RENCANA UTAMA

Wanita kimia Melayu pertama

Wanita kimia Melayu pertama

Profesor Datin Zuriati Zakaria, 59, hampir-hampir bekerja di kilang selepas kecewa dengan markah mata pelajaran kimia yang diperolehnya.




MENJADI wanita Melayu pertama menguasai bidang kimia pada era 1970-an yang kurang diterokai orang Melayu ketika itu, tiada apa dapat menghalang tekad wanita berhati waja ini.

Banyak yang telah dikorbankan oleh Profesor Datin Zuriati Zakaria, 59.

Peluang menjadi kumpulan pelajar perintis jurusan Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 yang berada dalam genggamannya tidak dilepaskan begitu sahaja.




Beliau kemudian menjadi kumpulan pertama graduan jurusan kimia universiti tersebut dengan meraih Ijazah Sarjana Muda Sains pada tahun 1973.

Lebih membanggakan, Zuriati seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti East Anglia, England sebelum menempa sejarah sebagai wanita Melayu pertama memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kimia pada tahun 1978.

Sebenarnya bukan kerana minat, tetapi kejayaannya lebih didorong oleh semangat mahu menyahut cabaran dalam menguasai jurusan tersebut.

“Bidang ini tidak ramai menarik minat orang Melayu pada masa itu. Majoritinya yang berminat adalah kaum Cina. Saya pula ketika di sekolah menengah dulu pun bukan pandai sangat subjek Kimia. Benci pun ada sebab ia susah.

“Sebelum masuk UKM, ketika berada di tingkatan enam, semua subjek saya dapat markah tinggi kecuali Kimia. Saya jadi geram bila tengok markah kertas kimia yang agak mengecewakan sebab subjek lain semuanya cemerlang.

“Ketika itu saya hampir-hampir sudah berputus asa dan berniat mahu bekerja di kilang. Namun, apabila mendapat tawaran menyambung pelajaran di UKM, akhirnya ia membuka jalan kepada saya untuk terus melangkah ke dalam bidang ini. Selepas itu, barulah saya menjadikan kimia sebagai pilihan utama dan sahut cabaran untuk menguasai bidang ini,” ujar wanita kelahiran Perak itu.

Menurut Zuriati, tanpa sebarang tunjuk ajar daripada ibu bapanya dahulu, tidak mungkin dia boleh mengecapi kejayaan seperti hari ini.

“Saya sangat bersyukur kerana arwah bapa seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya seramai empat orang termasuk saya.

Saya ingat lagi masa sekolah dulu, kalau salah seorang daripada kami tak pergi sekolah, dia akan angkat dan hantar kami pergi sekolah.

“Jangan kata nak melawan cakap, nak menjawab pun tak boleh. Tapi kerana ketegasan itulah yang menjadikan kami semua orang yang berguna pada hari ini,” imbau beliau.

Belajar di Thailand

Sebenarnya ada kisah menarik mengenai Zuriati dalam tempoh di antara selepas dia menamatkan pengajian di UKM dan sebelum melanjutkan pula pelajaran di Universiti East Anglia.

Ini kerana beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti Mahidol, Thailand.

Ketika di sana, beliau telah belajar pengertian bahawa tiada yang mustahil dalam mendapatkan sesuatu jika keinginan disertakan dengan usaha.

“Ketika saya belajar di Thailand dulu, saya hadapi sedikit kesukaran untuk berkomunikasi kerana mereka gunakan bahasa Thailand ketika bercakap. Jadi terpaksalah membuat ulang kaji sendiri dengan buku-buku yang ada.

“Mujur saya ni juga seorang yang suka bertanya. Jadi pelajaran saya pun tak pernah ketinggalan, “ ujarnya yang berjaya memperoleh Ijazah Sains (MSc) di universiti tersebut.

“Selepas menerima ijazah, sempatlah saya bekerja sementara sebagai pensyarah di UKM sebelum ditaja melanjutkan pelajaran di Universiti Mahidol.

“Setelah berjaya menamatkan pengajian saya, barulah saya dihantar pula belajar jurusan kimia di Universiti of Anglia bagi peringkat PhD,” katanya yang belajar bersungguh-sungguh demi membalas jasa ibu bapanya.


DI sebalik bergelar pakar kimia, Zuriati juga mempunyai hobi menyanyi.


Selepas tamat pengajian di Universiti of Anglia, karier beliau bermula apabila dilantik sebagai Ketua Unit Kimia di Sabah pada tahun 1980 bagi merancang program akademik serta prasana bagi fakulti Sains dan Sumber Alam di Universiti Kebangsaan Malaysia, kampus Sabah.

Pada tahun 1982 pula beliau kembali bertugas sebagai pensyarah kimia organik di UKM, Bangi dan melibatkan diri dalam pelbagai jenis penyelidikan minyak pati, sebatian semulajadi, sekitaran serta kimia liken.

“Selain membuat penyelidikan, saya juga menerbitkan lebih daripada 150 kertas kerja dalam jurnal, prosiding dan monograf serta terlibat dengan editorial jurnal Sains Malaysiana, “ katanya yang masih lagi berada dalam lembaga editor bagi Arkivoc dan Chemical Education Journal.

Selain memberi sumbangan besar dalam bidang kimia, beliau turut memberi input yang baik dalam pelbagai jenis persatuan dan menjadi ahli Lembaga bagi beberapa organisasi seperti Institut Kimia Malaysia (IKM), Persatuan Sains Malaysia (MSA), Malaysian Oil Scientist and Technologist Association (MOSTA) dan Balai Iktias Malaysia (BIM).

“Banyak yang saya pelajari bila menyertai pertubuhan-pertubuhan tersebut. Selain dapat menimba pengalaman baru, ia turut memberi peluang kepada saya untuk menemui santis-saintis hebat dari serata dunia, “ujar beliau.

Tidak cukup dengan itu, di peringkat antarabangsa, Zuriati juga dikenali kerana kerap tampil membincangkan dan menjalankan penyelidikan dalam bidang berkaitan seperti kapasiti bangunan di bandar dan projek pembangunan industri serta gambaran keseluruhan kimia di Malaysia yang berlangsung di luar negara.


ZURIATI bersama anak keduanya, Shazana.


Ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui cukup berbangga dan berpuas hati dengan semua pencapaian yang diperolehinya sejak awal karier sehinggalah sekarang.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan semua yang dimiliki. Mungkin saya akan bersara tidak lama lagi tapi minat saya dalam bidang ini tidak akan pernah luntur kerana ia sudah sebati dalam diri saya,” ujarnya yang telah 30 tahun menyumbang tenaga sebagai pensyarah kimia di UKM.

Ibu yang sibuk

Pertemuan setiap jodoh pastinya tersirat ceritera sendiri. Bagi Zuriati, beliau mengenali suaminya, Profesor Datuk Sukiman Sarmani, 59, sejak menuntut di UKM lagi.

Namun seperti insan lain, Zuriati dan Sukiman yang merupakan pensyarah di Jabatan Fizik, pakar sains nuklear dan bekas Timbalan Naib Canselor UKM itu juga tidak terkecuali daripada menghadapi saat -saat sukar perhubungan.

“Kami kenal sejak menuntut di UKM lagi masa saya mula-mula masuk. Ketika itu pula saya seorang sahaja gadis Melayu dalam kelas. Jadi pergaulan kami di dalam kelas pun kurang.

“Ketika itu tidaklah serius sangat. Lagipun saya kemudiannya dihantar ke luar negara untuk teruskan pengajian. Jadi, kami pun berpisah seketika. Memang dah tak fikir banyak masa tu. Tapi orang kata dah jodoh kan. Akhirnya kami bertemu semula di sini (UKM),” kenang Zuriati yang menamatkan zaman bujangnya pada usia 30-an.

Melihat sisi seorang Zuriati Zakaria daripada pandangan salah seorang anaknya, Shazana Sukiman, 24, ternyata beliau seorang yang sangat sibuk.

Anak kedua Zuriati itu mempunyai perpspektif tersendiri terhadap bonda kesayangannya itu.

“Mama seorang yang workaholic. Kalau balik rumah mesti duduk seharian depan komputer. Nak kata bercuti memang jarang sekali.

“Kalau nak pergi shopping, mesti mama akan serahkan wang kepada saya untuk membeli-belah. Barangan dia pun saya yang yang belikan. Mama memang tak suka nak membeli-belah sangat. Ketika saya sedang sibuk membeli barangan, dia pula akan berada di gedung buku MPH, baca buku di situ,” ujar Shazana.


POTRET keluarga bahagia. Zuriati dan Sukiman bersama tiga zuriat mereka, (dari kiri) Shazana, Mohd. Ikhsan dan Shafina.


Menurutnya lagi, ibunya juga seorang yang sangat berdikari dan berfikiran terbuka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan pendidik.

“Kalau ada masalah, mama akan selesaikan dengan baik. Mama bukan jenis yang bergantung pada orang lain. Semuanya dia akan selesaikan sendiri. Bagi mama, ikatan keluarga adalah sangat penting walaupun dia sibuk bekerja.

“Kami berkomunikasi pun macam kawan. Kalau saya ada masalah, dialah tempat untuk saya mengadu dan luahkan perasan,” tutur Shazana yang kini sedang menuntut di Universiti Sumatera Utara dalam bidang pergigian.

Shazana nyata sangat berbangga dengan penglibatan ibunya dalam bidang kimia dan semua kejayaan yang telah dicapainya itu.

“Kami adik-beradik semua tak suka kimia. Malah, abang sulung saya langsung tak terlibat dalam bidang sains tetapi muzik. Adik bongsu saya pula kini sedang mengambil A-Level di Universiti Sunway. Apa yang jelas, semua tidak terlibat dengan kimia, “ ujarnya berseloroh.

Process time in ms: 47