HORIZON

'Beraya' di puncak Sibayak

'Beraya' di puncak Sibayak

Beyond Boundaries menjadi tema program Nusantara Adventure 09 anjuran Kelab Kembara Management and Science University yang menjelajah Sumatera Utara, Indonesia.


BERHATI-HATI menuruni cerun yang curam dari puncak gunung Sibayak.


SELEPAS meneroka Bukit Lawang, sebanyak 27 pelajar dan pegawai Management and Science University termasuk penulis meneruskan program mendaki gunung Sibayak dekat Brastagi, Medan, Indonesia. Berikut adalah catatan pengalaman kami.

Kami menaiki tiga buah van milik Universiti Sumatera Utara menuju ke tempat permulaan mendaki. Jam menunjukkan pukul 3.45 pagi waktu tempatan. Perasaan gembira menyelubungi kami tatkala kami mula berjalan di sebatang jalan bitumen.

Kira-kira 15 minit kemudian, kami mula mendaki tebing bukit yang gondol. Di bawah sinar bulan mengambang penuh, kawasan tersebut kelihatan seperti kuari yang banyak terdapat di Ipoh, Perak. Trek itu kemudiannya berubah wajah dengan laluan berkonkrit yang kemudian melewati kawasan yang berpohon sederhana tinggi. Udara segar kemudiannya bertukar tatkala bau sulfur mula menusuk hidung. Terasa agak menyesakkan nafas. Kala itu juga, telinga kami mula menangkap bunyi desiran gas panas yang menyembur ke udara.

Satu jam sampai puncak

Agak meletihkan juga perjalanan ini. Nun jauh di sana kelihatan unggun api yang dinyalakan mereka yang berkhemah. Tanah tinggi itu didominasi puncak-puncak yang menjulang tinggi dengan kepulan gas kelihatan di sana sini. Kami menyusun langkah sehingga tiba di kawasan yang agak rata dan diapit oleh dua puncak. Di hadapan kami, tersergam sebuah lagi puncak yang juga tinggi. Bahagian bawahnya membentuk kawah. Saya juga dapat melihat bongkah kuning sulfur yang sebelum ini hanya dilihat di kedai.

Kami tersentak apabila penunjuk jalan tiba-tiba bersuara: "This is the peak of Sibayak." Kami hampir tidak percaya kerana baru sejam berjalan, kami sudah sampai ke puncak Sibayak di ketinggian 2,212 meter (7,257 kaki). Rupa-rupanya, perjalanan ke puncak tidak memakan masa yang lama kerana kami mula mendaki dari poin yang sudah tinggi. Pemandangan dari puncak indah dan mengujakan. Ia sesuatu yang tidak pernah saya lihat sepanjang menjejaki laluan gunung di tanah air yang dilatari belantara menghijau.

Langit mula cerah dengan rona biru dan oren yang mengasyikkan. Nun jauh di sana, jelas kelihatan Gunung Sinabung yang turut menjadi mercu tanda wilayah Brastagi dan Sumatera Utara. Kami kemudiannya mendaki ke puncak berhampiran bagi mendapatkan sudut pandangan yang lebih mempesonakan. Puncak-puncak bukit menghijau yang berombak-ombak turut menyerlahkan pemandangan.


ASAP tebal dari perut gunung berapi Sibayak jelas dilihat dari kaki gunung tersebut.


Baju Melayu dan kurung

Hampir setiap sudut kawasan puncak Sibayak saya rakamkan secara digital melalui lensa kamera Nikon D90. Mata tidak pernah puas menatap pemandangan indah di sekitarnya. Segala-galanya begitu asing bagi saya dan rakan-rakan pendaki. Sebahagian besar daripada mereka mendaki puncak yang satu lagi yang kelihatan lebih curam dengan menara sistem telekomunikasi tegak berdiri. Sementara itu, mentari mula memancarkan sinar teriknya dengan langit biru dan awan tipis kelabu menghiasi tanah gersang itu. Lava kelabu yang telah lama membeku turut melatari permukaan gunung.

Kami kemudiannya berkumpul semula untuk mengambil gambar kumpulan. Cuaca panas tidak sedikitpun merampas kegembiraan kami. Jejakanya segak berbaju Melayu lengkap dengan samping manakala si gadisnya pula ayu dengan baju kurung corak bunga pelbagai rona. Agak lucu menonton senario yang mungkin lebih meriah jika ada lemang dan ketupat pembuka selera. Dengan wajah yang penuh ceria ditambah pula dengan lagu-lagu hari raya berkumandang di udara, saya terus leka merakamkan gambar mereka sebelum kami mengorak langkah menuruni kawasan gunung yang dilatari debu, batu dan bau sulfur tengik yang menusuk hidung. Selepas menukar semula pakaian yang sesuai, kami mula menuruni puncak.

Agak membimbangkan juga melewati kawasan gersang berhampiran tebing curam. Tiada pagar menjadi sempadan untuk mengelakkan kami terjatuh ke dasar jurang sekiranya alpa. Dengan bermandikan keringat, kami berjalan penuh hati-hati di bawah mentari terik sepanjang menempuh kawasan licin dan berbatu. Kerap kali juga kami tergelongsor.

Kami menarik nafas lega apabila kawasan gondol tanpa teduhan itu berganti dengan cerun curam yang sarat dengan tumbuhan hijau yang menjulang tinggi. Sisa-sisa tangga konkrit yang dibina kira-kira 20 tahun yang silam menjadi lantai tempat kami berpijak di laluan yang agak berlumut dan licin.

Trek lebih jauh

Menurut penunjuk jalan, kami menggunakan trek lain untuk turun dari puncak Sibayak. Trek itu lebih panjang dan lebih curam daripada trek yang pernah kami lewati sebelum ini. Kami dijangka mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk menamatkan perjalanan turun.

Trek kemudiannya melewati kawasan yang agak rata dengan rumpun buluh tumbuh subur termasuk rumput dan flora renek. Ia begitu kontras dengan kawasan gondol yang baru sejam tadi kami tinggalkan.

Hampir sejam setengah meninggalkan puncak Sibayak, perjalanan kami tamat di atas sebatang jalan raya. Kami tiba di sebuah kawasan pelancongan air panas di Desa Raja Berneh.


PARA pelajar dan pegawai pengiring berbaju Melayu dan kurung di puncak Sibayak.


Kemudahan lain disediakan di situ adalah tandas, kedai makan dan penjaja-penjaja yang menjual serbuk sulfur.

Saya sempat duduk berendam di dalam kolam yang airnya sepanas 40 darjah celsius! Kami kemudiannya pulang ke Medan selepas menikmati makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran.

Process time in ms: 47