HIBURAN

'Imad sempurnakan hidup saya'

'Imad sempurnakan hidup saya'




SEBUT sahaja Wan Zaleha Radzi, pasti ramai yang sudah terbayang akan susuk tubuh wanita jelita yang cukup sinonim dengan TV3 atau lebih tepat sebagai pengantara paling tersohor untuk proram Majalah Tiga dalam sejarah penyiarannya.

Wan Zaleha merupakan orang pertama yang mengendalikan program majalah popular itu, sebelum dia terlebih dahulu bertugas dalam bidang penyiaran di Bilik Berita TV3 pada tahun 1986.

Itu cerita zaman mudanya yang dilaluinya tanpa rasa menyesal dan menganggap kerjaya sebagai wartawan penyiaran antara kerjaya terbaik di dunia.

Namun, kini Wan Zaleha yang berusia 46 masih kekal jelita sama seperti dulu walaupun tidak lagi dalam kerjaya itu. Dia bukan lagi wanita yang sering muncul di kaca televisyen, bukan lagi wanita yang sentiasa bersolek tebal dan tidak lagi kerja dari siang hingga ke malam.

Ini kerana sejak bergelar seorang ibu kepada Imad Imran, 3, dan isteri kepada Peter Imran Winton Abdullah membuatkan jadual hariannya mula berubah.

"Saya akui banyak perkara yang berubah. Dulu tidak kisah kalau kerja tanpa menentu masa, tidak balik rumah pun tidak apa tetapi kini mana boleh.

"Dulu bujang dan kerjaya merupakan perkara nombor satu. Sekarang sudah ada anak dan suami yang harus dijaga, jadi keluarga terletak di tangga paling atas baru kerjaya," ujarnya dalam tawa kecil.


KEHADIRAN Imad telah merobah banyak jadual harian ibunya, seorang wanita yang cukup dikenali dalam bidang penyiaran dalam negara.


Meskipun kini sibuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat miliknya sendiri iaitu Asiapromote Ventures Sdn. Bhd, tegas Wan Zaleha dia tetap mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga.

"Imad merupakan jantung hati saya sekarang. Apabila bekerja sendiri, jadual waktu saya lebih fleksibel. Walaupun dalam waktu kerja, saya masih boleh pulang ke rumah, menghantar dan mengambil Imad dari sekolah.

"Walau sibuk mana pun, setiap malam saya dan suami akan membacakan buku cerita kepadanya. Saya tidak mahu kesibukan kerjaya kami berdua menyebabkan kami mengabai tanggungjawab kepada Imad," terangnya.

Menganggap kehidupannya cukup sempurna, Wan Zaleha kini memahami bagaimana perasaan seorang ibu yang cukup bangga dengan anaknya.

"Setiap hari melihat perubahan demi perubahan yang dilalui Imad membuatkan saya bangga dengannya dan seperti ibu bapa yang lain saya juga tidak ketinggalan merakamkan detik-detik istimewa itu.

"Dia seorang anak yang pintar. Sebelum dia mengenal apa itu playstation lebih baik saya membiarkan dia bermain di luar supaya dia cepat belajar tentang alam sekeliling dan tahan lasak," katanya sambil tersenyum.

Hati tetap pada penyiaran

Bercakap tentang dunia penyiaran Wan Zaleha yang pernah bergelar juri dalam program realiti Malaysian Top Host mengakui sudah masanya dia mengundur diri dan membuka ruang kepada generasi baru.


PERSONALITI dua generasi, Wan Zaleha bersama juniornya di TV3, Azwaliza Azman.


Bukan sudah tidak cintakan bidang penyiaran sedangkan itulah pekerjaan terbaik yang pernah diperolehinya tetapi kini atas faktor usia dan masa, dia lebih senang menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dibinanya.

"Saya adalah juga dijemput menjadi juri dan menjadi pengacara beberapa program. Terus-terang saya katakan saya lebih suka menemuramah orang daripada ditemuramah.

"Ramai juga yang bertanya kepada saya kenapa tidak muncul dengan program sendiri. Sebenarnya bukan tidak mahu tetapi saya bukan lagi seperti dulu, masa lebih tertumpu pada keluarga dan perniagaan sahaja, masa saya terhad" tuturnya jujur.


PASANGAN ini kini sedang melalui episod manis dengan kehadiran seorang anak lelaki.


Melihat dunia penyiaran semakin berubah, Wan Zaleha menjelaskan terlalu banyak persaingan berbanding zaman kegemilangannya dulu.

"Dulu hanya ada TV3 dan RTM sahaja. Jadi orang hanya menumpukan perhatian pada dua saluran ini. Sekarang sudah ada program berbayar dan penggunaan Internet yang semakin meluas.

"Jadi orang ramai lebih mudah buat perbandingan tentang gaya penyampaian dan kandungan sesuatu program. Kiranya, dunia penyiaran yang lebih sengit berbanding dahulu.

"Namun ada baiknya, kini lebih senang untuk mencari maklumat. Duduk depan komputer sudah boleh buat cerita berbanding dahulu kena cari maklumat di perpustakaan," ceritanya tentang pengalaman ketika bergelar seorang wartawan penyiaran.

Bawa Ben 10 ke Malaysia

Selain itu, menerusi syarikatnya yang pernah membawakan pementasan Merchants of Bollywood sebelum ini bakal membawakan Cartoon Network Live on Stage! Power of the Omnitrix sebuah siri animasi popular Ben 10 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Siri Animasi Ben 10 yang disiarkan di saluran Cartoon Network di Astro diakui mempunyai jumlah peminat yang besar terutama di kalangan kanak-kanak.


SYARIKAT milik Wan Zaleha membawa siri animasi Ben 10 ke pentas teater pada 27 hingga 29 November ini.


Atas alasan itu, Wan Zaleha yakin Ben 10 versi teater yang pertama kali dipentaskan di dunia dan hanya dipentaskan tiga buah negara Asia termasuk Kuala Lumpur, Malaysia selain Bangkok, Thailand dan Singpura akan mendapat sambutan hangat.

"Pementasan ini merupakan yang pertama di dunia dan hanya tiga negara di Asia yang bertuah menyaksikannya sebelum di perluaskan ke Eropah pada tahun hadapan.

"Menerusi penjualan tiket, saya difahamkan ia berjalan dengan baik kerana Ben 10 bukan hanya di minati di kalangan kanak-kanak tetapi juga para ibu bapa," ujarnya yang juga merupakan peminat nombor satu siri animasi yang ditonton oleh 95 juta penonton seluruh dunia itu.

Dalam pementasan yang bakal berlangsung itu, peminat dapat menyaksikan Ben 10 atau nama wataknya Ben Tennyson bersama supupunya Gwen, Grandpa Max, Kevin Levin berjuang dengan makhluk asing seperti Heatblast, Wildmutt dan Four Arms menentang ancaman penjahat seperti Highbreed Commander, Vilgax dan DNAliens.

Pementasan Ben 10 Power of The Omnitrix akan diadakan dari 27 November sehingga 29 November ini pada pukul 2 petang, 5 petang dan 8 malam sempena cuti sekolah di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre yang boleh memuatkan 2,700 orang dalam satu-satu masa.

Bagi anda yang berminat untuk menonton pementasan ini, anda boleh mendapatkan tiket berharga dari RM38 hingga RM218 dengan menghubungi talian 03-7880 7999/ 7955 9995 atau layari laman web www.ticketpro.com.my, www.ben10. net atau www.asiapromote.net.

Process time in ms: 16