SUKAN

Chalin berjaya 'jinakkan' Samransak

Chalin berjaya 'jinakkan' Samransak


SELAMAT PENGANTIN BARU... Samransak bersama pasangannya, Chalin diraikan pada majlis persandingan di rumah pengantin lelaki di Taman Seri Permai, Alor Setar semalam.


PENYERANG Kedah, Samransak Kram, 24, menamatkan zaman bujang apabila mengahwini Pat Chalin, 22, pada majlis perkahwinan dalam istiadat Melayu di Alor Setar, semalam.

Pasangan pengantin yang mengenakan baju Melayu serta kebaya hijau memilih istiadat itu bagi meraikan rakan-rakan sepasukan dan masyarakat setempat pada majlis yang berlangsung di rumah pemain itu di Taman Seri Permai, Jalan Langgar.

Samransak yang berehat lebih sembilan bulan akibat kecederaan lutut kiri mengenali Chalin kira-kira empat tahun lalu di sebuah pusat membeli belah di bandaraya ini ketika membeli telefon bimbit.

Menurut Samransak ia adalah cinta pandang pertama dan Chalin merupakan seorang yang jujur serta baik hati.

"Chalin juga memahami kerjaya saya sebagai pemain bola sepak dan dia sering memberi dorongan kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu di Alor Setar, semalam.

Chalin pula memberitahu, beliau gembira dapat mendirikan rumah tangga dengan pemain disifatkan sebagai kacak itu.

Katanya, beliau juga sudah bersedia untuk mendorong kerjaya suaminya itu dan sedar dengan kesibukannya sebagai pemain bola sepak.

"Dia (Samransak) juga jujur dengan saya dan seorang yang baik," katanya yang belum merancang untuk berbulan madu kerana kesibukan Samransak yang baru turun menjalani latihan sebulan lalu.

Turut hadir memeriahkan majlis perkahwinan pemain kelahiran Kampung Lampam, Pendang itu ialah Ketua Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof serta rakan-rakan.

Majlis kenduri di sebelah pengantin perempuan dijadual diadakan di Gunung Keriang, Alor Setar pada 27 dan 28 Disember ini manakala mengikut adat istiadat Siam bagi pengantin lelaki pula di Kampung Lampam pada 29 Disember.

Process time in ms: 16