RENCANA UTAMA

Pengsan sekerap kena curi

Pengsan sekerap kena curi




JAM sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi. Usai mengasah pisau menoreh getah, Mohd. Saad Kasim, 64, cepat-cepat menghirup air kopi kampung yang masih berasap. Selesai mengunyah tiga keping pisang tanduk goreng, segugus kunci motosikal lama miliknya dicapai.

Walaupun langit masih gelap, itu bukan alasan untuk dia sampai lewat ke kebun yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

"Kalau lambat keluar, tak banyak pokok yang boleh ditoreh. Semakin tinggi matahari, semakin kurang susu getah.

"Lagipun sekarang memang kena ke kebun awal. Kalau lewat, alamatnya ada orang lain yang tolong kutip dan jual getah sekerap, maklumlah harga tengah tinggi sekarang," ujar Saad.

Berbekalkan bekas bulat berisi kepingan ubat nyamuk yang dililit di pinggang, setiap hari bapa kepada dua anak ini akan menghabiskan masa selama empat jam di kebunnya.

Dengan keluasan kira-kira dua hektar, kebiasaannya sebelum matahari tegak di kepala, Saad sudah siap menoreh kesemua 200 batang pokok getahnya.

Sebelum ini, dia menoreh dengan ditemani isteri, Sarah Mat Daud, 67. Namun, sejak dua tahun lalu, Saad keluar menoreh sendirian ekoran keadaan kesihatan isterinya yang kurang mengizinkan.

Rutin harian Saad tidak pernah berubah sejak hampir 50 tahun lalu. Setiap hari dia akan ke kebun untuk menoreh getah. Selang tiga hari pula, susu getah yang membeku di dalam mangkuk akan dikutip dan dijual kepada peraih di pekan Baling.

"Susu getah ambil masa seharian untuk membeku dan menjadi sekerap. Ia biasanya dibiarkan di dalam mangkuk dan hanya akan dikutip pada hari keempat.




"Pada waktu itu, getah sekerap sudah penuh semangkuk. Jika musim susu getah banyak, mangkuk yang lebih besar akan digunakan," kata Saad yang merupakan anak jati Kampung Teluk Perah, Kuala Pegang dekat Baling, Kedah.

15 sen

Mula menoreh pada usia belasan tahun, menurut Saad, pada awal tahun 1960-an, kehidupannya sebagai penoreh getah tidak ubah seperti kais pagi makan pagi.

Dengan harga getah di antara 25 sen hingga 60 sen sekilogram (dahulu kati), kemewahan adalah sesuatu yang jauh daripada jangkauan.

"Masa itu jangan kata hendak bermewah, nak sediakan keperluan makan harian pun susah. Dengan komunis yang masih ada di hutan dan harga getah jatuh menjunam pada akhir 1974, rata-rata penoreh hidup melarat. Makan pun asal jumpa sahaja," kata Saad.

Kehidupan para penoreh getah amat tertekan. Harga barang keperluan meningkat mendadak sementara harga getah jatuh ke paras yang paling rendah iaitu 15 sen sekilogram malah ia lebih rendah daripada harga gula iaitu 30 sen sekilogram.


WALAUPUN harganya tinggi di pasaran, tidak ramai anak muda yang mahu turun menoreh.


Situasi tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk Baling. Bahkan, ekoran harga getah yang sangat rendah itu, negara digemparkan dengan laporan kononnya ada penoreh yang mati kebuluran di daerah yang pernah dilabel sebagai miskin itu.

"Sebenarnya tiada kebuluran di Baling. Apa yang ada kemiskinan dan kelaparan.

"Pada masa itu, ramai pelajar universiti datang dari Kuala Lumpur kerana bersimpati dengan nasib penduduk Baling.

"Secara spontan, penduduk kampung berkumpul dan berarak ke pekan Baling pada bulan Disember tahun yang sama.

"Saya ialah antara penoreh yang terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.

Menurut Saad, pagi itu, lebih 10,000 orang berhimpun di hadapan masjid pekan Baling. Selain rombongan pelajar dari Kuala Lumpur, penduduk dari kampung-kampung sekitar Kuala Pegang, Kupang dan Tawar turut serta dalam perarakan tersebut.

"Kami berjalan kaki kira-kira 20 kilometer ke pekan Baling. Sebelum itu, kami dimaklumkan bahawa Musa Hitam (kini Tun) yang ketika itu Menteri Perusahaan Utama telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak supaya menyelesaikan masalah tersebut.

Demonstrasi


GETAH sekerap akan dibiarkan mengeras di dalam mangkuk sebelum dikutip.


"Tujuan kami menyertai demonstrasi itu hanya kerana mahu harga getah dinaikkan. Kami berarak secara aman, tiada sepanduk, kain rentang ataupun senjata yang dibawa. Walaupun terpaksa berjalan jauh, namun demi periuk nasi, kami sanggup.

"Apabila kami melewati kampung-kampung menuju ke pekan, ada yang memberikan kami setin biskut dan bekas-bekas air sebagai bekalan di sepanjang perjalanan.

"Sampai saja di perkarangan masjid di pekan Baling, kami lihat helikopter yang membawa Musa berlegar-legar di Gunung Baling. Tiada tanda-tanda beliau akan turun.

"Ada sesetengah penduduk yang tidak berpuas hati telah merempuh pagar bangunan Pejabat Daerah Baling. Seingat saya ketika itu bendera negeri Kedah telah diturunkan.

"Sebagai ganti, seguni ubi kayu dinaikkan," ceritanya yang kini mampu meraih pendapatan RM400 seminggu.

Lebih kurang tiga jam berkumpul, mereka akhirnya pulang hampa. Hasrat untuk bertemu pemimpin negara dan meluahkan kesempitan yang ditanggung tidak kesampaian.

Itu cerita dulu. Keadaan kini telah banyak berubah. Sejak era pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, harga getah beransur meningkat terutama selepas sumber getah tiruan, minyak mentah, mendadak naik harganya. Malah, dengan kenaikan harga getah asli sehingga RM4 sekilogram sejak tahun lepas dan mencecah RM5.20 sekarang, para penoreh sudah mampu menarik nafas lega.

Penoreh getah yang hidup miskin 30 tahun lalu kini mampu meraih pendapatan RM2,000 seminggu atau RM8,000 sebulan.

"Harga getah semasa memang mengubah kehidupan saya sekeluarga.

"Saya pula boleh siap menoreh dalam masa tiga jam. Jadi pada sebelah petang saya boleh mengambil upah membaiki rumah," kata seorang penoreh yang hanya mahu dikenali sebagai Zaid.

Satu-satunya perkara yang membimbangkan Zaid sekarang ialah kegiatan mencuri getah sekerap di kebun yang semakin menjadi-jadi.

"Isteri saya pernah pengsan apabila getah sekerap yang kami kumpulkan dicuri orang.

"Walaupun ia hanya ketulan getah busuk, namun ia adalah rezeki yang besar buat kami. Jika musim susu getah banyak, memang saya akan meronda ke kebun pada waktu malam, malah ada rakan-rakan yang sanggup bermalam di kebun getah bagi mengelak kecurian," cerita Zaid.

Khabarnya, musim kenaikan harga getah ini turut menyaksikan ramai penoreh di Baling yang menukar kereta baru, menabung untuk ke Tanah Suci, membeli tanah dan membaiki rumah.

Rencana Utama!»

Peluang miliki tanah, rumah sukar ditolak

DARI KIRI: Mat, Heng Bung dan Appachi melihat gambar-gambar lama peneroka asal di Muzium Felda Lurah Bilut.

Horizon!»

Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.

Varia!»

Penjajahan secara kawalan jauh

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dijaga dengan baik demi masa depan generasi akan datang. Gambar hiasan

Process time in ms: 47