RENCANA UTAMA

Urut batin sebenarnya onani

Urut batin sebenarnya onani


AHMAD menunjukkan teknik urutan pada bahagian kaki pelanggannya di Petaling Jaya baru-baru ini.


MENURUT pengalaman pengunjung-pengunjung pusat urut di sekitar Lembah Klang, kaedah urutan batin yang ditawarkan di rumah berkenaan sebenarnya adalah khidmat melakukan onani.

“Bezanya ia dilakukan menggunakan tangan tukang urut wanita sehingga pelanggan khususnya lelaki, mencapai klimaks dan mengeluarkan air mani,” akui lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 29, yang tidak menafikan sekadar mencuba-cuba urutan batin yang sering disebut teman-temannya.

Menurut Man, urutan batin merupakan satu perkhidmatan yang khusus, bukan sebahagian daripada pakej urutan badan dan lain-lain.

“Pusat urut itu melabel perkhidmatan itu sebagai urut batin ketika menawarkannya,” tambah Man.

Bagaimanapun, pakar urut tradisional yang sudah bertahun-tahun melakukan urutan pemulihan tenaga batin menegaskan urutan sebenar tidak melibatkan pengeluaran air mani.

Teknik

“Apa yang kami lakukan ialah mengurut bahagian badan yang mempunyai kaitan dengan anggota sulit itu dan mencari urat di sekitar alat sulit pelanggan untuk ‘dibetulkan’.

“Ia sama ada mengurut untuk membuang angin, membetulkan urat atau memecahkan lemak,” ujar seorang pengusaha kedai bekam dan resdung di Kampung Dato’ Harun, Petaling Jaya, Ahmad Husin, 34.

Berpengalaman melakukan urutan pulih batin sejak lebih lima tahun lalu, Ahmad yang berguru dengan beberapa pakar urut tradisional menjelaskan, urutan batin tidak bertumpu kepada bahagian zakar dan buah zakar semata-mata.

“Sebaliknya antara bahagian badan lain yang terlibat termasuklah pinggang, labu atau belakang betis, tapak kaki, bawah buah zakar dan bawah pusat sehingga ke zakar.

“Teknik urutan juga bukan sembarangan. Contohnya, jika mengurut di sepanjang zakar, teknik yang digunakan ialah melurut sedangkan pada bahagian buah zakar, teknik urutan yang digunakan ialah mengasak,” terangnya.

Tambah Ahmad, urutan pulih batin yang sebenar juga tidak melibatkan rasa ghairah atau rangsangan ke arah keinginan mencapai kepuasan seksual.

“Seharusnya, ketika diurut pelanggan akan berasa sakit dan senak kerana teknik mengurut adalah sama seperti mengurut bahagian badan yang lain.

“Keadaan zakar menegang biasanya berlaku apabila darah mengalir lancar setelah urutan menggunakan teknik mengasak dilakukan pada buah zakar dan bahagian bawah zakar tetapi ia masih tidak menyebabkan pelanggan berasa ghairah,” dedah Ahmad.

Pendakwah bebas dan pakar motivasi kekeluargaan, Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula menjelaskan, urutan batin yang dilakukan semata-mata untuk berseronok adalah haram.

“Jika seorang lelaki itu mengalami masalah lemah tenaga batin, ia akan menjadi satu bentuk penyeksaan kepada isteri kerana tidak mendapat nafkah batin.

“Dalam keadaan itu, kalau lelaki berkenaan tidak berubat maka isterinya boleh meminta fasakh daripada suaminya. Itulah tahap keseriusan keadaan ini.

“Hukum berurut batin jatuh dalam kategori harus jika ia berkesan memulihkan masalah kesihatan dan keharmonian rumah tangga.

Zakar lebam

“Bagaimanapun sekiranya urutan batin tidak mampu menyelesaikan masalah dan sebaliknya cenderung ke arah kepuasan seksual, maka hukumnya haram,” kata Wan Akashah.

Jelas Wan Akashah, urutan batin ke atas lelaki tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang wanita kerana ia melibatkan alat sulit.

Wan Akashah turut menyuarakan kebimbangannya terhadap segelintir suami yang cenderung mendapatkan urutan batin onani kerana ia boleh menyumbang kepada kepincangan rumah tangga.

“Bayangkan si suami lebih puas ‘berurut batin’ di rumah-rumah urut berbanding ketika bersama isteri sendiri,” kata beliau.

Katanya lagi, banyak masalah baru akan timbul apabila suami sudah tidak berkeinginan terhadap isteri masing-masing.

Sementara itu, pakar sakit tuan, Dr. Mohd. Ismail Tambi, 59, menyangkal kebenaran kelebihan mengurut zakar.

“Mustahil urutan dapat membesarkan, memanjangkan, memulihkan mati pucuk, mahupun meningkatkan prestasi zakar seseorang.

“Ini kerana anggota sulit ialah organ vaskular (yang dipenuhi salur darah) dan tidak boleh diurut. Ia sama seperti bahagian leher dan buah dada.

“Jika bahagian ini diurut secara kasar, dikhuatiri ia akan menyebabkan kerosakan dalaman yang boleh mencacatkan anggota itu.

“Sudah ramai pesakit yang datang kepada saya dengan zakar yang lebam, bentan dan terkulai akibat melakukan urutan batin.

“Saya faham, ramai yang tertarik untuk menjalani urutan seperti itu kerana tertekan dengan masalah yang dihadapi. Tetapi fikirlah baik-baik.

“Tidak mustahil masalah batin mereka itu berpunca daripada penyakit lain seperti kencing manis, ketidakseimbangan hormon atau tekanan darah tinggi.

“Jika masalah mati pucuk berpunca daripada penyakit-penyakit ini, kemungkinan masalah lain pula akan timbul andainya pesakit menemui tukang urut yang turut menggunakan ubat berasaskan herba.

“Sebab itulah saya meminta individu yang mempunyai masalah zakar agar merujuk pakar perubatan terlebih dulu sebelum mengambil tindakan sendiri,” cadang beliau.

Varia!»

Perancangan pewarisan harta

PEWARISAN harta membolehkan kita membantu saudara-mara miskin atau anak angkat yang tidak dikategorikan sebagai waris dalam hukum faraid. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16