KESIHATAN

Telinga tiada tulang rawan

Telinga tiada tulang rawan

Selain menjadikan seseorang itu kurang keyakinan diri, Microtia turut menjejaskan tahap pendengaran penghidapnya.




KECACATAN pembentukan telinga luar seperti kelopak telinga yang tidak terbentuk sempurna sering sahaja menjadikan seseorang itu kurang keyakinan diri.

Menurut Pakar Bedah dan Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yap Lok Huei, kebanyakan kecacatan telinga luar berlaku ketika dilahirkan lagi.

Menurutnya, sehingga kini doktor masih tidak mengetahui puncanya walaupun pertumbuhan telinga berlaku sama seperti organ lain iaitu semasa tempoh kehamilan.

“Banyak jenis kecacatan terjadi pada telinga, namun yang utama ialah Microtia yang bermaksud telinga kecil atau mikro.

“Dalam kebanyakan kes, telinga mikro tidak lebih daripada segumpal tisu dengan sedikit pembentukan telinga luar,” katanya.

Telinga mikro diklasifikasikan melalui bahagian yang boleh dikenal pasti berdasarkan keadaan telinga normal.

Salah satu jenis pengelasan yang sering digunakan ialah mengikut jenis kecacatan yang terjadi pada cuping telinga.


KAEDAH Nagata yang menggunakan tulang rawan bagi membentuk semula bahagian telinga luar adalah yang paling terperinci.


“Telinga mikro adakalanya tiada langsung tulang,” jelas Lok Huei.

Kecacatan kedua yang sering berlaku ialah perkembangan telinga yang tidak simetri yang dikenali sebagai hemifacial microsomia.

Lok Huei berkata, dalam keadaan normal, tisu kelopak telinga luar yang disebut pina atau aurikel terletak simetri di kedua-dua belah wajah. Kedudukan ini membolehkan kita mengesan punca bunyi yang datang dari pelbagai arah.

“Bagi kecacatan ini, kedudukan dua telinga tersebut tidak sama begitu juga kedudukan rahang dan tulang pipi.

“Acapkali pesakit akan mengalami keadaan wajah yang senget,” ungkap Lok Huei.


YAP LOK HUEI


Menyentuh mengenai pembedahan bagi membentuk semula telinga luar, ia telah dilakukan sejak dahulu lagi menggunakan pelbagai teknik dan material.

Kaedah Nagata

“Namun, secara peribadi saya menganggap Kaedah Nagata yang menggunakan tulang rawan bagi membentuk semula telinga luar yang abnormal adalah yang paling terperinci.

“Terperinci di sini bermaksud pembentukan semula aurikular boleh dilakukan sehingga mencapai tahap kesempurnaan telinga luar normal,” jelas Lok Huei.




Teknik pembedahan pembentukan semula aurikular Nagata melibatkan dua peringkat penstrukturan semula keseluruhan aurikular.

Bagi peringkat pertama, pembedahan melibatkan pengumpulan sejumlah tulang rawan, pembentukan tulang rawan secara pembingkaian tiga dimensi dan memasang bingkai 3D itu di tempat yang tepat.

“Manakala peringkat kedua membabitkan pembentukan semula aurikel bagi dipadankan dengan kedudukan telinga sebelah lagi yang normal.

“Bagi kes yang membabitkan kedua-dua aurikel, pakar akan mengukur kedudukan yang dianggap ideal mengikut struktur muka,” ujar Lok Huei.

Penggunaan tulang rawan bagi pembedahan penstrukturan semula aurikel ini disebabkan beberapa faktor.

Menurut Lok Huei, tulang rawan diambil kerana komposisinya yang mudah dilentur termasuk mempunyai tahap jisim yang sama dengan aurikel.

“Tulang rawan mempunyai sel istimewa yang digelar kondrosit. Sel ini menghasilkan sejumlah besar gentian kolagen, kaya dengan proteoglikan serta gentian elastin,” katanya sambil menunjukkan rajah anatomi tulang rusuk manusia.


RAWAN tulang rusuk diambil bagi membentuk semula cuping telinga.


Sambungnya lagi, tulang rawan tidak mengandungi saluran darah. Jadi ia tumbuh dan pulih dengan kadar yang lebih perlahan berbanding tisu jenis lain.

“Oleh kerana ia tidak sekeras tulang dan kurang fleksibel berbanding otot, penggunaan tulang rawan amat sesuai bagi pembedahan membentuk semula kecacatan aurikel.

Selain itu, kaedah konvensional menggunakan skru atau gam mempunyai banyak risiko yang perlu pesakit hadapi seperti jangka hayat penggunaan bahan, perubahan warna dan tekstur kulit serta pembentukan kelopak telinga yang tidak sempurna.

Process time in ms: 16