INFINITI

'Gudang' barangan kanak-kanak

'Gudang' barangan kanak-kanak

Tidak perlu bersusah payah mencari kedai barangan untuk parti anak-anak di pusat beli-belah. Anda hanya perlu melayari laman web http://aipartyntoys.blogspot.com untuk mendapatkan barangan yang diperlukan.


KHAIRIL IZWAN AHMAD gembira kerana blognya yang menawarkan barangan untuk parti hari jadi kanak-kanak semakin mendapat sambutan baik.


MUNGKIN ada ibu bapa yang sedang menghitung hari untuk mengadakan majlis sambutan parti hari lahir anak-anak.

Dalam kesibukan bekerja, pasti segelintir ibu bapa tidak sempat untuk menjengah kedai barangan khusus untuk majlis hari jadi anak-anak kecil.

Namun, dalam era teknologi yang hampir kesemuanya boleh diperoleh di hujung jari, ibu bapa tidak perlu risau untuk berkejar ke sana dan ke sini bagi mendapatkan barangan yang diperlukan sekali gus membuat persiapan.

Ini kerana dengan hanya melayari Internet, kerja anda akan menjadi lebih mudah dan ringkas.

Apa lagi kalau bukan melayari Internet untuk mendapatkan keperluan tersebut. Antara laman web yang boleh dilayari adalah http://aipartyntoys.blogspot.com.

Kesemua barangan untuk parti hari jadi anak-anak boleh dipilih dengan teliti menerusi laman web tersebut. Kemudian, hubungilah nombor yang tertera untuk membuat pesanan.

Memilih untuk menubuhkan blog berbentuk jualan barangan parti kanak-kanak, Khairil Izwan Ahmad Arshad, 33, selaku pengasasnya menjelaskan, kebanyakan ibu bapa kini gemar mengadakan parti hari lahir anak-anak dalam suasana meriah.

Pengalaman sendiri turut memberi inspirasi kepada Khairil untuk serius berkecimpung memasarkan barangan itu melalui blog sejak empat bulan lalu.

"Dari situ, saya tertarik untuk menjual barangan parti hari jadi kanak-kanak bagi menambah pendapatan. Hati saya terdetik untuk membuka blog itu selepas saya puas 'berpusing' di seluruh Lembah Klang untuk mencari kedai yang menjual barangan parti hari jadi.

"Memang saya ada jumpa kedai yang menjual barangan tersebut, tetapi tidak banyak yang menepati cita rasa saya. Akhirnya, saya terjumpa sebuah kedai borong barangan parti kanak-kanak dan saya terus membeli-belah di situ," katanya yang menghabiskan kira-kira RM800 untuk mengadakan parti hari jadi anak sulungnya kira-kira enam bulan lalu.

Dua bulan kemudian, bermulalah perjalanan pertama Khairil menjual barangan parti kanak-kanak menerusi laman web tersebut sehingga hari ini. Menurutnya, pelanggan pertama yang menghubungi Khairil telah membelanjakan sebanyak RM180 untuk membeli belon dan sebagainya.

Menerusi blog itu juga, anda boleh memilih pelbagai barangan parti kanak-kanak seperti belon, lilin, topi, kaca mata, beg, alat tulis dan banyak lagi.

Tiga budak penghantar

Bagaimana dengan sambutan orang ramai terhadap blog itu? Khairil memberitahu, dia sungguh tidak menyangka apabila blog yang turut diterajui oleh isterinya itu mendapat sambutan hangat.

Ini kerana, pada mulanya dia hanya membuat promosi pengiklanan menerusi blog orang lain dalam tempoh dua bulan. Selepas itu, Khairil yang juga merupakan seorang kakitangan kerajaan tidak perlu lagi membuat promosi besar-besaran.

"Biasalah pada awal perniagaan, saya memang banyak meninggalkan pesanan menerusi blogger lain tetapi syukur, kerana selepas itu saya mempunyai pelanggan sendiri.

"Ini bermakna saya hanya perlu membuat promosi kecil-kecilan sahaja," ujarnya lagi.

Khairil kini menarik nafas lega kerana perniagaan yang dijalankan itu semakin berkembang dan bagi memenuhi tempahan yang banyak, beliau telah melantik seramai tiga budak penghantar barang.


BLOG ini menawarkan barangan untuk majlis hari jadi, barangan keselamatan dan alat bantuan pembelajaran kanak-kanak.


Dijamin sampai

Lebih menarik lagi, bagi anda yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kajang, Bangi, Serdang, Ampang, Keramat, Cheras, Cyberjaya, Lembah Keramat, Ukay Perdana dan Petaling Jaya Selatan tidak memerlukan penghantaran secara pos.

Ini kerana menurut Khairil, sistem penghantaran yang dikendalikan oleh budak pengantar akan terus berjumpa pelanggan di hadapan pintu rumah mereka.

Bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan barangan kiriman mereka, Khairil tidak keberatan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

"SMS itu dihantar untuk bertanya kepada pelanggan, adakah mereka sudah menerima barangan seperti mana yang telah dipesan.

"Ia dibuat untuk memberi keselesaan kepada pelanggan agar mereka tidak was-was dengan perniagaan saya," ulasnya lagi yang menjelaskan, tempahan minimum adalah bernilai RM15.

Menyentuh tentang tempoh penghantaran pula, katanya, ia mengambil masa selama beberapa hari untuk kiriman pos biasa, manakala bagi pelanggan yang menempah menerusi pos laju, ia memakan masa selama satu hari bekerja.

"Bagi penghantaran biasa, sebaik sahaja pihak kami menerima bayaran penuh, barangan itu akan dihantar dalam tempoh tiga hari bekerja,"ujarnya.

Keperluan keselamatan

Turut dijual menerusi blog itu adalah barangan keselamatan untuk kanak-kanak. Antaranya penghadang lutut yang boleh diubah saiznya.

Selain itu, penahan pintu bagi mengelakkan berlakunya kecederaan seperti jari tangan atau kaki anak-anak tersepit di pintu turut dijual.

Dalam pada itu, pada harga serendah RM16, anda juga boleh mendapatkan bantuan pembelajaran anak-anak.

"Bantuan ini berbentuk seperti permainan untuk menarik perhatian anak-anak. Bagi mereka yang berminat, mereka perlu membuat pesanan lebih awal kerana barangan ini sering kali kehabisan stok kerana menjadi rebutan ramai.

"Pilihan barangan yang menjadi rebutan adalah komputer pembelajaran yang dijual pada harga serendah RM40 sahaja," jelasnya lagi.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0