RENCANA UTAMA

Medan rezeki Yusuf Ong

Medan rezeki Yusuf Ong


MUHAMMAD YUSUF ONG (kiri) bersama para pekerjanya yang terdiri daripada mualaf.


KEPUTUSAN untuk bersara awal selepas hampir dua dekad berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak sia-sia apabila dunia perniagaan makanan yang diceburi tiga bulan lalu mula menunjukkan hasil.

Malah, mualaf yang tidak pernah putus asa itu beruntung apabila dunia barunya itu bukan sahaja menjadi punca pendapatan untuk menyara keluarga, bahkan ia juga menjadi medan mencari rezeki buat golongan saudara baru yang lain.

Muhammad Yusuf Ong, 45, yang mengucap dua kalimah syahadah pada 10 Ogos 1985 ketika ditemui sentiasa mengukir senyuman. Bapa kepada empat cahaya mata yang semuanya lelaki berusia di antara tiga hingga 18 tahun itu tidak menyesal dengan keputusannya mengusahakan Restoran Cina Muslim al-Munawarah.

Terletak di Jalan Tengku Ampuan Zabedah K9/K, Seksyen 9, Shah Alam, Muhammad Yusuf berkata, nama restoran itu diambil bersempena Madinah al-Munawarah. Ia membawa maksud bersinar-sinar dan bercahaya.

"Semasa menunaikan fardu haji pada penghujung tahun 2004, saya begitu terpesona dan kagum dengan Masjid Nabawi yang terletak di Madinah kerana ia begitu bercahaya. Sebab itu nama al-Munawarah itu saya abadikan pada restoran ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


YUSUF ONG (kanan) bersama Chef Razali Abdullah di samping hidangan yang ditawarkan di Restoran Cina Muslim al-Munawarah.


Diajak berbicara mengenai bilangan pekerja restoran itu yang dilihat dimonopoli oleh kaum Adam, Muhammad Yusuf atau nama sebelum Islamnya, Ong Liang Fatt memberitahu, 99 peratus daripada pekerjanya adalah lelaki.

Menurut Yusuf Ong, waktu bekerja yang lama yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 11 malam mungkin menjadi faktor mengapa kaum Hawa kurang berminat.

"Apa yang menarik mengenai restoran ini ialah penyediaan makanannya dilakukan oleh 16 orang pekerja Muslim dan kebanyakan mereka pula ialah mualaf.

"Malah, ketua tukang masak restoran iaitu Razali Abdullah baru memeluk Islam dan mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang masakan," ujarnya.

Bagaimanakah penjagaan penyediaan makanan restoran tersebut? Muhammad Yusuf berkata, setiap umat Islam sebenarnya perlu meneliti sudut makanan dan tidak boleh mengambil mudah dengan apa yang mereka makan.

"Makanan dan minuman akan menjadi darah daging sebab ia mempengaruhi jiwa. Makanan yang syubhah iaitu makanan yang diragui sama ada halal atau haram akan merosakkan hati," ujarnya.

Selain pengalaman beliau sendiri yang sukar mencari masakan Cina yang halal, suami kepada Siti Khadijah Sui Abdullah, 43, itu menambah, pembukaan restoran yang boleh memuatkan 130 pelanggan itu merupakan tanggungjawabnya untuk memudahkan umat Islam menikmati masakan Cina tanpa rasa ragu-ragu.

Sebanyak 117 menu ala-carte disediakan di restoran tersebut.


Restoran Cina Muslim al-Munawwarah menawarkan sebanyak 117 menu ala-carte.


Antara makanan yang popular ialah nasi ayam kong pau iaitu ayam dimasak menggunakan cili kering, halia muda, sos tiram dicampur dengan sos istimewa.

Selain itu, restoran itu juga menjual nasi ayam kam hong iaitu ayam yang dimasak dengan daun kari dan cili api.

"Restoran ini juga menghidangkan pelbagai makanan berasaskan daging, udang, ketam, ikan, sotong, lala, sup sirip yu dan itik panggang yang sememangnya popular dalam kalangan masyarakat Cina," katanya.

Restoran tersebut dibuka kepada orang ramai setiap hari kecuali Jumaat.

Process time in ms: 78