KESIHATAN

Saraf bahu terkoyak

Saraf bahu terkoyak

Jaringan saraf terkoyak, pecah dan bengkak menyebabkan pesakit lumpuh buat selama-lamanya.


SELAIN kemalangan, aktiviti sukan esktrem juga menyumbang kepada risiko kecederaan saraf leher dan bahu. – Gambar hiasan.


BAYANGKAN jaringan saraf yang terdapat di antara leher dan bahu terkoyak, putus atau rosak akibat kemalangan atau bersukan. Ia sememangnya mengerikan.

Turut dikenali sebagai Erb Palsy, pleksus brakial merupakan satu jaringan saraf yang terdapat di kawasan leher hingga ke bahu, yang berfungsi sebagai transmiter terhadap pergerakan dan rasa. Ia adalah satu kawasan yang sangat rapuh.

Malah rapuhnya kawasan yang bermula di C5, C6, C7, C8 dan P1 saraf tulang belakang ini menyebabkan kelumpuhan kekal kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan.

Menurut Perunding Kanan Pembedahan Saraf, Institut Kaji Saraf, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Shaffari Mohd. Haspani, kelumpuhan itu boleh berlaku akibat aktiviti regangan, tertekan serta saraf rosak atau terputus.

Risiko pleksus brakial

Bercerita mengenai risiko akibat kerosakan saraf, Shaffari menjelaskan, ketidakupayaan untuk menggunakan sebahagian tangan adalah perkara paling lazim berlaku.

“Ada yang tidak boleh menggerakkan langsung bahagian yang bermula dari bahu hingga ke jari. Yang bernasib baik, bahagian lengan boleh digerakkan tetapi cukup minimum,” jelas Shaffari.

Di samping itu, jisim otot juga akan berkurangan dan akhirnya, otot di bahagian lengan semakin mengecil dan lembik kerana tiada sebarang aktiviti di situ.

Pleksus brakial tidak terkecuali menyebabkan kedudukan bahu pesakit jatuh sehingga 20 peratus daripada kedudukan asal dan ini sukar dibaiki walaupun pembedahan membetulkan tulang bahu dilakukan.

Antara rawatan peringkat awal ialah neurolisis iaitu satu prosedur mencuci dan membuang tisu yang luka serta darah beku di dalam saraf.

“Proses ini penting bagi mengetahui keadaan saraf yang terluka. Dan daripada pembedahan ini juga, pakar perubatan akan mengetahui sekiranya masih terdapat aliran saraf,” ujar Shaffari.

EMG atau elektromiografi merupakan satu teknik bagi menilai dan merekodkan isyarat aktif di dalam otot dan saraf. Teknik ini akan mengesan potensi elektrikal yang dihasilkan sel otot ketika aktif dan tidur.

Sambung saraf

Prosedur lain yang digunakan ialah kaedah mencangkuk antara dua saraf. Ia dilakukan apabila jarak antara dua saraf yang terputus amat besar dan mustahil untuk disambung semula.

“Saraf sambungan ini diambil di tempat lain seperti di kaki. Potensi kejayaan bagi prosedur ini agak tinggi namun ia bergantung kepada berapa banyak saraf yang terlibat,” katanya.

Tambah Shaffari, semua prosedur rawatan pleksus brakial harus dilakukan dalam masa tiga hingga empat bulan pertama dari tarikh kemalangan.

Ini kerana jika saraf yang rosak tidak dirawat dan dipulihkan dengan segera, kemungkinan besar kerosakan saraf terbabit akan menjadi lebih teruk dan menipiskan peluang untuk sembuh.

“Kalau melibatkan pesakit yang lebih muda seperti kanak-kanak atau bayi, peluang mereka untuk sembuh adalah lebih besar.

“Antara faktornya ialah saraf mereka masih muda dan tahap keanjalan saraf itu masih tinggi, jadi ia mudah untuk bercantum semula,” jelas Shaffari.

Menyentuh jenis rawatan lain, disebabkan kes pleksus brakial bersifat kekal, maka tidak banyak rawatan lain boleh diberikan walaupun selepas menjalani pembedahan.

Ujar Shaffari, kadar kejayaan untuk pesakit pleksus brakial untuk kembali menggunakan anggota tangan secara normal adalah terlalu rendah.

“Justeru, fisioterapi fizikal dan terapi pekerjaan boleh dilakukan sebagai rawatan tambahan bagi menguatkan kembali otot,” katanya.

Process time in ms: 0