HIBURAN

KD kahwin tahun ini!

KD kahwin tahun ini!




JODOH adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh tuhan. Cepat atau lambat, semua itu bergantung pada jodoh masing-masing.

Begitu juga dengan penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti. Biarpun tidak sampai tiga bulan dirinya menjanda, Krisdayanti atau KD nekad membuat keputusan untuk membina mahligai baru tahun ini demi masa depannya serta anak-anak.

Walaupun mengaku bakal menjadi isteri buat kali kedua selepas gagal pada perkahwinan pertamanya bersama Anang Hermansyah, KD masih lagi berahsia dengan siapakah dia akan berkahwin.

Di kalangan media Indonesia, khabar angin mengatakan KD mungkin akan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan Timor Leste, Raul Lemmos. Raul juga dikatakan punca keretakan rumah tangga KD dengan Anang.

Pihak media negara seberang juga membuat spekulasi bahawa KD akan berkahwin pada hujung bulan ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai desas-desus itu, KD segera menafikannya.

"Saya bukannya nak kahwin hujung bulan ini, tetapi kalau tahun ini, memang benar.

"Saya pun hairan bagaimana isu itu timbul dan yang peliknya Anang yakin bahawa saya sudahpun bernikah. Saya tak akan berkahwin tanpa memperkenalkan lelaki itu kepada anak-anak (Titania Aurelie dan Azriel Akbar) dahulu.

"Mungkin saya kena nyanyi lagu baru saya dan Siti (Datuk Siti Nurhaliza), Amarah kepada Anang," seloroh KD selepas pelancaran album CTKD - Canda, Tangis, Ketawa, Duka dan sambutan ulang tahun Siti yang ke-31 di Hotel JW Marriot kelmarin.

Tambah penyanyi berusia 34 tahun itu, dia dan bakal suaminya masih lagi merancang mengenai persiapan perkahwinan mereka.

Siti menyanyi di majlis KD

Kata KD lagi, dia akan menjemput Siti menjadi penyanyi undangan pada majlis perkahwinannya nanti.

"Jika dahulu, saya menyanyi pada majlis perkahwinan Siti, kini giliran saya pula (ketawa).

"Saya ada terfikir adakah benar saya akan berkahwin buat kali kedua. Rasanya perancangan berkahwin itu bukanlah keputusan yang tergesa-gesa. Ia tidak mudah bagi saya. Cuma untuk kali ini saya akan lebih berjaga-jaga.

"Dengan ada pengalaman perkahwinan pertama, pasti ada traumanya. Tetapi saya akan cuba mengawasi diri," kata KD yang berharap perkahwinannya buat kali kedua akan kekal sehingga hujung nyawa.


DUA penyanyi terkenal ini berkongsi suka duka menerusi album terbaru mereka CTKD - Canda, Tangis, Ketawa, Duka.


Bercerita mengenai album baru mereka, KD gembira kerana album CTKD - Canda, Tangis, Ketawa, Duka sempat diberikan kepada Anang ketika berjumpa dengannya secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta pada 4 Januari lalu.

Kata KD, Anang yang ketika itu bersama-sama dengan Aurelie dan Azriel agak terkejut dengan album yang diberikannya.

"Perancangan untuk membuat album duet bersama Siti sudah lama, ketika saya masih lagi menjadi isterinya. Bila kami berjumpa secara kebetulan di lapangan terbang, saya berikan album itu kepadanya.

"Dia pun tak sangka yang album ini akan menjadi kenyataan, kerana inilah impian saya dahulu," tuturnya.

Album CTKD - Canda, Tangis, Ketawa, Duka telah pun dipasarkan pada 28 Disember lalu melalui edaran Suria Records memuatkan enam buat lagu iaitu Jika Kau Tak Datang (Audi Mok/Krisdayanti/Riznadianka), Sebagai Teman (Sharon Paul/Lew Mable) dan Tanpamu (Charly ST12).

Turut dimuatkan dalam album itu lagu Amarah (Audi Mok/Datuk Siti Nurhaliza), Hanya Dia (Aubrey Suwito/Pacha Adrian) dan Dalam Diamku (Audi Mok/Krisdayanti & Riznadianka)


SELEPAS sekian lama melahirkan hasrat berduet bersama, akhirnya impian Siti dan KD tercapai.


Menurut KD, dia juga tidak sangka impiannya berduet bersama Siti akhirnya tercapai juga.

"Album ini bukan sahaja lambang persahabatan kami, tetapi menerusi muzik yang kami sampaikan banyak perkara yang boleh disatukan.

"Secara simboliknya, album ini adalah satu penyatuan tidak mengira agama, bangsa dan negara. Ia juga melambangkan perdamaian dan perpaduan yang harus dikekalkan.

"Kami berharap Malaysia dan Indonesia menjadi lebih akrab bukan sahaja melalui muzik yang dibawakan, bahkan juga perkara-perkara lain," katanya yang memberitahu album tersebut akan dipasarkan di Indonesia pada 27 Januari ini.

Sementara itu, beritahu Siti pula, antara lagu yang paling susah untuk dibawakan ialah Dalam Diam kerana memerlukan kedua-dua penyanyi itu menyanyi serentak menggunakan dua studio.

"Walaupun sukar, tapi ia tetap menyeronokkan," ujar Siti.

Process time in ms: 47