URBAN

Karya seni ayat-ayat suci

Karya seni ayat-ayat suci

Al-Atiyah merupakan sebuah galeri karya seni Islam yang menepati cita rasa mewah, eksklusif dan berkualiti tinggi.




KOLEKSI tulisan kaligrafi atau khat yang terdapat di dalam bingkai gambar yang dipamerkan di dinding galeri itu pantas menarik perhatian mata yang melihatnya.

Kemas dan jelas kalimah ayat-ayat suci yang terukir di atas helaian kanvas yang telah dibingkai itu. Olesan cat minyak dan warna air berwarna-warni pula semakin menambahkan seri karya seni Islamik tersebut.

Ia secara tidak langsung membuatkan karya unik sedemikian mampu membangkitkan rasa keinsafan dalam mendidik umat Islam menjadi mukmin yang sejati.

Malah, atas dasar itu juga Galleria Al-Atiyah 'lahir' untuk berdakwah melalui karya seni buat insan yang tahu menghargai dan menilai ketinggian sesuatu karya yang dihasilkan.

Menurut pemiliknya, Tuty Sumarni Hoessein Enas, kekurangan karya-karya berkaitan seni kaligrafi di Malaysia menyebabkan dia berminat untuk mengetengahkan bidang tersebut.


TUTY berharap untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara.


Tetapi, paling utama niatnya adalah untuk berdakwah dan menarik perhatian generasi muda agar tidak melupakan amalan dan kelebihan ayat-ayat suci al-Quran yang mengandungi banyak ilmu, petunjuk dan peringatan untuk membimbing kehidupan seseorang ke jalan yang benar.

"Sebenarnya ilham mengusahakan galeri ini timbul selepas saya pulang mengerjakan ibadah haji pada tahun 2002. Seorang ustaz yang dikenali mengingatkan saya jika mahu melakukan sesuatu perkara, buatlah perkara yang bermanfaat," imbas Tuty ketika ditemui Kosmo! di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mula beroperasi pada bulan Julai 2004, Galleria Al-Atiyah menawarkan pelbagai koleksi perhiasan berbentuk Islamik yang sesuai dijadikan bingkisan sama ada untuk keluarga, sahabat handai atau pun rakan korporat.

Ayat-ayat suci al-Quran

Dalam erti kata lain, Al-Atiyah merupakan sebuah galeri karya seni Islam yang menepati cita rasa mewah, eksklusif dan berkualiti tinggi.


KIRI ATAS: PERHIASAN seramik turut dihias dengan tulisan kaligrafi.
KANAN:UKIRAN kalimah Allah pada kayu jati.
KIRI BAWAH:SALAH satu karya yang dihasilkan pelukis Indonesia.


Istimewanya, semua koleksi karya seni kaligrafi yang ada merupakan hasil tangan beberapa pelukis dari Indonesia, Pakistan, China dan juga Malaysia.

Namun, pelukis utama yang sering menyumbang karya beliau dikenali sebagai Ustaz Munawir dari Bogor, Indonesia yang juga merupakan sepupu kepada Tuty.

Semua lukisan seni kaligrafi yang dihasilkan Munawir menggunakan konsep rekaan kontemporari dan beliau gemar bermain dengan warna-warna terang untuk menarik perhatian. Tetapi ada juga pelukis yang lebih suka menggunakan warna pastel dan warna-warna lembut dalam karya mereka.


PELBAGAI jenis tulisan kaligrafi boleh dilihat dalam setiap perhiasan dinding.


Antara kelainan yang terdapat di galeri itu ialah penghasilan ayat-ayat suci tertentu yang kurang diketahui berbanding kalimah biasa yang sering dilihat untuk dijadikan karya seni.

"Biasanya kita selalu melihat tulisan kaligrafi yang ditulis dengan kalimah Allah dan Muhammad, ayat seribu dinar, surah al-Fatihah, ayat Kursi dan sebagainya.


SEMUA barangan Galleria Al-Atiyah sesuai dijadikan bingkisan buat keluarga dan teman-teman.


"Justeru, bagi menyuntik kelainan saya akan memilih beberapa ayat tertentu seperti ayat penjaga, tiga salam atau petikan hadis Nabi s.a.w untuk dijadikan karya seni kaligrafi," jelasnya sambil menambah jika pelanggan mempunyai ayat pilihan tersendiri untuk dilukiskan, mereka boleh membuat tempahan di galeri tersebut tanpa sebarang caj tambahan.

Menyambung bicara, anak kepada pelukis tersohor, Allahyarham Datuk Hoessein Enas itu memberitahu, pelukis kemudian akan dimaklumkan mengenai ayat-ayat yang telah dipilih dan mula menghasilkan rekaan masing-masing.


UNIK. Cenderamata daripada pasir batu kawah gunung berapi yang dibentuk dalam acuan tulisan kaligrafi.


Secara umumnya, setiap pelukis akan menggunakan pelbagai jenis tulisan kaligrafi dan ia tidak terhad kepada tulisan khat sahaja.

Variasi tersebut memberi ruang kepada pelanggan untuk memilih jenis kaligrafi yang disukai. Antara tulisan kaligrafi yang digunapakai seperti jenis Sulus, Khaufi, Diwani dan Parisi.

Tulisan Arab

Mengutamakan objektif yang memberi tumpuan kepada penyampaian seruan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, Tuty Sumarni berkata, pihaknya turut menyertakan fadilat ayat-ayat tersebut di samping mengepilkan bacaan dalam tulisan rumi dan terjemahan ayat dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk setiap karya.




Ini ujarnya memberi peluang kepada mereka yang tidak tahu membaca tulisan Arab agar dapat memahami makna sebenar di sebalik ayat suci tersebut.

Selainitu, galeri itu juga mempunyai produk perhiasan seramik yang dihias tulisan khat dan ukiran kayu jati yang dibentuk menjadi jam dinding, bekas napkin, penghadang buku dan juga rehal. Menariknya, ukiran kayu itu turut diselitkan dengan unsur Islamik menerusi ukiran tulisan khat.

Tidak ketinggalan, cenderamata yang dihasilkan daripada pasir batu kawah gunung berapi yang dibentuk dalam acuan tulisan khat juga boleh dijadikan tanda ingatan yang begitu istimewa.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, wanita berusia lingkungan 50-an itu mempunyai impian besar untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara.

Walaupun langkah itu masih jauh untuk dicapai, namun dia tetap optimis mampu melakukannya.

"Insya-Allah, niat yang baik untuk berdakwah pasti akan mendapat pertolongan daripada Allah. Apa yang penting, kita perlu berusaha untuk mencapainya," ungkap Tuty penuh makna.

Apa yang pasti, galeri tersebut boleh dianggap pusat sehenti untuk memiliki barangan perhiasan atau cenderamata berbentuk Islamik sama ada untuk koleksi peribadi mahu pun dihadiahkan kepada seseorang.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.al-atiyah.net.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 94