RENCANA UTAMA

Dekat dengan pengguna

Dekat dengan pengguna

Pos-On-Wheel (POW) inovasi Pos Malaysia Berhad yang memberi khidmatnya kepada pengguna di kawasan sesak, tiada tempat meletak kereta dan jauh dari pejabat pos.




LOKASI yang jauh, tiada kemudahan meletak kereta, perlu beratur panjang dan kaunter yang terhad antara rungutan biasa dalam kalangan pengguna setiap kali mahu mendapatkan perkhidmatan Pos Malaysia.

Senario itu bukan sahaja menyukarkan malah seringkali membantutkan hasrat seseorang untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Pos Malaysia. Justeru, ramai yang menunda urusan yang dirancang.

Lalu ramai yang membayangkan alangkah baiknya jika pejabat pos bergerak dan muncul di sekitar kediaman mereka untuk memudahkan urusan.

Impian ramai pengguna itu mungkin bukan lagi tinggal mimpi. Sebaliknya, Pos Malaysia Berhad (PMB). merealisasikan impian para pengguna dengan memperkenalkan Pos-On-Wheel (POW) atau Pejabat Pos Bergerak yang dijangka memulakan operasi awal Februari 2010.

Kenderaan POW seperti sebuah van biasa sahaja. Ia berwarna putih dan merah dengan logo Pos Malaysia terpapar di ruang depan dan sisinya.

Begitupun, model van Weststar LDV itu telah diubahsuai dengan kos yang mencecah hampir RM300,000. Semua itu dilakukan bagi membolehkannya mencapai kapasiti seperti sebuah pejabat pos konvensional.

Tidak seperti ruang kabin kenderaan biasa, ia dilengkapi dengan peralatan untuk melaksanakan urusan perkhidmatan pos seperti komputer peribadi (PC), komputer pelayan, mesin pencetak, alat penimbang, kerusi pejabat dan lain-lain lagi.


VAN Pos-On-Wheel yang bakal beroperasi pada awal bulan Februari ini akan menjadi inovasi terbaru Pos Malaysia Berhad.


Di atas bumbung van berkenaan juga dipasang teknologi komunikasi satelit bagi melancarkan transaksi dan operasi dalam talian.

Sebagai langkah pengurangan kos operasi berkaitan tenaga kerja, perkhidmatan POW hanya dikendalikan oleh dua orang petugas Pos Malaysia Berhad (PMB). Dua orang petugas itu akan mengendalikan operasi yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti am.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh POW merangkumi pembelian setem, pembayaran bil, penghantaran bungkusan tempatan, urus niaga wang (wang pos dan kiriman kos), penghantaran barangan Poslaju, insurans, pembaharuan lesen memandu, cukai jalan dan pelaburan dana.

Ketua Pegawai Operasi Posniaga PMB, Datuk Mearia Hamzah berkata, POW membolehkan PMB memperluas dan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan.

"Kita perlu memperbaharui perkhidmatan sedia ada dengan mendekati para pelanggan dan salah satu cara untuk mendekati mereka adalah dengan POW," ujar beliau tentang kenderaan yang boleh sampai ke beberapa destinasi dalam masa sehari itu.

Mearia berkata, perkhidmatan itu akan disediakan secara berjadual mengikut lokasi. Keutamaannya adalah tempat yang sesak dan tidak mempunyai perkhidmatan pos.

Sebagai perancangan awal, PMB menyasarkan satu unit POW di setiap negeri di seluruh negara.


KENDERAAN yang ditunggu-tunggu oleh seluruh warga Malaysia untuk pelbagai urusan.


"Tahun ini PMB menyasarkan tujuh lagi unit bakal beroperasi dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat," jelas beliau.

Seorang pengguna, Fariz Aziz, 28, berkata, perkhidmatan POW yang diperkenalkan oleh PMB adalah sejajar dengan peredaran zaman dan permintaan pelanggan masa kini.

"Kini pelanggan PMB tidak perlu lagi ke pejabat pos tetapi mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang sama dengan mengunjungi POW di lokasi-lokasi terpilih yang berdekatan dengan kediaman mereka.

Sambutan

"Pendekatan ini sedikit sebanyak memudahkan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan PMB. Maklumlah, masyarakat sekarang sibuk dengan pelbagai urusan seharian," katanya.

Fariz menambah, perkhidmatan transaksi dalam talian yang disediakan POW juga dijangka mendapat sambutan daripada orang ramai.

Katanya, orang ramai bukan sekadar hanya ingin membeli setem ataupun mengepos surat, tetapi turut mengunjunginya untuk tujuan memperbaharui insurans, lesen memandu dan cukai jalan.


PEJABAT pos bergerak akan masuk ke lokasi-lokasi terpilih.


Seorang lagi pengguna, P. Sivashamugam, 35, menambah, POW merupakan satu langkah baru dalam mendekatkan perkhidmatan pos dengan orang ramai.

"Saya tidak sabar melihat keberkesanan perkhidmatan baru ini. Saya berharap ia dapat memudahkan lagi pelanggan-pelanggan dalam menjalankan urusan dengan PMB," katanya.

Bagi pekerja swasta, Norzilawati Mohd. Noor, 23, perkhidmatan POW merupakan satu berita gembira khususnya kepada penduduk di luar bandar.

"Mereka tidak perlu lagi ke pejabat pos di bandar kerana operasi perkhidmatan POW berjadual akan sampai ke kawasan mereka. Bahkan, perkhidmatan pembayaran bil dan pelaburan dana pasti mendapat sambutan," katanya.

Mengimbau sejarah Pos Malaysia, penubuhan perkhidmatan pos pertama adalah di Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) seawal 1800. Menjelang awal kurun ke-20, perkhidmatan pos telah meliputi di seluruh Malaya.




Berbanding perkhidmatan setem pos berbayar pada masa kini, surat-surat pada era itu disampaikan melalui penghantar surat atau utusan khas.

Bayaran perkhidmatan pula dikutip apabila surat-surat dihantar ke pejabat pos dan resit akan dikeluarkan.

Sistem itu telah mengalami perubahan apabila setem-setem India yang mempunyai cetakan mahkota dan setem-setem Negeri-Negeri Selat yang bertanda dolar serta sen diperkenalkan pada 1867.

Bermula sebagai satu saluran penghantaran surat, dokumen akhbar dan perniagaan, perkhidmatan pos telah mengembangkan perkhidmatannya kepada masyarakat negara ini.

Dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos, ia mula mengambil alih pelbagai perkhidmatan bagi agensi-agensi kerajaan seperti penghantaran bungkusan, pendaftaran, insurans, urus niaga wang (wang pos dan kiriman pos) serta pelaburan dana (Simpanan Bank Pejabat Pos).

Ia dimulakan dengan mengutip bayaran bil elektrik, jualan lesen anjing, bayaran pencen, jualan lesen televisyen dan sebagainya.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia memulakan penyertaan secara aktif dalam pertubuhan antarabangsa agar seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi.

Antara lain, ia menjadi ahli Kesatuan Pos Sejagat (UPU) pada 17 Januari 1958. Sejak menyertainya, Malaysia menjadi ahli yang dinamik sehingga ke hari ini.

Setelah negara melangkah ke abad 21, perkhidmatan pos di Malaysia dikenali sebagai PMB terus berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan dan keperluan pasaran yang sering berubah.

Inovasi terbaru POW itu diharap dapat memperluaskan serta mendekatkan lagi perkhidmatan PMB kepada orang ramai yang memerlukan satu perkhidmatan efisien, mudah dan berkesan.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31