RENCANA UTAMA

Pakaian 1Malaysia Seai Kie

Pakaian 1Malaysia Seai Kie

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie memiliki semua jenis pakaian tradisional termasuk sari, kebaya dan baju kurung




ANGGUN menggayakan pakaian tradisional ceongsam labuh berwarna oren, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini cukup petah dan mesra berbicara.

Fasih berbahasa, sesuai dengan jawatan yang disandangnya, Senator Heng Seai Kie, 47, mengakui perjalanan tugasnya sebagai ahli politik wanita bukanlah mudah.

“Penglibatan wanita dalam politik memang penting untuk pembangunan negara kerana mereka lebih memahami kehendak golongan wanita.

“Saya bangga melihat ramai wanita yang memegang jawatan penting dalam kerajaan pada hari ini. Ia sangat perlu demi mewujudkan satu dasar pentadbiran negara yang seimbang,” ujar beliau.

Kerjaya politik yang diceburinya sejak tiga tahun lalu langsung tidak membuatkan dirinya menoleh ke belakang biarpun pernah memiliki kerjaya yang stabil dan mantap sebelum bergelar Timbalan Menteri.

Ikon


SEAI KIE (tiga dari kiri ) memberi kata semangat kepada pasukan Malaysia yang beraksi di Kejohanan Dunia Persembahan Seni Los Angeles 2009 di Kuala Lumpur.


“Saya bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar di Ipoh sebelum ini. Tapi setelah dilantik sebagai senator, saya ambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya politik pula.

“Saya juga banyak melakukan kerja-kerja amal dan sukarela, terutama untuk kebajikan ibu tunggal, anak yatim dan warga emas.

“Menjadi ahli politik bukanlah sesuatu yang dirancang kerana saya tidak pernah bercita-cita untuk bergiat dalam bidang ini.

“Cuma saya sentiasa mengingati kata-kata seorang pensyarah saya yang berketurunan India semasa menuntut di universiti dahulu.

“Katanya, kalau ingin melihat negara maju, semua generasi muda yang berpendidikan perlu tampil ke depan untuk menyumbang sesuatu kepada pembangunan bangsa,” ujar wanita pertama yang menjawat jawatan Senator dari negeri Perak ini.

Prinsip yang dipegang Seai Kie mudah sahaja. Apa yang perlu diutamakan adalah kepentingan rakyat.

“Cabaran dalam dunia politik sangat banyak. Namun, kita mesti mengharunginya dengan tabah serta yakin terhadap diri sendiri.

“Politik amat penting kalau kita benar-benar ingin memberi sumbangan secara berkesan kepada negara,” ungkap Seai Kie.

Sementelah berkecimpung dalam bidang politik dan pendidikan, Seai Kie menjadikan aktivis Myanmar, Aung San Suu Kyi sebagai ikon kerana mengagumi ketabahan dan kegigihan tokoh tersebut dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Beliau merupakan seorang wanita tabah yang sanggup mengorbankan kepentingan dan keselesaan diri demi menegakkan kebenaran di negaranya.

“Keberanian beliau dalam menghadapi segala cabaran perlu dicontohi oleh semua wanita khususnya ahli-ahli politik,” bicaranya.

Slot seram


KIRI: GABUNGAN Seai Kie dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencerminkan semangat 1Malaysia.


Ditanya usaha dan peranan kementeriannya dalam merealisasikan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Seai Kie memberitahu pelbagai usaha telah dijalankan.

“KPKK menjadi peneraju utama gagasan 1Malaysia berteraskan Rukun Negara. Ia bagi mewujudkan sebuah negara bangsa melalui wadah penerangan, komunikasi dan kebudayaan.

“Melalui aspek kebudayaan, kami menyediakan pelbagai program bersifat integrasi bagi menyatupadukan semua rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Bila dilihat, dalam kesatuan itu wujud kepelbagaian dan dalam perbezaan itu pula ada kesamaan,” tuturnya yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi.

Turut mengetengahkan isu kemelut yang melanda parti MCA baru-baru ini, beliau menjelaskan semuanya masih terkawal dan hanya bertumpu pada pucuk pimpinan parti, bukan di peringkat akar umbi.

“Kemelut di kalangan pucuk pimpinan bukanlah perkara baru kepada parti politik di Malaysia. Isu berebut jawatan memang sudah menjadi sebahagian daripada politik.

“Mana-mana parti komponen Barisan Nasional mahupun parti pembangkang, tidak terlepas daripada isu ini.

“Tetapi biar apa pun konflik yang berlaku, ia haruslah ditangani secara permuafakatan dan berasaskan matlamat perjuangan parti.

“Saya harap isu ini dapat diselesaikan dengan segera sebelum ia menyebabkan perpecahan,” luahnya.




Menyentuh tentang slot drama seram yang semakin banyak ditayangkan di televisyen kebelakangan ini, beliau memberitahu ia merupakan satu trend yang telah wujud sejak dahulu lagi.

“Trend ini pada awalnya dimulakan oleh Jepun. Ia kemudiannya merebak ke negara Barat dan seterusnya dibawa ke Malaysia.

“Perkara ini pernah dibangkitkan di Parlimen, tetapi sebenarnya ia merupakan satu elemen yang perlu ada dalam siaran televisyen. Dalam masa yang sama, ia dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Walaupun kurang membawa kebaikan, slot tersebut merupakan satu pengalaman yang perlu dialami.

“Sekurang-kurangnya kalau orang tanya bagaimana sesuatu cerita hantu itu dihasilkan, kita ada jawapannya.

“Namun begitu, slot tersebut tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak dan mereka mesti berada di bawah bimbingan ibu bapa,” ujarnya yang kurang meminati siri seram.

Tuntutan kerja yang menggunung tidak menghalang Seai Kie untuk meluangkan sedikit masa bersama keluarganya biarpun terpaksa berulang-alik ke Ipoh untuk menemui anak lelakinya yang berumur tujuh tahun.

“Saya bertuah kerana suami saya seorang yang sangat memahami. Malah suami, Chiam Yeong Hock, 49, sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada saya.

“Setiap hujung minggu dan hari cuti, saya akan luangkan sedikit masa untuk bersama keluarga saya di Perak.

“Ibu saya dan juga ahli keluarga yang lain banyak membantu menjaga anak saya.

“Lebih baik dia tinggal bersama neneknya tanpa perlu berpindah-randah kerana itu mungkin menjejaskan pelajarannya nanti,” tuturnya.

Pakaian berjenama




Berbicara mengenai aktiviti masa lapang beliau, Seai Kie merupakan seorang yang tidak suka menghabiskan masa di luar, sebaliknya lebih gemar berada di rumah bersama keluarga.

“Memandangkan saya seorang yang sangat sibuk, bila ada kelapangan, saya lebih suka berehat di rumah sambil mendengar muzik klasik dan membaca buku.

“Kalau berkesempatan, saya dan suami akan sama-sama menanam pokok bunga di halaman rumah,” tuturnya yang turut mempunyai koleksi bonsai di ruang pejabat.

Berlainan daripada wanita bekerjaya yang lain, Seai Kie lebih senang berpakaian ringkas dan selesa berbanding mengenakan pakaian mahal dan berjenama.

“Saya selesa dengan pakaian yang ringkas. Lagipun saya tak suka membeli-belah sangat.

“Melainkan kalau saya menghadiri majlis keramaian, baru saya pakai pakaian mengikut kesesuaian acara majlis tersebut.

“Contohnya, kalau saya dijemput untuk meraikan rumah terbuka hari raya, saya akan memakai baju kurung untuk menunjukkan penghormatan saya terhadap majlis tersebut.

“Begitu juga dengan majlis-majlis lain,” katanya yang mempunyai koleksi semua pakaian tradisional termasuk sari, kebaya dan baju kurung.

Rencana Utama!»

Tingkatkan pendapatan penternak

PROGRAM Pembangunan Tenusu di Vietnam bertujuan untuk mengoptimumkan keuntungan.

Pemotoran!»

HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi

CH Ng (tengah) bersama dua pelumba pasukan Yamaha MotoGP turut menyertai majlis pelancaran model MT-07 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Horizon!»

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15