URBAN

Resah diancam musang pandan

Resah diancam musang pandan




BAU pandan yang ada di sekitar blok-blok E di bangunan flat Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur cukup merimaskan. Ini kerana bau itu bukanlah datang daripada tanaman pandan yang biasanya digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Sebaliknya aroma itu dikatakan berpunca daripada kelibat sejenis mamalia kecil yang berkeliaran di sekitar tempat kediaman lima tingkat itu.

Kehadiran haiwan noktural yang dilaporkan di sekitar blok E6, E8, E10, E12 dan E8, E10 dan E12 itu tidak pernah disenangi. Makhluk kecil yang dipanggil musang pandan itu dikatakan suka mencuri-curi masuk ke ruang balkoni dan dapur penduduk. Pada kebiasaannya mamalia itu dilihat berehat sambil mengambil angin di tingkat atas flat.

Seorang penduduk, Norhafizah Mohd. Nasir, 24, yang sudah tiga tahun menetap di kawasan itu berkata, kehadiran musang-musang pandan pada waktu senja adalah suatu pemandangan normal. Dia sendiri beberapa kali terserempak dengan mamalia kecil itu sewaktu bersiar-siar.

"Saya nampak warna musang itu hitam dan ada ekor yang kembang. Siap berlari-lari di dalam longkang. Cuma selepas itu ada bau pandan dan bau hancing yang kuat," katanya ketika ditemui di Seksyen 1 Wangsa Maju baru-baru ini.

Norhafizah melahirkan rasa bimbang juga sekiranya pintu belakang rumahnya yang sentiasa terbuka boleh mengundang kunjungan musang tersebut.

Bertembung di balkoni

Zainal Mohd. Din, 55, yang tinggal di blok berdekatan pula mengakui pernah mendengar keluhan jiran tentang kehadiran musang pandan di kawasan mereka. Dia yang lebih dua dekad menghuni di kawasan berkenaan menyifatkan masalah lambakan tikus mungkin mengundang kewujudan mamalia tersebut.

Keadaan perumahan di kawasan Wangsa Maju Seksyen 1 yang agak 'sesak' dengan tumbuhan-tumbuhan renek dan kebun oleh penghuni yang inginkan suasana luar bandar.


MUSANG pandan adakalanya menjadikan ruang bumbung kediaman sebagai habitatnya.


Ibu kepada tiga orang anak, Nur Azma Ismail adalah antara mereka yang pernah menerima 'kunjungan' musang pandan.

"Pagi itu, sekitar pukul 9, sewaktu pergi ke balkoni, saya terkejut melihat kelibat seekor haiwan di atas kabinet. Ingatkan kucing yang sedang tidur. Rupa-rupanya musang," cerita Nur Azma mengimbas kembali insiden yang berlaku beberapa bulan lalu.

Jirannya yang prihatin kemudian mendapatkan bantuan pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPA) untuk mengalihkan haiwan tersebut. Sayang sekali, belum sempat JPA tiba, haiwan yang berkebolehan memanjat itu sudah menghilangkan diri.

Azma yang tinggal di tingkat lima berpendapat kehadiran mamalia kecil di kawasan hutan konkrit mungkin bersebab. Percaya bahawa hidupan liar tidak akan muncul secara tiba-tiba, dia yang menjadi penghuni Wangsa Maju Seksyen 1 sejak 18 tahun lalu berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mungkin boleh mengambil tindakan sepatutnya.

"Jika benar musang pandan ini sudah tiada habitat asal, mungkin PBT atau Perhilitan perlu melakukan sesuatu," katanya dengan harapan musang pandan tidak lagi naik ke halaman.

Dalam tinjauan selama dua jam di sekitar blok-blok E baru-baru ini, Kosmo! sempat bertemu dengan dua orang penghuni tingkat lima di salah sebuah blok.

Siti Arnida Aripin, 22, dan jirannya yang hanya ingin dikenali sebagai Shah, 50, pernah diganggu oleh bunyi bising dari atas siling rumah sekitar tengah malam. Tidur yang nyenyak tiba-tiba terganggu apabila mereka terpaksa memekakkan telinga mendengar bunyi seakan-akan makhluk kecil berkejaran dari satu hujung ke hujung siling.

"Agaknya musang pandan itu kejar tikus kot. Aktiviti kejar-mengejar itu berlangsung kira-kira 10 minit," cerita Shah yang merupakan seorang pesara tentera.

Menurut Shah, keadaan pokok-pokok di sekitar kawasan perumahan itu juga bukan satu berita baik. Ketinggian pokok-pokok yang dilihat melebihi ketinggian blok lima tingkat itu dikhuatiri menjadi tempat hidupan liar itu berteduh.

Siti Arnida yang menetap bersama keluarganya pula berkata, pernah sekali bapanya mengambil tindakan sendiri apabila menyedari bunyi 'riuh-rendah' dari atas siling.

Suka lokasi terbuka

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar (Mamalia Kecil) Perhilitan, Mohd. Rufino Baipura Muhammad yang dihubungi Kosmo! berkata, kehadiran musang pandan di kawasan terbuka bukanlah perkara aneh.


ADAKAH sang musang memanjat naik ke bumbung menggunakan saluran air hujan ini?


Pada asasnya, musang pandan atau nama sebenarnya musang pulut juga jarang sekali ditemui di kawasan hutan-hutan tebal. Sebaliknya, mamalia kecil daripada spesies Paradoxurus hermaphoroditus (Famili: Viverridae) itu lebih suka berkeliaran di lokasi terbuka atau pembangunan termasuk kebun dan ladang kelapa sawit.

Menurut Mohd. Rufino, nama musang pandan pada asalnya merupakan panggilan yang diberikan oleh penduduk kampung untuk haiwan berbulu panjang dan kasar serta berwarna coklat itu.

"Terdapat tiga jalur memanjang dan berwarna perang gelap di tengah atas badan musang tersebut.

"Selain kakinya yang berwarna kelabu kehitaman, terdapat satu titik putih di kedua-dua belah lubang hidungnya," kata beliau sambil memberitahu kelibat musang biasa ditemui di kawasan Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut tentang kemungkinan kehadiran tikus sebagai sumber makanan, Mohd. Rufino lantas mengiyakan bahawa selera mamalia kecil itu sememangnya haiwan kecil.

Selain tikus, sesetengah musang pandan juga menjadikan burung, ayam dan buah-buahan sebagai hidangannya. Pendek kata, mamalia noktural itu bukan haiwan pemilih.

Suka menetap di atas pokok atau ranting-ranting pada siang hari, haiwan itu lazimnya boleh melahirkan sehingga empat ekor anak di dalam lubang yang gelap.

Maka, tidak hairanlah apabila ada penduduk yang mengadu kedengaran bunyi bising dari ruang-ruang gelap di atas siling bangunan.

Apa yang pasti, Mohd. Rufino memberitahu, selagi 'wilayah' musang pandan tidak diceroboh, mamalia kecil itu tidak akan menyerang.

"Lagipun, kalau difikirkan secara logik, musang pandan pun menjadikan haiwan-haiwan kecil sebagai makanan. Manusia memang ia tidak kacau," jelasnya.

Dalam sesetengah kes, musang pandan yang beratnya sekitar 3.2 kilogram dan memiliki tubuh sepanjang 53 sentimeter itu juga gemar mendiami ruang-ruang bumbung rumah.

Dengan kukunya yang tajam, musang pandan mampu menunjukkan bakat memanjat pokok tinggi atau paip-paip di sesebuah bangunan. Waktu aktif haiwan itu biasanya sekitar pukul 6 petang hingga 4 pagi. Maka, tidak hairanlah, sebilangan penduduk di sekitar Blok E Wangsa Maju Seksyen 1 mendakwa kelibat haiwan itu hanya ditemui sepanjang tempoh tersebut.

Walaupun sehingga kini tiada kes serangan melibatkan musang pandan ke atas manusia, namun penduduk tetap harus berwaspada terutama di kalangan kanak-kanak.

Apa yang pasti, mungkinkah kisah ini hanya mengingatkan manusia bahawa si musang pandan sebenarnya sudah tiada tempat berteduh lagi sehingga terpaksa merempat di kediaman manusia?

Process time in ms: 16