PESONA

Keistimewaan program AlimKids

Keistimewaan program AlimKids

Mengetengahkan pembelajaran sambil bermain untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun, program AlimKids Playgroup mendekatkan diri murid dengan Islam secara mendalam.




SUASANA di bilik pusat sehenti kanak-kanak, AlimKids Playgroup (AlimKids) riuh rendah. Kedengaran suara kecil menjerit-jerit seperti tidak sabar menunggu aktiviti mingguan dimulakan.

Duduk dalam barisan separa bulatan dengan beralaskan spot atau pelapik punggung, kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun itu bijak mencari posisi kedudukan yang lebih selesa.

Hati kecil yang tidak begitu mengerti mula mempamerkan reaksi spontan apabila disuruh menadah tangan lalu mengaminkan doa bagi memulakan aktiviti.


MENERUSI program ini, kanak-kanak berpeluang bersosial dengan rakan-rakan baru.


Ditemani ibu di sisi, kanak-kanak kecil itu tidak sedikitpun mengendahkan kehadiran ibu sebagai rakan sekumpulan. Sebaliknya, mereka lebih menumpukan subjek yang diajar guru kelas tersebut.

Buktinya, saya melihat sendiri kelincahan si kecil menjawab soalan berkaitan anugerah yang dikurniakan kepada setiap insan dalam bahasa Inggeris. Ia termasuk soalan tentang keistimewaan diri sendiri.

Walaupun terlalu awal untuk mereka memahami subjek yang diketengahkan itu, namun kepetahan berbahasa Inggeris membuatkan diri saya terpegun seketika.

Mungkin ramai yang bertanya, apakah kelainan yang cuba ditonjolkan oleh AlimKids? Suasana pembelajarannya tidak ubah seperti sebuah tadika, namun ia ada perbezaannya.

Pendedahan awal

Program AlimKids mula diperkenalkan pada tahun 2006. Ia memberi kesempatan untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengikuti satu program pembelajaran. Program itu diadakan satu jam setiap Sabtu selama setahun. Anak-anak boleh mengikuti pembelajaran sambil disertai ibu mereka.


PROGRAM ini turut memberi peluang anak-anak bermain dengan ibu masing-masing.


Terdapat empat skop pembelajaran yang diketengahkan dalam satu sesi pengajian pada setiap minggu. Antaranya belajar mengikut tema, permainan aktif, pengenalan huruf dan seni kraf.

Diilhamkan oleh dua wanita dari pusat sehenti kanak-kanak AlimKids, Subang Jaya, Selangor, Aisha Syed Ali dan Norita Surern, pendidikan Islam dalam bahasa Inggeris menjadi penekanan dalam program tersebut. Anak-anak misalnya diajar tentang keistimewaan sebagai makhluk Allah s.w.t dan perkara penting yang perlu dititik beratkan dalam kehidupan harian.

Merupakan konsultan pendidikan awal kanak-kanak, Aisha memberitahu, fokus utama program adalah pembelajaran sambil bermain untuk kanak-kanak.

"Ia sebagai pendedahan awal kanak-kanak agar menjadi lebih aktif dan bijak sekali gus berpeluang memperoleh ilmu keagamaan pada usia kecil.

"Jika bertindak lebih awal, lebih cepatlah mereka memahami apakah itu Islam dan keistimewaan menjadi khalifah di muka bumi ini," ujar Aisha selaku guru program tersebut.

Konsep pembelajaran

Mengetengahkan konsep Islamik, murid ditempatkan dalam satu kumpulan kecil sepanjang kelas berlangsung.


KANAK-KANAK dapat berinteraksi dengan lebih terbuka melalui aktiviti yang dijalankan.


Agar tidak bosan, setiap sesi disusuli dengan aktiviti-aktiviti fizikal berkaitan pembelajaran. Cara sebegitu lebih memudahkan mereka memahami konsep yang dipelajari. Misalnya, menari menggunakan peralatan muzik seperti kayu dan bermain dengan payung bersaiz besar.

Selain itu, katanya, penggunaan bahan-bahan bacaan bergambar dan alat mainan sambil diiringi irama muzik perlahan, ia cukup membezakan cara pembelajaran di taska mahupun tadika. Malah, ia turut memberi impak besar dalam perkembangan dunia baru kanak-kanak.

Melalui medium tersebut, kanak-kanak dapat memahami objektif sebenar program, di samping menjadi pengisian awal sebelum mereka melangkah masuk ke alam persekolahan kelak.


AISHA SYED ALI


"Islam bukan satu subjek yang payah untuk difahami. Ia melibatkan perkara yang dilakukan setiap hari. Cuma, terpulang kepada kita bagaimana hendak menyampaikannya kepada golongan kanak-kanak.

"Menerusi irama muzik yang bersesuaian, mereka dapat bertindak balas dengan cepat. Namun, kita kena pastikan genre muzik itu bersesuaian dengan apa yang diajar," jelasnya yang berpengalaman hampir 18 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Bina keyakinan

Kewujudan program berbentuk ibu dan anak pula sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka bersosial tanpa kehadiran bapa di sisi. Ini kerana, program tersebut memfokuskan kaum ibu bersama anak tanpa melibatkan kaum bapa.

Sebagai ibu, mereka sentiasa dibebani tugasan kerja di pejabat mahupun di rumah. Kesibukan bekerja membuatkan kesukaran untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

"Sebagai ibu muda juga, mungkin mereka tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan satu konsep pembelajaran sambil bermain dengan anak-anak di rumah.

"Dengan menyertai program yang dianjurkan, sekurang-kurangnya ia membantu golongan tersebut meneroka tahap kemahiran fizikal si anak dengan lebih baik," tambah Aisha.

Selain menggalakkan aktiviti fizikal bersama rakan seusia, jelas rakan sekerjanya, Norita, mereka juga berpeluang membina keyakinan diri melalui subjek yang diperkenalkan.


NORITA SURERN


Contohnya, berinteraksi dengan rakan sekumpulan. Ia sedikit sebanyak melancarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian.

Tidak cukup dengan itu, mereka berpeluang meningkatkan nilai murni dalam rutin harian seperti sabar, jujur, amanah dan bekerjasama. Ini sekali gus membolehkan mereka diterapkan dengan nilai-nilai Islam.

Seorang ibu, Hani Arziana Abdullah, 37, berkata, kebimbangannya terhadap anak yang memiliki sikap pemalu dan takut berhadapan dengan orang ramai akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Menurutnya, beliau mendapat tahu mengenai kewujudan program AlimKids menerusi rakan-rakan.

"Kini, saya dapat melihat perubahan ketara berlaku pada anak perempuan saya.

"Sebelum ini, hati saya resah memikirkan masalahnya. Dengan mengikuti program tersebut, dia mula bergaul dan tidak malu berinteraksi dengan rakan-rakan yang baru dikenali," katanya.

Menyertai program hujung minggu dengan anaknya, Insyirah Hany Jumali, 4, ia sememangnya memberi kepuasan, di samping dapat meluangkan masa berkualiti bersama.

Katanya, program itu turut memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungannya dengan anak.

Bagi sesiapa yang berminat menyertai program AlimKids, kunjungi pusat sehenti kanak-kanak, AlimKids Playgroup di No. 6-1 USJ9/5Q, Subang Business Centre, 47600 Subang Jaya, Selangor atau hubungi talian 03-8024 8664.

Process time in ms: 79