RENCANA UTAMA

Hospital awam masih cemerlang

Hospital awam masih cemerlang

Isu tentang khidmat yang tidak memuaskan boleh timbul di mana-mana hospital termasuk juga di institusi kesihatan swasta.


HOSPITAL kerajaan memiliki pakar-pakar perubatan yang sanggup bekerja tanpa mengira penat dan waktu. - Gambar hiasan


KADANGKALA kita mendengar pelbagai rungutan tentang 'wujudnya' perkhidmatan yang didakwa tidak memuaskan di hospital awam, baik mengenai masa menunggu yang lama di klinik pesakit luar atau untuk mengambil ubat di farmasi.

Begitu juga dengan beberapa aduan tentang layanan serta khidmat lain yang tidak berapa mesra dan mengecewakan.

Adakah itu mencerminkan kualiti khidmat yang disediakan sektor kesihatan awam?

"Bagi saya, tidak sekali-kali," kata bekas pensyarah sebuah maktab perguruan, Ismail Ibrahim.

Mereka yang sependapat dengan Ismail, menegaskan, isu tentang khidmat yang tidak memuaskan boleh timbul di mana-mana hospital termasuk institusi kesihatan swasta.

"Memang tidak dapat dinafikan, sekali dua mungkin timbul beberapa masalah tentang perkhidmatan dan layanan terhadap pesakit di hospital awam, tetapi masalah yang sama pun wujud di hospital swasta.

"Malangnya, khidmat yang tidak memuaskan di hospital kerajaan selalu mendapat perhatian umum dan digambarkan sebagai serius apatah lagi digembar-gemburkan di dalam laporan media. Sebenarnya, perkara yang sama juga wujud dan ada berlaku di hospital swasta, tetapi ia biasanya terlepas daripada pandangan dan reaksi orang ramai.

"Bagi saya, ini sudah menjadi lumrah hidup yang kita harus hadapi. Apa-apa yang berlaku di institusi awam seperti hospital serta agensi lain akan menarik perhatian umum sebab badan-badan ini beroperasi di atas dana kerajaan dan sudah tentu mereka mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti," kata beliau.

"Sudah menjadi kebiasaan, kalau ada masalah mereka akan cepat melenting dan mahu mengadu tetapi yang agak pelikya, mereka tidak pula semurah itu bila mahu memuji," kata jururawat Halimatun Saadiah Ramli yang bertugas di sebuah pusat perubatan awam di Kuala Lumpur.


PERKHIDMATAN yang disediakan di hospital awam adalah untuk semua orang tanpa mengira kedudukan. Gambar hiasan


Bagi Halimatun, memang terdapat ramai orang yang menikmati perkhidmatan cemerlang atau setidak-tidaknya layanan yang memuaskan di hospital awam, tetapi anehnya mereka merasakan tidak perlu melahirkan rasa terima kasih atau menceritakan kepuasan hati.

"Tetapi, kalau anda melawat wad-wad di pusat perubatan awam, sudah tentu anda akan terpandang kad-kad ucapan terima kasih yang terpampang. Kad-kad ini dihantar oleh pesakit dan juga keluarga mereka.

"Ini bukti mereka menyanjung tinggi jasa doktor dan jururawat yang bertugas tanpa mengira penat dan waktu di hospital awam.

"Adalah baik untuk memberi sanjungan di mana perlu, tetapi kita (institusi awam) pula tidak perlu mendabik dada sambil berkata kita yang terbaik," tambah beliau.

Bekas penjawat awam, Hashimah Madon, berkata, hospital kerajaan mempunyai piawaian yang tinggi bagi perkhidmatan mereka.

Menurutnya, beliau baru-baru ini dimasukkan ke sebuah pusat perubatan awam.

"Mak cik sakit dada dan terpaksa menjalani angioplasti. Kena duduk wad selama lima hari. Bayangkan bilnya hanya RM15 (RM3 bagi satu hari) sebab mak cik dah pencen.

"Kalau di hospital swasta, bilnya sudah tentu berbelas ribu ringgit. Nasib baik mak cik bekas kakitangan awam...,kerajaan sangat prihatin terhadap pekerja sektor awam," katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kejururawatan di pusat perubatan yang sama berkata, hospital awam adalah untuk semua rakyat tanpa mengira kedudukan.

"Memang institusi kesihatan swasta hanya untuk mereka yang mampu. Tetapi ada antara golongan berada memilih untuk mendapatkan khidmat di hospital awam kerana kecekapan dan tahap profesionalisme tinggi yang sedia ada.

"Negara mempunyai kepakaran terbaik dalam bidang perubatan dan kebanyakan daripada pakar-pakar ini masih berkhidmat di hospital awam seperti hospital universiti di seluruh negara," tambah pegawai itu. - Bernama

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31