HIBURAN

Ariel dan Kaseh si kembar Ziana

Ariel dan Kaseh si kembar Ziana




SELEPAS dikurniakan cahaya mata comel Muhammad Aiman, 10, Muhammad Ammar, 7, serta terbaru kembar lelaki dan perempuan, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, 5 bulan, si ibu jelita yang menjunjung gelaran penyumbang vokal lantang, Ziana Zain meluahkan hasrat enggan hamil lagi.

Bukan bercakap besar atau sengaja menepis ketentuan yang mendatangi diri kelak. Hakikatnya, empat zuriat itu sudah menjadi kepuasan total sekali gus menyempurnakan institusi kekeluargaan di bawah takhlukan sang suami, Armin Zaharin.

Begitupun, mulut betah Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain bukanlah suka-suka melontarkan kenyataan tersebut. Sebaliknya wanita berusia 42 tahun itu ada alasan relevan mengapa tidak mahu mengandung lagi selepas ini.

"Empat orang anak cukuplah. Ditambah dapat bayi kembar dan seorang anak perempuan sudah membahagiakan saya serta keluarga. Kalau boleh saya hendak tutup kilang lepas ini.

"Jangan salah faham, ia tidak bermakna saya menolak takdir daripada Tuhan kalau ada rezeki suatu hari nanti. Tapi sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran, saya kena bijak jaga kesihatan sendiri ditambah usia macam saya tidak digalakkan lagi oleh doktor untuk hamil.

"Selain itu, saya kena fikir tentang duit dalam poket. Iyalah, perbelanjaan pelajaran anak sudah semakin meningkat. Dulu ada banyak sekolah kebangsaan biasa. Sekarang banyak pilihan sampaikan yuran persekolahan saja mencecah RM1,000 untuk seorang anak.

"Jadi boleh dikatakan faktor ekonomi juga menjadi salah satu penyebab saya tidak mahu mengandung. Cukup dengan empat orang yang sudah ada," katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun kedua web portal hiburan, www.murai.com di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor Jumaat lalu.

Ziana yang mengenakan gaun menawan rekaan Syaiful Baharim sambil mengenakan aksesori tajaan Rafflesia berharga RM350,000 muncul buat kali pertama di khalayak setelah berehat seketika daripada medan seni hampir setahun lalu.

Membuat kemunculan lebih awal, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Madah Berhelah itu melahirkan Ariel dan Kaseh secara pembedahan di KPJ Pusat Perubatan Selangor, Shah Alam pada 23 Julai tahun lalu.

Ziana memunculkan diri kali terakhir di khalayak ketika Anugerah Juara Lagu 23 (AJL 23) dengan melagukan karya Dingin.

Niat di hati Ziana ingin melakukan kehadiran semula pada Februari ini. Namun disebabkan tidak terdaya menolak banyak pelawaan daripada teman-teman media, akhirnya dia melangkahkan kaki sedikit awal daripada dirancangkan.


KEMBALI langsing seperti dahulu, Ziana bagaimanapun mengakui enggan mengandung lagi selepas ini.


"Bukan ada sebarang maksud tersendiri saya ingin muncul pada Februari. Cuma saya sudah ambil keputusan hendak mula bekerja kuat dengan menjayakan undangan persembahan dan sesi fotografi bermula bulan tersebut.

"Tapi tiada masalah kalau keluar cepat sikit sekalipun. Bayangkan apabila ada wartawan yang menghubungi saya sejak Disember lalu untuk merakamkan gambar terbaru. Waktu itu tidak yakin lagi sebab badan masih nampak besar.

"Sudahlah dilantik jadi duta produk rawatan kecantikan badan, badan tetap kelihatan berisi lepas beranak. Jadi saya nekad untuk nampak kurus seperti sedia kala sebelum bertemu kembali dengan masyarakat," jelas Ziana yang menjadi jurucakap Slim World sejak tujuh tahun lalu.

Ditanya sejauh mana dia berpuas hati dengan bentuk badannya sekarang, Ziana lekas menjawab: "Puas hati dapat bentuk badan yang ada. Tapi saya ingin nampak kurus lagi. Sekarang berat saya sebanyak 51.5 kilogram (kg). Kalau boleh mahu sasar 49 kg."

Tidak berniat sorok bayi

Bagai menjadi lumrah Ziana, setiap kali bersalin, maka setiap kali itu jugalah dia menyorokkan diri daripada umum untuk tempoh panjang. Bahkan, wajah anak-anaknya juga tidak dapat ditatap oleh peminat.

Dalam nada lembut, Ziana seraya menolak tanggapan dia cuba merahsiakan tentang si kembar tidak seiras, Ariel dan Kaseh daripada pengetahuan ramai.


SELEPAS lebih lima bulan melahirkan anak kembar Ariel dan Kaseh, Ziana membuat penampilan sulung pada majlis sambutan ulang tahun kedua portal murai.com.


"Saya sendiri masih menunggu waktu yang sesuai untuk memperkenalkan anak kembar ini kepada khalayak. Masanya akan tiba juga suatu hari nanti. Bukan sengaja saya hendak sorok mereka. Tapi ada sebab kenapa saya buat begini.

"Mereka lahir tidak cukup bulan ditambah saya juga kurang sihat sebelum dan selepas bersalin. Sebab itulah saya tangguhkan dulu hajat ingin menunjukkan bayi kembar ini. Lagipun saya kelam-kabut menguruskan mereka kerana sebelum ini tiada pembantu rumah.

"Walaupun lahir dalam usia lapan bulan, mereka tetap aktif. Bukan mudah untuk jaga dua bayi serentak. Cuma baru-baru ini saja ada orang membantu jaga Ariel dan Kaseh. Kini barulah dapat perbaiki semula hidup saya," tutur Ziana sejujurnya.

Bercakap tentang nikmat memperoleh bayi kembar, Ziana sempat berseloroh bahawa empunya diri tidak perlu mengandung berulang-ulang kali umpama golongan ibu lain.

"Bila dengar hamil anak kembar, pasti ada yang cakap ia mengujakan sebab hadir secara ekspres dan serentak. Dalam soal ini, lain pula situasinya dengan saya. Kalau bayi kembar lain selalu bangun tidur dan berjaga serentak, Ariel dan Kaseh pula tidak macam itu.

"Saya kena berjaga sampaikan tidur malam tidak cukup. Ini belum lagi kalau mereka selesema dan merengek. Inipun saya sudah rasa pening-pening lalat," canda Ziana lalu tergelak besar.

Ariel yang lahir seberat 2.1 kg kini naik kepada 6.5 kg manakala Kaseh sebelum ini 1.7 kg bertambah berat 5.3 kg.

Tidak ketinggalan, jika sebelum ini dia sering membelikan baju untuk anak saudara perempuan, kini tibalah saat dia melepaskan geram menyarungkan Kaseh dengan pakaian rekaan terkini yang banyak di pasaran.

"Penantian lama hendak mempunyai anak perempuan akhirnya berbaloi. Saya selalu berangan-angan belikan baju untuk bayi sendiri. Akhirnya saya pakaikan Kaseh dengan itu dan ini sampaikan pak ciknya (Anuar Zain) cakap anak saya ibarat pokok krismas," luah Ziana sambil ketawa mengekeh.

Teruskan karier pada 2010

Puas sudah berehat panjang, kalender 2010 yang baru merangkak menjadi tahun untuk Ziana meneruskan semula aktiviti seni. Tidak dinafikan, bermacam-macam rencana sudah ada dalam fikiran penyanyi itu. Tinggal lagi menanti waktu sesuai untuk direalisasikan.

Bercakap tentang dunia nyanyian, Ziana berkongsi cerita dengan peminat bahawa dia bakal muncul dengan single tidak lama lagi. Itu pasti menjadi pengubat kerinduan buat pemuja jenama Ziana Zain di luar sana.

"Untuk permulaan, saya akan keluar dengan dua buah single. Buat masa ini, saya tidak boleh cakap lagi sebab ia masih dalam peringkat perbincangan," ujarnya.


BERSEDIA untuk kembali ke pentas hiburan, Ziana sudah punya jadual ketat untuk tahun ini.


Tidak kalah dengan dunia nyanyian, Ziana terus laris apabila menerima tawaran pengacaraan dan lakonan.

"Alhamdulillah, rezeki semakin bertambah apabila saya diundang menjadi pengacara dan terlibat dalam program pencarian bakat nyanyian, Mentor musim terbaru.

"Selain itu, saya juga diberikan peluang untuk berlakon teater kanak-kanak yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Mac nanti. Tapi saya belum beri kata persetujuan kerana waktunya hampir sama dengan Mentor," jawabnya ringkas sambil melayangkan senyuman manis.

Tahun ini juga peminat bakal menyaksikan wajah Ziana di skrin lebar menerusi filem berkulitkan muzikal pengembaraan, Magika terbitan KRU Studios. Siapa sangka, Ziana menerajui watak bersisi lain iaitu Nenek Kebayan Ratu Jamu.

Rencana Utama!»

Reggae denyut nadi Jamaica

BOB Marley telah meletakkan muzik reggae di peta dunia dengan lagu-lagu menarik nyanyiannya.

Pesona!»

Perjuangan tingkat ekonomi ummah

ZAINAH dan suaminya bergambar bersama lapan pelajar perintis Akademi DR3 - Road To Millionaire serta kakitangan syarikatnya sewaktu pelancaran akademi tersebut baru-baru ini.

Varia!»

Cerai melalui talak taklik

LAFAZ taklik biasanya diucap selepas selesai akad nikah dan isi kandungannya adakalanya berbeza mengikut negeri. - Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16