STAILO

Jeritan gaya rock chic

Jeritan gaya rock chic


KONSEP mix and match yang ringkas tetapi menjadi membuatkan anda tampil ranggi.


DEWASA ini, para gadis didedahkan dengan pelbagai gaya menarik. Ada yang selesa tampil bertudung dengan variasi teknik lilitan, ada pula yang lebih santai dengan denim dan tidak kurang juga yang gemarkan penampilan comel dengan gaun mini.

Masih mengekalkan ciri-ciri feminin, kebanyakan remaja semakin berani tampil dengan idea kreatif terutamanya teknik mix and match yang adakalanya wajar diberi pujian.

Golongan ini semakin bijak menggabungkan elemen pakaian dengan ilham sendiri. Ia sekali gus melahirkan gaya yang mungkin menjadi ikutan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang berkenan melihatnya.

Selain fesyen vintaj yang kian diminati ramai, kini muncul pula trend baru yang digelar gaya rock chic. Bukan berada dalam kelas imej 'rock kapak', ia mempunyai aura glamornamun jauh daripada nuansa imej keangkuhan atau ganas yang selalu dikaitkan dengan genre rock.


JIKA bijak memilih dan berbelanja, gaya sebegini tidak memerlukan bajet yang besar.


Meskipun mengenakan but, tali pinggang atau rantai leher, padanan aksesori yang lebih chic dan moden menyerlahkan imej yang lebih bergaya.

Namun, aura klasik masih mendapat suntikan apabila skaf dililit longgar pada bahagian leher. Dalam pada itu, simpanan baju T ketat yang anda miliki sebenarnya boleh diadaptasi untuk diterapkan dalam trend rock chic ini.

Caranya mudah sahaja, baju T yang bermotif graviti atau kosong boleh dipadankan bersama jaket. Untuk menampakkan gaya rock seperti tahun 90-an, anda boleh mendapatkan jean berpotongan skinny.

Si pemakai yang ingin menambah ketinggian, elok mengenakannya dengan memakai kasut bertumit tebal. Aplikasi tersebut akan menyerlahkan potongan kaki yang seksi apatah lagi jean yang dipilih itu ketat.

Apa yang pasti sekiranya anda ingin bergaya seperti itu untuk menghadiri majlis bertema rock chic, jangan lupakan kasut but sebagai pelengkap gaya yang wajib. Bagi menyerlahkan lagi penampilan rock chic anda, gayakan aksesori tas tangan yang mempunyai butang logam.


KOT tanpa lengan pernah popular suatu masa dahulu. Kini ia kembali dalam gaya ikutan semasa.


Tetapi, dalam keghairahan untuk berfesyen, tip yang perlu anda ingati adalah tidak mencampuradukkan unsur klasik dan rock secara berlebihan.

Misalnya apabila sudah mengenakan but jangan sesekali memilih untuk memakai beg tangan terlalu besar. Biar sekadar menggunakan tas tangan ringkas kerana anda akan kelihatan lebih menggoda.

Tambahkan lagi kehebatan itu dengan tata rias wajah yang tidak terlalu tebal. Perlu ingat cukup sekadar melakukan mekap yang ringkas.

Process time in ms: 47