HIBURAN

Syhhh... Hanya tuhan yang tahu

Syhhh... Hanya tuhan yang tahu


SEDEKAD bergelar isteri, Eja memilih untuk merahsiakan statusnya sehinggalah dia bergelar seorang ibu baru-baru ini.


KES artis tanah air kahwin senyap-senyap dari sehari ke sehari semakin kerap pula berlaku. Ada yang sehinggakan sudah melahirkan anak, atau isteri sarat mengandung, baru hendak tampil membuat pengakuan.

Tidak kurang juga yang dikhabarkan sudah hendak bercerai baru mengiyakan status diri yang rupa-rupanya sudah berkahwin.

Lantaran diam itu banyak maknanya, lebih banyak tanggapan negatif dikaitkan sebagai punca mereka bersikap begitu.

Adakah kerana ditangkap khalwat, tidak cukup bajet, menjadi isteri kedua, tidak direstui keluarga dan macam-macam lagi?

Namun, seperti yang pernah diungkapkan aktres Rosnah Mat Aris ketika gosipnya bernikah dengan lelaki muda berterbangan di udara: "Hanya tuhan yang tahu," maka hanya si empunya diri dan tuhan jualah yang mempunyai jawapan untuk setiap persoalan.

Terbaru, juara program realiti TV, Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal Ramly, 25, pecah tembelang setelah heboh dikatakan bernikah dalam sebuah acara kecil dengan seorang gadis berumur awal 20-an dari Temerloh, Pahang.

Faizal, bagaimanapun hanya mengakui hakikat tersebut kepada media setelah isterinya hamil lapan bulan pada hujung bulan lalu. Sensasi Bintang minggu ini menyorot kisah sensasi artis yang kahwin senyap-senyap ini.

FAIZAL AF4

Nur Ashikin Mior, atau Ikin merupakan nama gadis yang berjaya mencuri hati Faizal. Menurut sumber yang tinggal sekampung dengan Ikin, pasangan itu bertemu ketika mereka menjalani penggambaran filem Momok The Movie kira-kira dua tahun lalu.

Ikin yang merupakan pelakon tambahan dalam filem itu kemudiannya dinikahi juara program realiti yang terkenal dengan slogan 'Senyum Sokmo' itu pada 12 Februari lalu.

"Ya benar, saya mengaku yang saya sudah bergelar suami.


RITA dan Aidil Zafuan sempat merahsiakan perkahwinan mereka selama 10 bulan.


"Bagaimanapun, jangan sensasikan berita ini kerana saya tidak mahu mengguris hati keluarga dan isteri saya," kata Faizal yang ditemui selepas tayangan perdana dan amal filem lakonannya, Pulau Asmara di TGV KLCC.

Namun, Faizal menafikan dakwaan perkahwinan itu berlangsung kerana insiden dia ditangkap khalwat. Tegas Faizal, berita itu tidak benar dan mereka berkahwin atas restu keluarga kedua-dua belah pihak.

"Saya bersumpah. Langsung tidak ada peristiwa ditangkap basah. Kami berkahwin secara baik dan mendapat keizinan ibu bapa kami," tegasnya lagi.

Peliknya, bapa Faizal sendiri, Ramly Yaacob, 60, hanya mengetahui tentang perkahwinan tersebut dua bulan selepas pernikahan itu berlangsung di rumah pengantin perempuan.

"Dia (Faizal) yang nak kahwin dan itu pilihan dia. Biarlah, kami terima saja (dengan siapa Faizal kahwin)," katanya.

Dakwaan kononnya mereka sekeluarga menghadapi krisis dengan Faizal berikutan tidak menghadiri majlis perkahwinan anak sulung mereka itu di Temerloh pada Februari lalu, bagaimanapun ditolak Ramly.

"Kami tak ada masalah dan tak ada krisis, cuma dia (Faizal) tak nak beritahu (pernikahan) kerana dia rasa perlu berahsia dulu sebelum memutuskan untuk mengumumkannya.

"Sebenarnya kami pun tak tahu siapa pilihan hatinya sebab dia ada ramai kenalan wanita.

"Biasalah sebagai artis, dia ada ramai peminat, jadi biarlah dia pilih sendiri siapa bakal isterinya. Dia ada alasan sendiri dan tak nak susahkan orang.

"Lagipun, orang lelaki kalau nak kahwin tak macam perempuan, lelaki mudah (kahwin) kerana tak perlu cari wali, orang perempuan pula kena cari wali dulu baru boleh kahwin," jelasnya.

EJA

Usia kehamilan yang mencecah lima bulan akhirnya berjaya membuka hati dramatis terkenal, Siti Shahrizah atau Eja, 37, untuk mengakui status dirinya yang sebenarnya sudah menjadi isteri orang.

Menariknya, perkahwinan dengan tokoh korporat, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, itu sudah berlangsung sejak 10 tahun yang lalu! Satu rekod yang mengagumkan memandangkan sebagai seorang selebriti, dia sentiasa terdedah kepada perhatian awam.

Keupayaannya menyorokkan status diri juga difahamkan berlaku atas kebijaksanaannya menepis soalan berkaitan rumah tangga dan budi bicaranya yang lemah lembut saat berdepan dengan media.

ROSNAH MAT ARIS

Pelakon senior, Rosnah Mat Aris, 54, juga pernah menggemparkan negara apabila dilaporkan bernikah secara senyap-senyap. Lebih menggemparkan apabila pasangannya berumur 26 tahun lebih muda daripadanya.

Tajul Efendie Isa, 28, menikahi Rosnah, di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, Selangor pada 13 November 2008.

Rosnah, bagaimanapun, menafikan pendedahan itu sekeras-kerasnya dan berkata: "Hanya Allah yang tahu perkara sebenar".

Namun, Ramli Arifin, 49, yang bertanggungjawab menjalankan pernikahan itu menyangkal kenyataan Rosnah dan mengatakan perkahwinan itu berlaku di hadapan dua saksi yang sah.

RITA RUDAINI

Berita ini paling hangat menjengah telinga pengikut seni tanah air. Bukan sahaja kerana nama aktres jelita, Rita Rudaini, 33, ini sedang mencanak naik ketika itu, tetapi juga kerana pasangannya ialah jejaka buruan ramai gadis, pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan, 22.


FAIZAL AF4 mengakui berkahwin selepas bakal bergelar bapa.


Malah, biarpun gambar mereka bercuti bersama sudah lama tersebar sebelum disahkan bernikah, pernikahan yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 itu bagaimanapun berjaya disorokkan selama 10 bulan.

Kehamilan yang berusia dua bulan dikatakan memaksa pasangan itu mendedahkan hubungan sebenar mereka.

MAS IDAYU

Kisah pernikahannya dengan aktor Aman Graseka suatu ketika dulu pernah menimbulkan kontroversi dalam dunia seni tanah air.

Manakan tidak, kisah percintaan mereka dikongsi bersama peminat secara amat terbuka, tetapi apabila tiba bab nikah kahwin, ia menjadi antara betul dan tidak.

Wartawan berhabis-habisan menjelajah dan menemu ramah orang kampung Mas Idayu di Johor tetapi kesahihannya masih gagal dibuktikan kerana empunya diri tetap tidak bersuara.

Namun, apabila kisah itu reda, timbul pula khabar Mas Idayu melahirkan anak ketika dia berehat panjang daripada dunia nyanyian.

Tenggelam timbul kisah rumah tangganya. Tiba-tiba Mas Idayu membuat kenyataan secara terbuka bahawa dia seorang ibu tunggal pula.

RASHIDAH (SHEEDA)

Ibu kepada penyanyi bertudung, Bienda, Sheeda, atau nama penuhnya, Rashidah Hamid, 45, yang sebelum ini terkenal sebagai penyanyi dangdut, juga bernikah secara senyap pada tahun 2007. Suaminya, Sukri Hashim, 30, sebelum itu merupakan lelaki bujang dan seorang guru.

Mereka bernikah di Kelantan dalam majlis yang dibuat secara kecil-kecilan selepas Hari Raya Aidilfitri setelah setahun berkenalan.

Sheeda bagaimanapun berkata perkahwinan itu bukan dirahsiakan, sebaliknya ia melalui proses yang sukar kerana melibatkan anak-anak yang sudah besar panjang.


ZUL HUZAIMY


Untuk perkahwinan ketiga itu, Sheeda tetap berharap ada rezeki untuk mereka menimang cahaya mata bersama.

ZUL HUZAIMY

Setelah pulang dengan trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Wayang pada Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini, Zul Huzaimy nampaknya terpaksa akur apabila statusnya yang sudah berumah tangga terseret jua ke dalam limpahan cahaya glamor.

Semuanya gara-gara e-mel daripada seorang peminat yang menghebahkan pelakon serba boleh itu sudah bercerai dengan isterinya yang merupakan seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Kenyataan itu dinafikan sendiri isteri Zul Huzaimy, Rosdalila, dengan menegaskan hubungan antaranya dan suami masih baik dan sekiranya timbul sebarang masalah, ia adalah perkara biasa dalam sesebuah rumah tangga.

Process time in ms: 15