GENK

Peluang belajar di AS

Peluang belajar di AS

Ekoran kejatuhan nilai mata wang AS, kos pengajian kini menjadi lebih murah dan visa bagi melanjutkan pelajaran juga lebih mudah didapati.


UNIVERSITI Harvard di Massachussets menjadi idaman setiap pelajar di seluruh dunia.


SEJAK kejadian serangan pengganas terhadap Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 dan kejatuhan ekonomi dunia, seluruh organisasi negara tersebut terjejas termasuk industri pendidikan mereka.

Penurunan jumlah kemasukan pelajar asing melanjutkan pelajaran di negara itu semakin membimbangkan dari setahun ke setahun sekali gus memaksa Kedutaan AS dan Alumni Universiti AS (AUAM) menggerakkan pelbagai usaha bagi memperbaiki keadaan tersebut.

Justeru, setiap tahun Karnival Pendidikan AS dianjurkan dengan kerjasama AUAM dan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) bagi mendedahkan pelajar Malaysia mengenai peluang yang ada bagi melanjutkan pelajaran di negara itu.

Pengarah Eksekutif Majlis Pertukaran Pendidikan Malaysia Amerika (MACEE), Dr. James Coffman, memberitahu sejak peristiwa-peristiwa yang berlaku seperti serangan pengganas dan kejatuhan ekonomi, jumlah pelajar Malaysia telah menurun dengan mendadak.

Bagi tempoh 2007 dan 2008, AS hanya mempunyai kira-kira 5,500 pelajar Malaysia berbanding 18,000 orang pada tahun sebelumnya.


UNIVERSITI California, Los Angeles (UCLA).


"Banyak faktor menyebabkan penurunan ini. Antaranya, selepas kejadian 11 September, pelajar Malaysia sukar mendapatkan visa untuk menyambung pelajaran dan ia diikuti pula dengan kejatuhan ekonomi.

"Menerusi karnival ini, kami ingin menyampaikan mesej bahawa keadaan telah berubah dan persepsi mengenai yuran pengajian yang mahal berbanding negara Eropah adalah salah," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ekoran kejatuhan nilai mata wang AS, kos pengajian kini menjadi lebih murah dan visa bagi melanjutkan pelajaran juga lebih mudah didapati. Selain itu, kos sara hidup di AS juga lebih murah berbanding dengan negara Eropah.

Bagi universiti awam, terdapat perbezaan harga antara pelajar tempatan (pelajar AS) dan juga pelajar dari luar AS. Pelajar tempatan membayar yuran sebanyak AS$4,000 (RM13,500) hingga AS$10,000 (RM33,700) setahun manakala pelajar luar negara membayar yuran antara AS$9,000 (RM30,300) hingga AS$16,000 (RM54,000) setahun.

Berbeza dengan universiti swasta di negara itu, yuran bagi pelajar tempatan dan luar negara adalah sama. Yuran pengajian bagi universiti swasta adalah dalam lingkungan AS$15,000 (RM50,600) hingga AS$40,000 (RM135,000) setahun.

Bagi mereka yang berminat, MACEE ada menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia. Walaupun terpaksa bersaing dengan pemohon-pemohon lain, namun berbaloi untuk mencuba.


RUANG perpustakaan di Universiti Harvard.


"Biasiswa akan diberikan kepada mereka yang layak dan akan dinilai dari pelbagai aspek. Saingan adalah sengit cuma, setiap kali kami menawarkan biasiswa, tidak ramai pelajar yang memohon. Kadangkala tidak sampai 10 orang.

"Jika mereka telah mendapat kepastian mengenai kursus yang mahu diambil dan universiti, mereka boleh memohon biasiswa daripada MACEE," kata Dr. James.

Selain itu, MACEE juga menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk konsultasi dalam pemilihan pusat pengajian yang bersesuaian mengikut kursus dan akreditasi sesebuah institusi. Jumlah keseluruhan institusi pengajian di AS adalah 4,200 kolej dan universiti.

Namun, menurut Dr. James, pelajar Malaysia harus berhati-hati dalam setiap pemilihan pusat pengajian kerana tidak semua institusi mempunyai akreditasi yang mengiktiraf universiti atau kolej.


DR. JAMES (kiri) bersama dua pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard, Soon Yin-Wei (dua dari kanan) dan Sharon Teng Hui-Li (tengah).


"Sistem pendidikan AS tidak dikawal oleh kerajaan dan setiap institusi menentukan silibus mereka sendiri berdasarkan permintaan semasa. Akreditasi pula ditentukan oleh badan khas dan kerajaan hanya bertugas untuk mengeluarkan permit beroperasi," ujarnya.

Oleh itu, kata Dr. James jangan terpedaya dengan institusi yang menyatakan silibus mereka diluluskan oleh kerajaan AS kerana kerajaan negara itu bukan penentu kepada pentauliahan sesebuah institusi pendidikan.

Beliau menyarankan supaya setiap pelajar Malaysia yang berhajat melanjutkan pelajaran ke AS merujuk dengan pihak MACEE untuk mengetahui status universiti atau kolej tersebut. Ini bagi memastikan mereka tidak membazirkan waktu dan wang melanjutkan pelajaran di institusi yang tidak bertauliah.

Bukan itu sahaja, Dr. James memberitahu kebanyakan universiti terkenal di AS sebagai contoh Universiti Harvard di Massachusetts dan Universiti Stanford di California mempunyai pendapatan bernilai berbilion dolar melalui pelbagai pelaburan. Mereka biasanya menawarkan pembiayaan kepada pelajar-pelajar yang diterima masuk ke dalam institusi mereka.


MASALAH visa tidak menjadi halangan untuk pelajar Malaysia menuntut di Amerika Syarikat.


Antara kriteria yang diperlukan pelajar adalah pendapatan keluarga di bawah AS$60,000 (RM200,000) setahun, dan mereka layak mendapat penajaan penuh termasuk yuran pengajian dan tempat tinggal.

Dr. James memberitahu antara kesilapan yang biasa pelajar Malaysia lakukan ketika membuat permohonan kemasukan baru ke kolej atau universiti adalah memohon pada saat akhir sebagai contoh dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum tarikh kemasukan pelajar baru. Ia adalah mustahil.

Menurut Dr. James, mereka boleh membuat permohonan menggunakan transkrip yang ada dan permohonan perlu dilakukan paling kurang 10 bulan dari tarikh pengajian bermula.

MACEE menyifatkan AS adalah destinasi terbaik bagi pelajar seluruh dunia melanjutkan pelajaran kerana sebanyak 17 universiti di AS berada di tangga 20 universiti terbaik dunia.

Process time in ms: 0