saya sudah tidak kuasa lagi. Hanya saya yang tahu perkara sebenar apa yang berlaku dalam rumah tangga saya," luahnya dalam nada suara sedikit bergetar.

Tidak melenting atau meradang, Maya ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta terbaru produk tilam Vono cukup terkenal dengan sikap suka berterus-terangnya itu dengan tenang menjawab perkembangan pergolakan rumah tangganya yang dikaitkan dengan kehadiran aktor Remy Ishak.

"Saya akui kehadiran gosip antara saya dan Remy sudah tentu tidak membantu keadaan. Kami hanya berkawan baik tidak lebih daripada itu. Apa yang saya hairan, apabila berlaku keretakan hubungan dalam perkahwinan dan percintaan kenapa mesti dikaitkan dengan orang ketiga?


MAYA menegaskan masih berada dalam proses untuk memperbaiki semula hubungan kasih bersama suaminya, Muhammad Ali.


"Memang saya dan suami ada masalah tetapi apa masalah itu biarlah saya dan suami sahaja yang tahu. Ingin saya tegaskan apa yang berlaku bukan kerana orang ketiga," tuturnya.

Tambahnya lagi, setiap perkahwinan pastinya berlaku masalah, ia tidak seindah ketika di alam percintaan. Kini, tiba gilirannya pula menghadapi ujian tersebut.

Akuinya, meskipun sudah tidak sebumbung dengan suaminya Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali, 41, perasaan sayangnya pada suami masih tebal dalam diri.

"Saya masih sayang pada suami. Biasalah, setiap pasangan suami isteri pasti ada perasaan sayang itu. Sama juga dengan saya," katanya yang mula mengenali suaminya sejak berusia 21 tahun.

Masih berusaha untuk memperbaiki hubungannya bersama suami yang dinikahi di Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008 itu, Maya yang kini berusia 31 tahun bagaimanapun enggan berkongsi sejauh mana dia berjaya membaiki hubungannya itu.

"Semuanya masih dalam proses dan saya masih berusaha untuk memperbaiki hubungan kami. Saya tidak mahu beri komen lebih-lebih kerana ia terlalu peribadi," tegasnya.

Remuk hati

Biarpun badai sedang melanda dirinya dan bermacam kata nista dilemparkan kepadanya ekoran episod suram dalam perkahwinannya, Maya tidak mahu berbohong.


TIDAK melenting mahupun meradang tidak tentu hala, Maya Karin berbicara penuh profesional mengenai Remy Ishak yang dikaitkan dengan krisis rumah tangganya.


Nampak gembira dengan senyuman manis di bibir, perit dan duka yang ditanggung Maya cukup berat untuk dipikulnya. Mujur dia mempunyai sahabat dan keluarga yang teguh berdiri menyokongnya biar apa pun yang terjadi.

"Hati saya hanya saya sahaja yang tahu. Orang hanya boleh nampak luaran tetapi tidak ke dalam hati saya. Saya sudah cakap apa yang perlu terpulang kepada mereka di luar sana untuk mempercayainya atau pun tidak

"Saya bersyukur saat saya dilanda masalah seperti ini saya dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang tidak berhenti menyokong saya. Saya juga ingin meminta maaf kepada peminat yang kecewa dengan apa yang berlaku," katanya yang dilihat cuba mengumpul kekuatan untuk tidak nampak lemah di hadapan media.

Walaupun rumah tangganya sedang dilanda taufan yang entah akan pulih atau tidak, kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa malah, lebih ligat berbanding dengan tahun sebelumnya.

Bersyukur kerana ada pihak yang tidak menghakimi dirinya hanya kerana masalah peribadi tetapi menilai hanya pada bakat semata-mata.

"Alhamdulillah, kerja masih berjalan seperti biasa, malah semakin sibuk. Saya kini sedang menilai dua buah skrip filem dan sedang menyiapkan album terbaru saya yang dijangka akan berada di pasaran pada tahun hadapan," katanya penuh optimis.

Tutur Maya, meskipun kehidupan harian sibuk sebagai pelakon dan pengacara program Nona, kadangkala masalah sedang melanda menganggu fokusnya.

Bagaimanapun tugasnya sebagai seorang selebriti menjadikannya lebih kuat. Pada pandangan mata khalayak dia harus berdiri kuat seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku.

"Saya harus nampak okey kerana sebagai orang yang dikenali saya mempunyai tanggungjawab. Semua orang juga mempunyai masalah bukan saya seorang sahaja. Banyak perkara yang saya harus fikirkan selain daripada masalah diri untuk meneruskan hidup," ujarnya lagi.

Pengganti Ziana Zain

Kecantikan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Maya menyebabkan dia sering menjadi pilihan kebanyakan syarikat gergasi untuk mengambilnya sebagai duta produk mereka.


PEMILIHAN Maya sebagai duta terbaru produk tilam Vono membuktikan di tahap mana nilai dan status bintang yang dimilikinya.


Masih kekal sebagai wajah Celcom, L'Oreal dan terbaru Maya dipilih menjadi duta terbaru produk tilam Vono menggantikan penyanyi terkenal Ziana Zain yang telah menjadi wajah produk tersebut selama 10 tahun.

"Ini satu penghormatan buat saya menggantikan satu nama yang cukup besar untuk produk ini," katanya.

Tidak berfikir panjang saat tawaran diberi kepadanya, terang Maya, dia hanya ingin menjadi wajah produk yang benar-benar berkualiti sahaja.

"Sebelum saya setuju untuk menjadi duta Vono, saya telah mencuba dulu tilam Vono. Secara peribadi memang saya suka dan cukup selesa tidur di atas tilam Vono. Begitu juga dengan ahli keluarga saya yang lain.

"Selain itu, saya juga pergi ke kilang pembuatan tilam ini di Bangi. Saya melihat sendiri bagaimana mereka buat tilam dan ia satu pengalaman yang cukup menarik," ceritanya yang menandatangani kontrak bersama Vono selama setahun.

Menariknya, sempena dengan pelantikan Maya sebagai duta baru mereka, Vono telah melancarkan produk terbaru mereka yang diberi nama Koleksi Penjagaan Tulang Belakang Maya Karin.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Horizon!»

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15