RENCANA UTAMA

Tidak naik harga, tapi kurangkan gula

Tidak naik harga, tapi kurangkan gula

Ia mungkin kedengaran seperti kurang enak kerana gula dikurangkan di dalam minuman. Namun percayalah apabila ‘racun manis’ itu dikurangkan di dalam minuman bikarbonat ia satu khabar yang sihat.


ISMAIL SABRI (tengah) melancarkan logo baru F&N baru-baru ini.


MINUMAN ringan biasa atau bikarbonat sering dikaitkan dengan kandungan gula yang tinggi. Apa jua perisa yang dicampurkan rasanya yang manis, memang sedap diminum sebagai penghilang dahaga.

Fraser and Neave Holdings Berhad atau F&N Malaysia sudah sinonim dengan minuman ringan daripada yang bikarbonat, isotonik hinggalah kepada perisa buah-buahan sejak beroperasi selama 13 dekad di Malaysia.

Yang menariknya bila harga gula meningkat, syarikat itu tidak menaikkan harga minuman keluarannya, tetapi mengurangkan kandungan gula.

"Langkah ini sebagai memenuhi kehendak pengguna yang kini lebih prihatin dan mengambil berat tentang penjagaan kesihatan diri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd., Tan Ang Meng.

"Setakat ini penggunaan gula untuk minuman keluaran syarikat kami semakin menurun, pada satu jumlah yang boleh dianggap besar iaitu sebanyak 7.5 peratus pengurangannya, sejak lima tahun lepas.

"Minuman isotonik 100 Plus adalah antara versi kurang manis yang kami keluarkan. Ini sesuatu yang amat dialu-alukan pengguna," kata Ang Meng.

Tidak naik harga

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersenyum mendengar inisiatif mengurangkan gula yang dilakukan pengeluar minuman ringan itu yang sudah dikenali pengguna sejak 1883 lagi.

"Ini berita baik. Walaupun harga gula dinaikkan 20 sen baru-baru ini, pihak F&N tidak menaikkan harga minuman ringan keluaran mereka, sebaliknya mengawal penggunaan gula di dalamnya," katanya pada pelancaran imej baru F&N baru-baru ini.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, harga gula tempatan naik dari RM1.45 kepada RM1.65 sekilogram.

Langkah F&N kata beliau bukan sahaja mempromosikan cara hidup sihat tetapi pada masa yang sama membantu pengguna daripada tertekan dek kenaikan harga gula.

Imej baru

F&N turut menjenamakan semula imej korporatnya supaya apabila kontrak F&N dengan The Coca Cola Company tamat pada bulan September tahun 2011, ia akan dikenali sebagai F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., dan F&N Beverages Manufacturing Sdn. Bhd.

Ang Meng menjelaskan bahawa imej baru F&N yang dibahagikan kepada dua itu amat sesuai dengan fungsi masing-masing yang berbeza.


100 Plus minuman isotonik yang dikeluarkan oleh F&N antara produk yang tidak dinaikkan harga.


"Penjenamaan ini akan memberikan satu semangat baru yang lebih bertenaga kepada F&N untuk menjadi pembekal produk yang pelbagai.

"Ia turut dianggap satu kepulangan atau homecoming kerana identiti ini akan memberikan F&N satu eksklusiviti dalam industri minuman ringan. Selain menghasilkannya, F&N turut memasarkannya secara serentak," kata Ang Meng.

Tambahnya F&N tidak pernah leka apabila produk minumannya menjadi pilihan pengguna, sebaliknya terus membuat penyelidikan dan kajian untuk melakukan inovasi terhadap minuman ringan yang dikeluarkannya dari semasa ke semasa.

Tukar ramuan

Bermula awal tahun ini, ramuan yang bakal dipersembah dan dipasarkan kepada warga Malaysia akan lebih mengikut cita rasa ramai.

F&N merancang 50 produk baru yang akan dihasilkan dalam jangka masa 24 bulan ini di bawah jenama minuman ringannya yang pelbagai iaitu F&N, 100 Plus, Seasons dan Fruit Tree.

Minuman bikarbonat Ice Cream Soda yang sememangnya popular sejak sekian lama di Malaysia kini menjadi asas untuk dicampurkan menjadi minuman perisa lain seperti sirap bandung soda.

Pada majlis pelancaran itu F&N turut memperkenal minuman campuran baru, jus nenas dengan Ice Cream Soda kepada tetamu.

Imej baru yang diketengahkan kini bertujuan memaksimumkan cita rasa pengguna ke arah pilihan produk lebih sihat untuk memberikan pengguna kepuasan yang diingini di samping meluaskan portfolio produk halalnya ke seluruh dunia.

Setakat penghujung tahun 2009, unit minuman ringan syarikat itu menyumbang 35 peratus atau RM1.3 bilion kepada pendapatan keseluruhan kumpulan F&N.

Empat buah kilang pengeluarannya kini mengisi ruang di seluruh negara, dengan kemudahan ibu pejabat yang serba canggih di Shah Alam. - Bernama

Stailo!»

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

Varia!»

Pameran seni anjuran korporat

STOWE (dua dari kanan) dan Serenella (tiga dari kiri) pada pelancaran buku Prudential Malaysia Eye: Contemporary Malaysian Art baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16