HIBURAN
Jay hero remaja

BERMULA dengan filem Initial D diikuti Curse of the Golden Flower, Secret dan Kung Fu Dunk, Jay Chou yang bermula sebagai penyanyi sering kali dikritik media kerana tidak menyerlah dalam aspek lakonan. Dikutuk tidak mempunyai ekspresi muka serta kaku, Jay bagaimanapun tidak pernah mengalah.
Dalam masa lima tahun sejak pembabitan dalam filem pertamanya, audiens boleh melihat ikon muda Asia itu menunjukkan peningkatan. Paling ketara adalah dalam filem terbarunya, The Treasure Hunter yang diarahkan oleh Kevin Chu.
Memainkan watak sebagai Qiao Fei, pendekar mahir berkung fu yang mempertahankan harta karun daripada jatuh ke tangan penjahat, Jay, 30, diyakini lebih matang tidak kira dari segi lakonan mahupun perwatakan diri sebenar. Filem tersebut mula ditayangkan sejak 24 Disember lalu.
Bertemu dengan media Malaysia untuk promosi filem itu bersama aktres utama, Lin Chi Ling (Lan Ting) dan pengarah filem tersebut, Jay kali ini lebih mesra dan selesa berkongsi cerita berbanding penampilan pemalunya sebelum ini.
Berlatarbelakangkan padang pasir Mongolia, The Treasure Hunter menjalankan penggambaran selama dua bulan setengah, mengisahkan Qiao Fei yang diamanahkan untuk menyimpan peta lokasi harta karun oleh mentornya. Namun, dia terpaksa mengorbankan peta itu bagi menyelamatkan anak mentornya, Lan Ting.
Mempunyai elemen yang sama seperti filem pencarian harta karun yang lain, Jay kini sibuk dengan penggambaran filem Hollywood, The Green Hornet yang bakal ditayangkan tahun depan. Bagi mendalami pengalaman serta perkembangan terbaru Jay, ikuti petikan temu bual di bawah.
Kosmo!: Boleh ceritakan perasaan anda menjalankan penggambaran di padang pasir?
JAY: Padang pasir memberikan satu perasaan yang misteri. Namun, bukan semua orang mahu melancong ke tempat sebegitu. Apabila saya mendapat tahu saya akan berlakon di padang pasir, saya teruja tapi prosesnya amat sukar. Pengarah menggunakan kipas besar untuk meniup pasir di setiap penjuru.
Jadi semua tempat yang ada lubang seperti mulut, mata, telinga dan hidung dipenuhi dengan pasir. Makanan kami juga dipenuhi pasir. Cuma selepas melihat keindahan padang pasir pada waktu senja yang berwarna keemasan, semua penat lelah itu dilupakan.
Difahamkan anda menjayakan 99 peratus daripada keseluruhan babak aksi dalam filem The Treasure Hunter. Mengapa anda tidak menggunakan pelakon lagak ngeri?
Babak aksi dalam filem itu lebih banyak berbanding filem saya sebelum ini, Kung Fu Dunk. Sebenarnya saya memang suka bertarung. Walaupun ada babak yang pengarah sudah berpuas hati, saya masih mahu terus berlawan.
Mungkin ada penonton beranggapan saya ada menggunakan pelakon lagak ngeri gantian. Tapi jika anda melihat secara teliti, itu semua dilakukan oleh saya kecuali satu babak yang memerlukan saya berpusing di udara. Pergerakan itu terlalu bahaya bagi saya yang ada sejarah sakit tulang belakang.
Bagaimana kerjasama anda dengan Chi Ling? Ini merupakan gandingan pertama anda berdua.
Sebelum penggambaran, kami merupakan kawan. Jadi untuk mendapatkan keserasian bukan satu perkara yang sukar. Melihat lakonan pertamanya menerusi Red Cliff, Chi Ling menampakkan peningkatan.
Dia mampu menangis apabila disuruh pengarah dan tidak kisah imej cantiknya tercalar apabila menjayakan babak dirasuk roh. Dia juga belajar untuk berlawan kerana seronok melihat saya bertarung. Jadi saya merasakan dia seorang pelakon yang dedikasi.

Anda lebih matang dalam filem ini kerana tidak lagi memegang watak pelajar seperti dalam filem-filem sebelumnya?
Ia bergantung siapa pelakon wanita utama. Kali ini, saya berganding dengan Chi Ling. Jadi saya perlu menjadi lebih matang supaya bersesuaian dengannya dan dapat melindungi Chi Ling. Macam dalam Kung Fu Dunk, aktresnya ialah Charlene Choi. Jadi saya perlu menjadi lebih kebudak-budakkan.
Selain matang, anda menunjukkan lebih banyak emosi muka dalam filem ini.
Saya banyak belajar daripada Eric Tsang yang turut berlakon dalam filem ini. Lagipun saya merasakan diri saya mempunyai banyak persamaan dengan watak itu. Saya seorang yang nakal dan melakukan benda tanpa berfikir panjang. Jadi dalam kehidupan realiti, saya juga berharap dapat bertemu dengan wanita yang boleh melakukan apa sahaja bersama saya.
Anda sedang menjalankan penggambaran filem The Green Hornet arahan Michel Gondry. Ceritakan perbezaan antara produksi Hollywood dan Asia.
Perbezaan paling ketara adalah dari segi masa. Di Hollywood, mereka akan menjalankan latihan setengah bulan sebelum penggambaran dimulakan. Sama seperti membuat pementasan, mereka akan membaca skrip sebanyak 20 atau 30 kali dan ini membuatkan saya hilang kesabaran. Namun, melihat Cameron Diaz begitu sabar berlatih di sisi pengarah, saya terpaksa mengalah. Lagipun, saya dapat berjumpa Cameron lebih kerap.
Adakah perbezaan bahasa menyukarkan penggambaran?
Pada mulanya memang ada kesukaran tapi bahasa Inggeris saya sudah bertambah baik. Apabila kami menjadi rapat, ia memudahkan penggambaran. Saya juga ada mengajar mereka bahasa Mandarin. Saya juga mengambil peluang untuk memberikan cakera padat lagu saya kepada mereka kerana mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa saya ialah seorang penyanyi dan bukannya pelakon kung fu seperti Bruce Lee atau Jet Li.

Bagaimana dengan album baru? Adakah kita akan mendengar lagu baru anda dalam masa terdekat?
Sepatutnya album terbaru saya akan dipasarkan hujung tahun ini. Tapi disebabkan sibuk dengan penggambaran The Green Hornet, perancangan itu akan ditunda ke Februari atau Mac depan. Jangan risau, muzik tidak akan hilang daripada hidup saya.
Selepas Secret, filem arahan pertama anda, adakah anda mempunyai perancangan untuk mengarah lagi?
Saya tidak merasakan saya seorang pengarah yang baik kerana saya tidak suka mendengar pendapat orang. Lagipun mengarahkan filem adalah tugas yang memenatkan. Jadi buat masa ini, saya tidak mempunyai sebarang perancangan lagi. Jika saya mahu mengarah, saya akan menyalurkan bakat dalam klip video dulu. Ini kerana prosesnya lebih cepat dan saya boleh lihat hasilnya dengan segera.
![]() |
|
PELAKON berusia 30 tahun ini kini sibuk di lokasi filem barunya, The Green Hornet. |
Sampai bila anda hanya mahu memegang watak protagonis atau adakah anda memang menyukai watak adiwira?
Saya mahu menjadi seperti Andy Lau yang sentiasa menjayakan watak baik. Selain Andy, saya juga mengagumi Jet Li serta Leonardo Dicaprio. Rasanya diri saya masih merupakan kanak-kanak yang belum dewasa. Saya amat menyukai Batman dan mempunyai keretanya.
Jika saya ada anak nanti, saya akan memberikan dia katil model kereta Batman. Sejak kecil lagi saya meminati cerita-cerita sebegini. Jika bukan filem berkonsepkan hero, saya mungkin akan fikirkan dulu. Lagipun sekarang saya menjadi contoh kepada ramai remaja. Jadi watak jahat dilihat tidak sesuai dengan diri saya.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.




Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


