RENCANA UTAMA

Juadah tiga generasi

Juadah tiga generasi

Selain kuih bakul dan kuih kapit, tat telur merupakan juadah popular pada musim Tahun Baru Cina dalam kalangan masyarakat Cina berketurunan Hokkien di Pulau Pinang. Lapor NOOR HASLIZA NUSI.




TANGAN-tangan yang pantas menguli adunan tepung. Kelihatan sekumpulan wanita tidak menang tangan membentuk corak adunan menggunakan acuan berbentuk bunga lalu menekapnya di atas papan pelapik.

Sekali pandang, kerja-kerja pembuatan kuih tradisi kaum Cina itu begitu mudah dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang ringkas seperti tepung, marjerin dan telur.

Sebaliknya, pandangan itu kurang tepat. Ini kerana proses membuat kuih warisan itu tidak cukup setakat menguli dan menekap sahaja tetapi perlu melalui proses menapis adunan kulit di bahagian luar.


MENG KIT menunjukkan tat telur yang popular dalam kalangan masyarakat Cina Pulau Pinang.


"Hendak membuat kuih ini bukan senang. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat menyiapkan sebiji kuih dalam masa sepuluh minit.

"Itupun setelah dilatih dan membuatnya secara berterusan. Setiap lapisan luar kulit akan diuli berkali-kali sehingga menjadi lembut dan barulah ia senang dibentuk.

Demikian menurut pemilik premis Ming Xiang Tai, Au Meng Kit, 33, mengenai kuih tat telur yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Cina keturunan Hokkien di Pulau Pinang setiap kali menjelang musim perayaan.


LOCK SOON GIM masih mengekalkan keaslian kuih bakul buatannya.


Sebut sahaja kuih lama itu, hampir sebilangan penduduk di bandar George Town, Pulau Pinang sudah mengetahui makanan signatur di kedainya yang terletak di Jalan Burmah walaupun baru dibuka awal tahun lepas.

Kuih warisan yang dipasarkan kurang dua tahun itu sudah mula mendapat tempahan daripada pelancong Hong Kong, Taiwan dan China.

Kuih yang berinti telur di atasnya menjadi manisan mulut golongan muda dan warga emas di Pulau Mutiara.


KENANGAN ibu Meng Kit menjual kuih tradisi Cina dengan basikal roda tiga pada 1979.



INILAH rumah ibu Meng Kit di Teluk Intan, Perak pada 1975. Di rumah inilah bisnes pelbagai jenis kuih tradisional bermula.



KUIH bakul mempunyai penggemarnya yang tersendiri.


Menariknya, selain memasarkan 12 hingga 15 jenis kuih tradisi seperti pastri telur itik masin, tat telur, flos ayam, kuih kacang dan pai ayam tradisional, Meng Kit masih mengekalkan cara pembuatan dengan tangan termasuk penggunaan bahan-bahan yang ringkas.

Signatur Tahun Baru Cina

"Sebagai individu yang bertanggungjawab dalam mempertahankan empayar tiga generasi itu, besar harapan saya untuk memperjuangkan bisnes yang mula diperkenalkan oleh mendiang nenek pada awal 1975.

"Melihat permintaan semasa daripada pembeli di sini, saya tekad mahu memperluaskan peluang perniagaan sehingga jenama kuih ini menjadi sebutan di serata negara kelak," jelas anak jati Teluk Intan itu.


KENANGAN ibu Meng Kit menjual kuih tradisi Cina dengan basikal roda tiga pada 1979.


Menceritakan lebih lanjut mengenai idea penubuhan perniagaan warisan itu, ia dipelopori oleh neneknya secara kecil-kecilan di rumahnya semasa menetap di Kampar, Perak.

"Dulu, kuih ini hanya dijual mengikut tempahan yang dibuat daripada saudara mara ataupun jiran tetangga untuk majlis keramaian mahupun perkahwinan ahli keluarga.

"Disebabkan keadaan nenek yang tidak mengizinkan, ibu saya, Chung Mooi, 57, mengambil alih perniagaan nenek dengan menaiki beca dari kampung ke kampung pada 1979 sehinggalah sekitar pertengahan 90-an," kata peneraju generasi ketiga kuih tersebut.


INILAH rumah ibu Meng Kit di Teluk Intan, Perak pada 1975. Di rumah inilah bisnes pelbagai jenis kuih tradisional bermula.


Keluarganya kemudian berhijrah ke George Town, Pulau Pinang dan berniaga kuih secara kecil-kecilan sebelum beliau mengambi alih.

Bagaimana dengan pemilihan lokasi niaga di Pulau Pinang? Meng Kit memberitahu, lokasi sekarang lebih strategik kerana ia terletak di tapak warisan UNESCO.

Selain juadah wajib seperti kuih kapit, kuih bakul, bunga ros dan kuih kacang, kuih tat menjadi pelengkap bagi perayaan Tahun Baru Cina.


KUIH bakul mempunyai penggemarnya yang tersendiri.


"Kuih ini antara penyeri sewaktu dan selepas majlis makan besar pada malam hari raya. Sambil duduk menonton televisyen beramai-ramai, kuih ini enak dijadikan pemanis mulut bersama teh panas," ujarnya dua hidangan itu merupakan pelengkap selera masyarakat Cina setiap kali menikmati resipi warisan itu.

Lebih bermakna, rupa bentuk kuih tat yang bulat mempunyai simbolik bagi penganut agama Buddha.

"Bulat menyatakan maksud perhubungan erat yang dijalinkan antara ahli keluarga. Satu perjumpaan yang diadakan beramai-ramai dalam bentuk bulat iaitu mengelilingi meja makan membawa erti yang lebih mendalam.

"Tujuan kami mengekalkan rupa bentuk bulat kuih tat memberi kesan yang mendalam terhadap institusi kekeluargaan di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim," ujar Meng Kit.


MAKANAN ringan seperti kekacang dan kuaci juga antara juadah yang dihidangkan kepada tetamu pada Tahun Baru Cina.


Namun dengan perkembangan teknologi pada hari ini, tempoh menikmati kuih tidak terhad pada musim perayaan semata-mata sebaliknya ia menjadi makanan harian para penggemarnya.

Sementara itu, bagi seorang pembuat kuih bakul, Lock Soon Gim, keupayaannya menerajui bisnes nenek moyangnya nyata memberi kelebihan buat dirinya dalam memasarkan kuih tradisional Cina itu.

Menurutnya, resipi kuih bakul itu masih dikekalkan dan rasanya masih sama kerana sukatannya tidak pernah berubah.

Dibuat cara lama

Malah, setiap tahun dia mempunyai pelanggan tetap yang akan membeli kuih bakulnya. Lebih istimewa, cara penyediaan kuih bakul Soon Gim masih mengekalkan cara lama termasuk penggunaan daun pisang yang membangkitkan aroma kuih tersebut.

"Nasib baik saya tidak berdepan dengan kesukaran untuk mencari daun pisang memandangkan di tempat saya terdapat kebun pisang," kata wanita yang berasal dari Balik Pulau itu.

Bercerita mengenai cara penyediaan kuih bakul, Soon Gim memberitahu, adunan cair dituang ke dalam tin yang dibalut dengan daun pisang. Adunan tersebut akan dikukus selama 12 jam.




Mengikut pantang larang nenek moyangnya, kuih bakul akan menjadi setengah masak sekiranya ada orang di sekelilingnya berbual tentang perkara yang tidak berfaedah.

"Itu yang membuatkan saya selesa bekerja sendiri tanpa mengharap bantuan orang lain kerana ingin mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini ketika memasak kuih ini," jelas Soon Gim bahawa kuih bakul tradisional berbeza berbanding kuih bakul buatan kilang.

Soon Gim berkata, dahulu masyarakat Cina menggunakan buluh untuk dijadikan bekas kuih bakul tetapi hari ini semuanya telah berubah.

"Kini tidak ramai masyarakat Cina menyediakan kuih bakul disebabkan kekangan masa dan kesukaran memperoleh bahan-bahannya.

"Saya tekad untuk meneruskan pembuatan kuih tradisi ini dan berasa wajar untuk dipelihara supaya ia tidak hilang ditelan zaman," jelasnya yang sibuk menyediakan tempahan untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Varia!»

Perancangan pewarisan harta

PEWARISAN harta membolehkan kita membantu saudara-mara miskin atau anak angkat yang tidak dikategorikan sebagai waris dalam hukum faraid. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 62