VARIA

Kepulangan perantau warga emas

Kepulangan perantau warga emas

Mengembara ke luar negara ketika berusia 19 tahun pada tahun 1953 demi menuntut ilmu, kini, Ahmadan Affandi Mustafa, 85, kembali ke tanah air buat kali pertama.


KETIBAAN Ahmadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh sanak saudara dan rakan-rakan.


BAGAI sirih pulang ke gagang. Selepas hampir lima dekad tidak pernah menjejakkan kaki di Malaysia, seorang warga emas Ahmadan Affandi Mustafa, 85, akhirnya pulang ke tanah air setelah terbuka hatinya untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Dia yang membuat penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini disambut dengan penuh kesyukuran terutama oleh ahli keluarga dan sanak saudara.

Sebaik sahaja sampai di Malaysia, dia yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, memberitahu, hatinya terbuka untuk pulang ke tanah air bagi menghabiskan sisa hidup di samping ahli keluarga.

"Sudah sampai masanya saya menetap di sini bagi menghabiskan sisa hidup di tanah air sendiri, saya ingin habiskan sisa hidup yang tinggal ini bersama keluarga," kata Ahmadan yang merupakan anak kelahiran Johol, Negeri Sembilan.

Ahmadan memberitahu, sejak meninggalkan negara ini sebelum negara merdeka iaitu seawal tahun 1953, usianya banyak dihabiskan di perantauan demi menuntut ilmu.

Mengimbas kembali, peristiwa hampir 50 tahun lalu, dia memberitahu, banyak negara telah dikunjungi termasuk di benua Asia dan Eropah.

Menurutnya, dengan hanya mengembara seorang diri seawal usia 19 tahun, dia telah berjaya memijak kaki ke negara India semata-mata mahu mendalami ilmu agama.


AHMADAN AFFANDI MUSTAFA


Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin pada tahun 1989 dan Ijazah Sarjana dalam bidang ilmu Hadis pada tahun 1989.

"Daripada kunjungan pertama ke luar negara, hati saya terpanggil untuk terus melihat dunia. Saya mahu melihat seluas-luasnya dunia dan mencari sebanyak-banyaknya ilmu.

"Memang waktu itu, usia agak muda dan fikiran juga tidak matang, namun di situlah permulaan bagi saya mendewasakan diri dan belajar berdikari," katanya yang masih lagi fasih berbahasa Melayu.

Menurutnya, sewaktu tiba di KLIA dia ditahan oleh Jabatan Imigresen selama hampir satu jam ekoran tiada sebarang dokumen yang mengesahkan dia ialah rakyat negara ini.

Bagaimanapun, dia akhirnya dilepaskan setelah mendapat bantuan daripada Kedutaan Kaherah yang mengesahkan Ahmadan ialah rakyat Malaysia.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga, Rubiah Yaacob, 51, berkata, kepulangan Ahmadan begitu dinanti-nanti selama ini memandangkan dia tidak pernah bertemu Ahmadan sejak bapa saudaranya itu meninggalkan negara ini.

"Saya bersyukur dia mahu pulang ke tanah air. Selama ini saya tidak pernah bertemu dengannya. Saya hanya mendengar kisah mengenainya dari mulut ke mulut saudara-mara kami yang lain.

"Selepas berjaya menjejakinya, saya hanya berhubung melalui surat. Sejak itu kami mula memujuk supaya dia pulang ke pangkuan keluarga," katanya.


AHMADAN berbual dengan dua anak saudaranya, Rubiah (kanan sekali) dan Kasma (dua dari kanan).


Seorang lagi, ahli keluarga Ahmadan, Kasma Yahya, 56, berkata, dia bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran atas kesudian bapa saudaranya itu pulang dan menetap terus di negara ini.

Katanya, dia juga akan menguruskan segala urusan pendaftaran kerakyatan Ahmadan dalam masa terdekat memandangkan bapa saudaranya itu kini tidak mempunyai sebarang dokumen kerakyatan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47