RENCANA UTAMA

Buck Tee mahir kawal berus

Buck Tee mahir kawal berus

Pemilik Bakti Galeri Art, Chong Buck Tee yang mempunyai lima dekad pengalaman melukis menggunakan berus Cina mendedahkan teknik asasnya ialah melukis garisan dengan bagus.




SUASANA di dalam dewan kecil di Kelab Diraja Taman Tasik Perdana itu riuh-rendah dengan perbualan yang dituturkan dalam bahasa Cina. Sesekali hilai tawa kumpulan wanita berusia antara 40 tahun hingga 60 tahun itu berderai.

Sambil rancak bercerita, tumpuan masing-masing tidak lekang terhadap helaian nipis kertas putih yang diisi dengan imej tertentu dan dilukis menggunakan dakwat hitam.

Sedang asyik mengoles berus lukisan di meja masing-masing, kedengaran suara lelaki yang dianggap sifu memanggil mereka: "Mari semua berkumpul di sini. Saya mahu tunjuk bagaimana cara untuk melukis bunga teratai."




Sebaik anak muridnya berada di sisi, lelaki bernama Chong Buck Tee itu pantas memulakan sesi 'pengajaran' dengan membentangkan sehelai kertas putih yang bersih tanpa sebarang celaan.

Sebatang berus yang terletak di sebelah kanan meja dicapai dan dicelup ke dalam dakwat berwarna hijau tua. Kemudian, jari-jemari beliau dengan lembut mengoles hujung berus di permukaan kertas.

Liuk-lentok tangannya 'menarikan' mata berus terus diperhatikan dengan teliti oleh pelajarnya termasuk penulis yang teruja melihat aksi spontan beliau.

Bermula dengan garisan asas yang dilakar, dalam tempoh kurang lima minit, imej bunga teratai berwarna merah jambu lengkap dengan daunnya terhasil dengan sempurna.

"Cantik walaupun dilukis secara bersahaja," getus hati penulis yang berdiri di hadapan sifu lukisan berus Cina itu.

Salah seorang pelajarnya, Lilian Wong, 68, memberitahu, apabila melihat gurunya melukis ia kelihatan amat mudah sekali gus membuatkan diri tidak sabar untuk menghasilkan lukisan yang serupa.


MELUKIS dengan berus nampak mudah, tetapi ia memerlukan ketelitian yang tinggi.


Namun, kata Wong sejurus dia mula memegang berus, kebarangkalian untuk menyiapkan lukisan dengan imej yang sama, amat rendah.

"Biasanya apa yang kami lukis jarang menyerupai lukisan sifu. Nampak senang tetapi sebenarnya ia memerlukan ketelitian yang tinggi di samping kemahiran mengawal berus dengan tangan.

Warisan tradisi

"Hingga kini, sudah lebih sepuluh tahun saya belajar melukis daripada sifu. Tetapi, saya belum mampu mencapai tahap kemahiran seperti beliau. Cuma, apa yang saya tahu, kami seronok apabila dapat berkumpul dan sama-sama belajar melukis untuk mengisi masa terluang," katanya.

Tambah Wong, aktiviti tersebut dilakukan dalam keadaan santai dan rileks tanpa sebarang tekanan. Selain itu, dia memperoleh ramai kawan baru yang mempunyai minat serupa.

Setiap minggu, wanita yang masih kelihatan cergas meskipun sudah dimamah usia itu memperuntukkan masa selama dua hingga tiga jam untuk mengikuti kelas di bawah kendalian Buck Tee.

Bagi Tan Hong, 63, pula dia bertuah kerana mempunyai seorang guru yang sangat baik dan pandai mengajar. Menurutnya, mereka tidak pernah berasa tertekan ketika belajar melukis walaupun lukisan yang dihasilkan amat teruk.

"Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar kepada setiap murid dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu. Kesabarannya begitu tinggi dan sikap tersebut amat kami kagumi," jelas Tan Hong yang baru lima tahun terlibat dalam kesenian tradisi lukisan berus Cina.

Dipercayai telah wujud sekitar tahun 4000 Sebelum Masihi, lukisan berus Cina merupakan warisan tradisi yang perlu dipertahankan.




Menurut Buck Tee yang mempunyai pengalaman hampir lima dekad dalam kesenian itu, perkara asas yang perlu dikuasai ialah cara-cara melukis garisan dengan bagus.

Jika berjaya menguasai teknik tersebut, seseorang itu akan mampu untuk menghasilkan lukisan terbaik dalam apa pilihan subjek sekali pun.

"Cara mengawal pergerakan tangan sewaktu melukis merupakan faktor utama untuk menjadi mahir. Sapuan berus yang tepat dan spontan membolehkan lukisan yang dibuat nampak semula jadi.

"Di samping itu, terdapat pelbagai jenis teknik sapuan berus atau strok yang digunakan. Antaranya sapuan berus bersaiz kecil, sederhana atau besar dan sapuan tidak rata atau halus," tutur beliau lebih lanjut.

Ketika memulakan pengajaran, anak kelahiran Tapah, Perak itu gemar menjadikan buluh sebagai subjek utama kepada pelajarnya.

Beliau berpendapat cara untuk menghasilkan sekeping lukisan pokok buluh memerlukan ketelitian yang tinggi walaupun dari pandangan mata kasar, ia kelihatan mudah dan ringkas.

"Dalam kalangan pelajar saya, melukis buluh sahaja boleh mengambil masa sehingga setahun," ujar pemilik Galeri Bakti Art yang ditubuhkan pada 1994 semata-mata kerana minat yang mendalam terhadap kesenian tersebut.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0