RENCANA UTAMA

Gunung tercantik di dunia

Gunung tercantik di dunia




DUA tahun lalu, gunung berapi itu pernah dimasukkan untuk pencalonan sepuluh kawasan semula jadi dalam senarai terbaru Tujuh Keajaiban Dunia sebelum 'disingkirkan' oleh jirannya sendiri, Puerto Princesa Subterranean.

Bagaimanapun, ramai melihat kegagalan Mayon di wilayah Albay di Bicol, selatan pulau Luzon di tengah Filipina itu akibat kebimbangan pihak berkuasa berikutan kemunculan tanda-tanda amaran ia akan aktif dan mengganas semula.

Hakikatnya, Mayon tidak pernah meragut mangsa sejak 16 tahun lalu selepas ia membunuh 77 orang pada 1993, itu pun disebabkan kedegilan penduduk terbabit mengikut arahan pihak berkuasa supaya mereka berpindah. Sebaliknya mereka masih leka bercucuk tanam di kebun.

Di sebalik persepsi negatif, Mayon tidak memiliki sejarah kejam, bahkan penduduk menggelarnya Magayon sempena kisah legenda seorang srikandi Filipina, dikenali sebagai Daragong Magayon yang bererti wanita cantik dalam dialek tempatan.

Tidak hairanlah, sesuai dengan namanya, Mayon dianggap gunung berapi tercantik di dunia. Termasuk dalam kategori stratovolcano iaitu memiliki banyak lapisan bertingkat, ia turut dirujuk kerana bentuk kon simetrik paling sempurna.

Dari segi geografi, Mayon yang mencatat ketinggian 2,462 meter dari paras laut itu ialah sebahagian daripada lingkaran api Lautan Pasifik dan disifatkan gunung berapi paling aktif di Filipina berbanding Pinatubo, Taal, Canlaon dan Ragang.

Ironinya, Mayon yang terletak hanya sepuluh kilometer dari Teluk Albay itu dikelilingi pula oleh banyak zon perbandaran yang padat penduduk iaitu Legazpi, Daraga, Camalig, Guinobatan, Ligao, Tabaco, Malilipot dan Santo Domingo.

Bayangkan rekod 49 kali letusan, ia mencipta rekod sebagai gunung paling kerap memuntahkan lahar berbanding saingan terdekat, Taal yang setinggi 400 meter. Taal sudah meletus sebanyak 33 kali sejak 1572 hingga 1977.


GUNUNG Berapi Mayon dianggap gunung berapi tercantik di dunia kerana memiliki banyak lapisan bertingkat.


Mereka yang hidup di sekitar Mayon boleh dianggap lali malah bosan dengan arahan kerajaan untuk bersiap siaga dipindahkan tetapi kesudahannya, ia menjadi 'pembaziran' apabila gunung itu tidak pula meletup.

Dilema

Kali terakhir pemindahan besar-besaran melibatkan lebih 73,000 penduduk apabila Mayon meletus pada 1984 dan sejak itu, jumlah mereka yang diarahkan berpindah semakin berkurangan dan ramai lebih rela mati di rumah sendiri.

Ada yang mempertikaikan ramalan Institut Kajian Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) yang disifatkan sebagai kurang berpengalaman dan mudah gelabah apabila baru ternampak asap kecil berkepul di puncak gunung berapi itu.

Ini dapat dilihat pada pertengahan 2006 apabila agensi itu mengerah 20,000 penduduk berpindah kononnya Mayon akan meletup pada bila-bila masa dan selepas lima bulan, ternyata gunung itu sebenarnya belum lagi tiba waktu untuk meletus.

Sebaliknya, jika dilihat sejarah ramai penduduk yang maut bukan kerana letusan Mayon tetapi faktor lain seperti bencana Taufan Durian pada akhir 2006. Ia mengakibatkan banjir lumpur dan lebih 1,300 orang yang mati ditimbus hidup-hidup.

Malapetaka dahsyat itu juga meragut nyawa ramai pelajar Universiti Aquinas di Legazpi City yang sedang tidur di asrama selain menyebabkan banjir besar dan bekalan elektrik terputus di beberapa bandar raya berdekatan untuk tempoh yang lama.

Angka itu kurang separuh daripada jumlah yang maut ketika Mayon mengganas pada 1 Februari 1814 tetapi ia tidak dapat menandingi letusan pada 1766 apabila lahar gunung tersebut mampu mencecah puncak menara loceng sebuah gereja.

Ketika itu, lahar Mayon bukan sekadar memadam pekan Cagsawa daripada peta Filipina, malah mencapai paras semua pokok yang setinggi sembilan meter dan langsung menghilangkan rangkaian sungai di sekitar kawasan tersebut.


JOSEFA CALLOSl, 35, dan anak perempuannya Giselle, 8, menganyam serat abaca untuk dijadikan tali di pusat pemindahan sementara di bandar Tabaco, Albay, di selatan Luzon.


Lebih seabad kemudian iaitu pada 23 Jun 1897, Mayon kembali menggegarkan bumi dengan hujan lahar selama tujuh hari tanpa henti dalam lingkungan 160 kilometer persegi. Ia menimbus ratusan penduduk dan pekan sehingga ketinggian 15 meter.

Kini, penduduk Teluk Albay hidup dalam dilema apabila Pengarah Phivolcs, Renato Solidum pada 28 Disember 2009 lalu menyifatkan Mayon belum 'berehat' walaupun status amaran diturunkan kepada paras sederhana rendah.

Bagaimanapun, mereka boleh menarik nafas lega apabila kajian agensi itu awal tahun ini menunjukkan jika berlaku letusan, dianggarkan antara 20 juta hingga 23 juta meter padu lahar sahaja yang akan dimuntahkan untuk letusan ke-50.

Ia kecil berbanding letusan terakhir pada 2006 menyaksikan 60 juta meter padu lahar penuh gas berbahaya sulfur dioksida. Saintis menjangka kekurangan itu mungkin akibat Mayon terlalu kerap meletus dalam jangka waktu yang hampir.

Data diperoleh hasil pemantauan berkala Phivolcs menerusi tiga unit telemetrik yang dipasang di lereng gunung itu dan dianalisis ibu pejabat agensi tersebut di Ligñon Hill, 10 kilometer dari situ dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Filipina.

Tenaga geotermal

Adakah ramalan Phivolcs itu sekadar menutup kelemahan selepas dikritik ramai pihak kerana kurang efektif atau mungkin juga ini menandakan zaman Mayon sebagai gunung berapi aktif bakal berakhir tidak lama lagi?

Sementara itu, Profesor Dr. Azman Abdul Ghani dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) berkata, gunung berapi memberi kesan yang buruk bukan sahaja kepada manusia tetapi juga pada hidupan lain. Namun, tanpa kita sedari gunung berapi juga memberi impak yang baik.

"Paling besar ia boleh mengakibatkan bencana alam. Kita tidak dapat menganggarkan bila gunung berapi akan meletup walaupun pelbagai alat canggih digunakan. Apabila berlakunya letupan besar serta-merta kematian akan berlaku.


PELANCONG tidak melepaskan peluang merakamkan gambar mereka berlatarbelakang Mayon.


"Walau bagaimanapun, bukan semua gunung berapi memberi impak negatif. Sebaliknya ia dapat mengeluarkan tenaga geotermal. Tenaga panas yang tersimpan dalam perut bumi yang memberi manusia alternatif bagi menggantikan tenaga elektrik.

"Tetapi tidak semua gunung berapi mengeluarkan tenaga geotermal. Hanya gunung berapi di Jepun dan New Zealand didapati mempunyai tenaga geotermal," katanya.

Bagaimana kejadian gunung berapi boleh berlaku?

"Gunung berapi terjadi apabila plat tektonik berlanggar antara satu sama lain. Plat tektonik ini merupakan kerak bumi yang disokong oleh cairan lahar yang dikenali sebagai magma di bawahnya.

"Apabila berlakunya pergerakan antara plat tektonik, ia akan memberi tekanan kepada magma untuk keluar daripada gunung berapi," katanya yang memberitahu di Asia terdapat tiga negara yang mempunyai gunung berapi iaitu Jepun, Indonesia dan Filipina.

Tambahnya, gunung berapi juga memberi kesan yang buruk kepada hidupan. Ini kerana, pengoksidaan SO2 yang berterusan daripada gunung berapi akhirnya menyebabkan hujan asid.

Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan dan kereta menjadi pudar, mudah rosak dan cepat berkarat.

Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka yang berpenyakit seperti mengidap asma.

Rencana Utama!»

Persiapan warga emas hadapi banjir

PAK LEH yang tinggal di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh, Kampung Pasar Lama, Kota Bharu, Kelantan menunjukkan jarak sungai dengan rumahnya yang terlalu hampir.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47