HORIZON

Ikhtiar hidup dikala sesat

Ikhtiar hidup dikala sesat

Kita acapkali mendengar kejadian pendaki atau remaja yang berkhemah di dalam hutan sesat sehingga beberapa hari. Ketika berdepan situasi itu apakah anda perlu lakukan untuk memastikan anda terus hidup? Latihan LostAndSurvive ada jawapannya.




DENGAN hanya berbekalkan sebilah parang dan buku nota setiap seorang, sekumpulan lelaki dan wanita membelah hutan dengan penuh rasa teruja. Daun-daun pokok diselak manakala batang-batang pokok tertentu dipotong sedikit untuk melihat isinya.

Sesekali kepala mereka mendongak apabila seorang lelaki yang juga ketua kumpulan itu menuding jarinya ke atas pokok. Lelaki itu, Mokhtar Mohamed rupa-rupanya menunjukkan beberapa pokok berbuah sambil memberitahu buahnya boleh dimakan.

Rupa-rupanya, Mokhtar sedang mengetuai sekumpulan peserta yang menyertai latihan LostAndSurvive iaitu latihan ikhtiar hidup di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.

Dalam latihan itu, para peserta diajar untuk mengenal dan mengetahui khasiat serta faedah pelbagai tumbuhan hutan yang sesuai untuk dijadikan ubat, makanan atau peralatan seperti tali atau bekas makanan.

Mereka bergerak dari cek poin satu dan dua. Setibanya di cek poin dua, para peserta dikehendaki membuat bekas minuman masing-masing daripada buluh dan diisi dengan air untuk bekalan minuman sehingga ke Kem Lolo.


MEMIAT pucuk bemban bagi mengeluarkan airnya untuk mengubat mata yang sakit.


Walaupun penat meneruskan perjalanan, para peserta tetap tekun menulis nota dan memberi tumpuan tentang rahsia parang yang disampaikan jurulatih itu.

Program asas ikhtiar hidup diteruskan dengan latihan praktikal teknik mengasah dan mengendalikan parang dengan betul. Ini kerana parang merupakan satu alat dan senjata paling penting sewaktu berada di dalam hutan.

Dengan pengalaman hampir sedekad dalam bidang survival, latihan LostAndSurvive diketuai oleh Mokhtar yang pernah mendapat latihan khusus ilmu ikhtiar

hidup di Belgium itu telah merangka modul latihan dua hari satu malam Asas Ikhtiar Hidup (Basic Survival Course).

Latihan itu turut mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada sebuah sekolah ikhtiar hidup di Sweden.

Sepanjang program, para peserta program diajar lebih daripada 10 modul latihan. Antaranya perkhemahan, teknik dan prinsipal, makanan, tumbuhan yang ada nilai perubatan dan boleh dimakan dan api. Selain itu, rahsia parang; tempat berteduh, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di dalam hutan dan banyak lagi.

Peserta juga dikehendaki membuat praktikal kemahiran hidup yang telah diajar secara individu atau berkumpulan mengikut kesesuaian modul latihan.


JURUPANDU menunjukkan cara menggunakan parang dengan betul.


Kemahiran ikhtiar

Latihan survival semasa berada di hutan dilihat semakin penting hari ini kerana kemeriahan pelbagai aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung, mandi di air terjun dan berkhemah.

Prihatin dengan keperluan tersebut, LostAndSurvive mengambil langkah proaktif menganjurkan program latihan asas ikhtiar hidup atau survival di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.

Program tersebut diadakan pada setiap minggu terakhir setiap bulan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Real Adventure Gear Sdn. Bhd. dan SurvivalShoppy.com.

Pengarah LostAndSurvive, Shaharuddin Saari memberitahu, kemahiran ikhtiar atau survival skill adalah satu ilmu yang wajib dimiliki oleh setiap individu.


PESERTA program berpeluang membuat bekas minuman menggunakan buluh sebagai bekalan ketika di dalam hutan.


"Ini kerana definisi survival itu bukan semata-mata merujuk kepada kehidupan di dalam hutan. Setiap hari kita hidup bernafas dan memulakan langkah keluar

dari rumah juga dianggap sebagai survival," katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Shariman Mohd. Nor berkata, MPKj menyokong usaha LostAndSurvive menjalankan program ikhtiar hidup di Gunung Nuang.

"Ini dilihat sebagai inisiatif untuk mendidik masyarakat terutamanya para peminat rekreasi dan pendaki gunung tentang ilmu yang sepatutnya serta mengelakkan daripada sesat di dalam hutan," katanya.

Selain itu, satu modul khas bertajuk iMuslim Survivor juga diajarkan kepada para peserta program tersebut.

IMuslim Survivor adalah modul prinsip dan teknik latihan asas fardu ain dan tanggungjawab seorang Islam untuk menjalankan ibadat harian ketika suasana ekstrem atau darurat seperti praktikal solat dalam ketakutan, solat pakai kasut, bersuci dan bertayamum.


PARA peserta program yang menyertai Latihan Ikhtiar Hidup di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.


Menurut seorang peserta program, Normimi Jailani, program tersebut banyak mengajarnya mengenai kemahiran ikhtiar hidup dan teknik menyelamatkan diri ketika sesat.

"Selama ini, saya hanya pergi program rekreasi dan mendaki gunung tanpa pengetahuan asas survival," katanya.

Semua peserta yang terlibat dalam program tersebut ternyata berpuas hati dengan ilmu survival yang mereka peroleh itu malah satu majlis penyampaian sijil diadakan di kaki gunung bagi meraikan kejayaan peserta melepasi latihan asas ikhtiar hidup.

Bagi mereka yang berminat menyertai program ikhtiar hidup, LostAndSurvive akan mengadakan program yang sama pada 6 dan 7 Mac ini.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua sama ada individu atau secara berkumpulan. Setiap peserta hanya dikenakan bayaran kursus sebanyak RM190 sepanjang program yang merangkumi yuran jurulatih, bahan latihan, makan minum, baju T dan sijil penyertaan.

Untuk keterangan lanjut dan bagi mendapatkan kupon diskaun program, boleh layari laman web www.lostandsurvive.com atau hubungi Nazri Abu Bakar di talian 013-213 2131.

Varia!»

Kumpul wang terbit novel

Novel cinta sangat sinonim dengan kaum wanita sama ada pembaca atau penulis.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31