PESONA

Dengar dahulu,nilai kemudian

Dengar dahulu,nilai kemudian


Komunikasi yang berkesan mewujudkan suasana yang hamorni di pejabat.


KEJAYAAN seseorang pekerja secara berpasukan bukan sahaja bergantung kepada tahap profesionalisme dan kesungguhan kerja yang dipraktikkannya.

Sebahagian lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah keberkesanan jaringan perhubungan dirinya dengan orang lain.

Di sebalik kemajuan teknologi maklumat yang memudahkan urusan perhubungan, kemahiran berkomunikasi yang dimiliki seseorang pekerja adalah elemen teras bagi pertukaran maklumat yang berkesan.

Dalam kehidupan seharian, terutama dalam perbualan interpersonal, kegagalan komunikasi sering kali menyebabkan salah faham dan salah tanggapan di antara rakan sekerja.

Sukar untuk dipercayai, kegagalan komunikasi sebenarnya tidak selalu terjadi gara-gara perbezaan budaya atau bahasa.

Sebaliknya, ramai pula yang menghadapi masalah untuk membina perhubungan sihat dengan majikan atau pekerja bawahan kerana masalah remeh seperti kekangan komunikasi, persepsi negatif, syak wasangka, gosip sekeliling dan masalah peribadi.

Walau bagaimanapun, perhubungan yang sihat boleh tercetus apabila komunikasi yang lebih berkesan berlangsung dalam sesebuah organisasi.

Dalam hubungan tersebut, kefahaman yang bersifat bertimbal balik mudah terjalin selagi kerelaan untuk mendengar dan berkongsi pendapat boleh dicapai secara bersama.


AMALAN komunikasi yang sihat adalah dengan cara tolak-ansur dan tidak gopoh membuat persepsi negatif.


Setiap individu di pejabat pasti mahukan suasana yang aman di tempat kerja. Dengan mengamalkan cara berkomunikasi yang berkesan, kelancaran penyampaian maklumat pasti mudah terlaksana.

Komunikasi yang berkesan juga, membolehkan hubungan antara rakan sekerja sentiasa dalam keadaan baik sekali gus menjadikan suasana bekerja lebih harmoni.

Andai berlaku salah faham dalam sesuatu hubungan, ia adalah kerana ada halangan dalam penyampaian itu. Justeru, bagi menjaga hubungan baik semua pihak di tempat kerja, tip-tip berikut boleh dijadikan panduan:

1) Fokus pada maklumat, bukannya pada penyampainya.

Kadang-kadang seseorang itu mempunyai pandangan tersendiri tentang seseorang yang lain sebelum betul-betul mendengar apa yang hendak disampaikannya. Apabila perasaan prejudis wujud di antara dua individu, maklumat yang disampaikan tidak dapat dihayati sepenuh perhatian dan ketelusan.

2) Dengar dahulu dan nilai kemudian.

Seseorang perlu cuba memahami pandangan orang yang bercakap, menterjemah pendirian dan keperluannya. Jika perlu untuk penerangan lanjut, jangan malu untuk berbuat demikian.


ELAKKAN ketegangan di pejabat kerana ia boleh menjejaskan prestasi kerja.


Penilaian boleh dibuat selepas perbualan berakhir. Jangan sesekali menilai, membuat keputusan atau merumuskan sesuatu selagi maklumat keseluruhan belum dipastikan.

Apabila dia telah selesai menyatakan pendapatnya, anda bolehlah memberi respons.

3) Komunikasi bertulis juga penting jika maklumat gagal disampaikan secara lisan.

Mereka yang mempunyai personaliti emosional atau golongan yang sukar untuk mendengar kata-kata orang lain lazimnya bermasalah untuk berkomunikasi.

Maka, golongan ini dinasihatkan untuk menulis pendapat mereka sebelum sebarang perbualan dimulakan.

Mereka biasanya boleh berekspresi dengan lebih baik secara bertulis berbanding secara lisan. Kaedah itu boleh dipraktikkan untuk mengurangkan kesilapan ketika bercakap.

Selain tiga panduan di atas, komunikasi berkesan juga boleh dicapai melalui penggunaan bahasa yang mudah, mengamalkan sistem maklum balas, mempunyai perasaan hormat-menghormati dan memahami cara serta protokol perbualan di kalangan teman pejabat yang berlainan hierarki.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 63