GENK

Kumpul mata melintas jalan raya

Kumpul mata melintas jalan raya




SEKUMPULAN pelajar memenuhi litar lalu lintas. Ada yang berjalan kaki, berbasikal dan mengayuh pedal kereta. Semuanya dengan cermat melintas jalan dan melalui selekoh.

Masing-masing dengan penuh hati-hati mematuhi segala peraturan jalan raya seperti memberi isyarat membelok, berhenti di lampu isyarat, memperlahankan kenderaan di lintasan belang dan sebagainya.

Ia kelihatan biasa sahaja. Tetapi sebanyak 15 pelajar berkenaan sebenarnya bersaing mengumpul mata yang paling banyak untuk menjadi juara Pertandingan Lalu Lintas Shell.

Pertandingan yang diadakan sejak 52 tahun lalu itu merupakan salah satu usaha Shell mengetengahkan isu-isu keselamatan jalan raya di kalangan pelajar sekolah termasuk membentuk sikap prihatin sebagai pemandu atau pejalan kaki serta memupuk nilai-nilai pemanduan berhemah.

Sebanyak 14 pasukan dari setiap negeri mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat kebangsaan. Setiap pasukan menghantar 17 pelajar iaitu 15 bertanding manakala dua lagi adalah peserta simpanan.

Para pelajar tersebut berumur di antara 11 tahun hingga 14 tahun dan terdiri daripada pemenang-pemenang Pertandingan Lalu Lintas Shell peringkat negeri yang telah dianjurkan sejak Mac tahun ini. Mereka bertanding bagi dua kategori iaitu kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Pertandingan lalu lintas itu melambangkan kepentingan pembelajaran keselamatan jalan raya untuk generasi muda di Malaysia kerana ia menyediakan platform pembelajaran secara praktikal sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan pembelajaran teori yang diajar di sekolah.

Menurut seorang wakil dari Shell Malaysia, Redza Ramli, program itu memerlukan peserta lulus ujian bertulis dan ujian di atas trek.

"Peserta akan diberikan merit apabila mematuhi undang-undang jalan raya," ujarnya yang tidak mahu dikenali.

Kad perjalanan akan diberikan kepada setiap peserta dan mereka dikehendaki mencatatkan jawapan yang terdapat di sepanjang litar lalu lintas dalam masa yang diberi. Setiap jawapan memberi markah kepada pasukan.

Sebaliknya, markah akan dipotong serta saman trafik akan diberikan oleh pegawai polis trafik sebenar apabila peserta melanggar undang-undang lalu lintas.


PERTANDINGAN kali ke-52 ini bertujuan mengetengahkan isu keselamatan jalan raya dan memupuk nilai-nilai pemanduan berhemah.


Pertandingan pada tahun ini diadakan di litar lalu lintas Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Walaupun litar lalu lintas tersebut hanyalah tiruan kepada jalan raya sebenar, namun undang-undang permainan adalah sama seperti undang-undang yang dikenakan kepada pengguna jalan raya. Litar itu cuba menghidupkan suasana sistem jalan raya dan lalu lintas sebenar.

Secara tidak langsung, ia menerapkan ciri-ciri keselamatan dan adab memandu di jalan raya. Peserta mempelajari bagaimana untuk melintas jalan raya sebagai pejalan kaki, undang-undang penunggang basikal, motosikal dan juga pemandu kereta.

Secara tidak langsung juga, mereka akan lebih memahami isu-isu keselamatan jalan raya dan boleh mengadaptasikan apa yang mereka belajar di sekolah apabila dewasa kelak.

Menurut Penolong Pengarah Kesenian Unit Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nor Adzmi Baba, aktiviti kokurikulum seperti Kelab Keselamatan Lalu Lintas amat membantu dalam membina jati diri setiap pelajar.

"Menerusi aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Keselamatan Lalu Lintas, ia memberi kesedaran dan pengetahuan tambahan kepada pelajar di peringkat sekolah mengenai isu-isu keselamatan jalan raya.

"Dengan ini, ia sedikit sebanyak membantu kerajaan mengurangkan kes-kes kemalangan maut di jalan raya," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan tuan rumah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyapu bersih kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

WPKL berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, trofi dan medal.

Menurut Ketua Kontijen (Guru Pengiring) pasukan dari WPKL, Zarina Abd Wahab, bertanding di tempat sendiri menjadi antara faktor yang memberi kelebihan kepada pasukannya.

"Bertanding di tempat sendiri meningkatkan semangat peserta. Namun, saya beranggapan bukan tapak litar yang memberi kemenangan, sebaliknya pemahaman pelajar terhadap undang-undang jalan raya.

"Apa yang penting adalah setiap peserta tahu peranan masing-masing sebagai pengguna jalan raya yang berhemah, tidak kira sama ada mereka bertindak sebagai pejalan kaki, pemandu kenderaan atau penunggang basikal atau motosikal," katanya.

Menurutnya, apabila pelajar memahami tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya, bertanding di trek mana sekali pun, mereka boleh mengadaptasinya dalam pertandingan.

Kontinjen WPKL hanya mengambil masa dua minggu untuk berlatih ekoran jadual peperiksaan hanya berakhir pada awal Oktober yang lalu.

Berbanding tahun-tahun lalu, mereka mempunyai masa selama sebulan untuk menjalani latihan dan memberikan sebanyak mungkin input mengenai pertandingan tersebut.


SAMAN akan diberikan kepada peserta yang melakukan kesalahan di jalan raya.


Pasukan tersebut menggunakan khidmat dua orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain empat orang guru yang berpengalaman.

Dalam pada itu, pasukan dari Kedah pula meraih tempat kedua bagi kedua-dua kategori Rendah dan Menengah. Mereka membawa pulang hadiah bernilai RM8,000.

Menurut Guru Pengiring pasukan dari Kedah, Emiliza Othman, pasukan negeri itu telah melakukan yang terbaik dalam pertandingan dan setiap tahun pasti akan mendapat tempat dalam tangga kemenangan.

"Pengajaran nilai-nilai keselamatan jalan raya diterapkan melalui Kelab Keselamatan Jalan Raya. Pelbagai pendekatan harus diambil bagi menyampaikan maklumat kepada pelajar terutama mereka yang berada di luar bandar.

"Para pelajar ini tidak mengambil peduli mengenai isu keselamatan jalan raya. Oleh itu, kami membawa mereka ke jalan raya sebenar untuk memberi mereka pemahaman yang lebih dan kadangkala mengadakan sesi berkonvoi basikal beramai-ramai dengan kerjasama pihak polis.

"Dengan cara ini, mereka tahu bagaimana mahu mengamalkan nilai-nilai pengguna jalan raya yang berhemah dalam suasana sebenar," katanya.

Bagi tempat ketiga pula, ia dimenangi oleh kontinjen dari Terengganu untuk kategori Sekolah Rendah manakala kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh pasukan dari Kelantan. Masing-masing berjaya membawa pulang pulang hadiah bernilai RM3,000, trofi dan juga medal.

Menurut Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Shell Malaysia, Datuk Ir. Wahiruddin Abdul Wahid Shell berharap, pertandingan itu mampu memupuk rasa tanggungjawab di hati dan minda para pelajar supaya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah pada masa hadapan dan menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat.


AKTIVITI ini memberi pemahaman yang mendalam kepada pelajar mengenai undang-undang serta adab di jalan raya.


"Setiap tahun, kira-kira 40,000 pelajar terlibat dalam program ini dan Shell berhasrat untuk terus menggandakan jumlah penyertaan.

"Ini bermakna dalam masa 52 tahun program ini dijalankan, kami telah berjaya mendidik lebih satu juta bakal pengguna jalan raya," katanya.

Process time in ms: 31