INFINITI

Blog sarat informasi seni

Blog sarat informasi seni

Dengan jumlah pengunjung mencecah 158,548 sejak dua tahun lalu, blogger ini masih merasakan dirinya belum lagi hebat terutama dalam mengulas setiap artikel berkaitan dunia seni.


HIMPUNAN filem-filem klasik menjadi antara bahan utama Ajami untuk dimasukkan ke dalam blognya.


ANDA bercadang hendak pergi menonton wayang pada hujung minggu, melihat dan mendengar penggiat seni tempatan bercerita dengan jujur, mengetahui acara kesenian dan kebudayaan terkini seperti teater, tayangan filem pendek dan indie atau buku-buku terhangat di pasaran?

Mudah sahaja. Hanya dengan melayari blog milik seorang eksekutif di jabatan kawalan kualiti dan kandungan di sebuah syarikat penyiaran swasta, Ajami Hashim, 37, semua yang anda inginkan sudah tersedia.

Kali pertama mengklik blog peribadi Ajami Hashim, 37, di alamat http://ajamihashim.blogspot.com/ memang terasa seperti melayari sebuah portal rasmi yang sarat dengan informasi perihal seni tempatan. Sedangkan ia hanya satu blog peribadi.

Dari segi susun atur blognya pula, ia kelihatan kemas dan mudah untuk dilayari. Keseluruhan paparan memuatkan kandungan asas muka depan blog.

Bahagian atas sekali diletakkan nama blog 'AJAMIHASHIM'. Sebelah kanannya pula terdapat wajah Ajami yang diambil dari arah sisi dengan latar bertona asas hitam dan kelabu.

"Saya lebih suka menghias blog ini dengan susunan ringkas dan memilih warna hitam sebagai latarnya. Ini kerana setiap gambar dan tulisan yang diletakkan akan lebih naik warnanya," beritahunya kepada Kosmo!.

Pilih nama sendiri

Lantas Ajami yang cukup peramah orangnya menjelaskan penggunaan nama sendiri untuk tajuk dan alamat blog kerana tulisannya bersifat pandangan peribadi tanpa rasa prejudis. Mungkin juga kerana dia seorang yang optimis dan autoritatif.

Penggunaan gambar sendiri pula, barangkali lebih bermaksud pemikiran yang akan dikongsi dengan para pembaca.

Di sebelah kanan blog diletakkan juga pautan-pautan ke laman web milik Ajami yang lain seperti facebook, arkib ulasan terdahulu, poster filem terkini dan iklan penjualan buku yang dihasilkannya.

"Buku filem Estet merupakan hasil kerjasama saya dengan abang Mamat Khalid sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah filem tersebut. Ia diterbitkan oleh Mataharibooks milik pembikin filem Amir Muhammad.

"Buku ini adalah bukti bahawa sebuah blog peribadi mampu menjalin hubungan silaturahim antara penggiat industri perfileman dengan peminat mereka secara lebih cepat dan dekat," katanya bersungguh-sungguh.




Sementara itu, pada bahagian atas dipaparkan pautan bergambar ke bahagian terpilih yang disukai oleh Ajami iaitu kenangan bersama arwah Yasmin Ahmad, Buku Untuk Filem Estet dan ulasan buku terkini bertajuk Badrul Bambi karya Raihani Mohd. Saaid.

Bukan itu sahaja, Ajami juga berkongsi aktiviti terkini menerusi laman Twitter dengan pembacanya.

Baginya Internet ialah sumber maklumat dan tempat untuk mempromosi sesuatu benda dengan cepat, murah dan sangat bagus jika bijak mengaplikasikannya.

Ajami mengintegrasikan kesemuanya secara serentak iaitu Facebook, Twitter, YouTube dan Myspace di blog itu sebagai pusat perkongsian maklumat.

Namun, di sebalik kerancakan untuk memaparkan isu terbaru dalam blognya itu, dia sentiasa berhati-hati dengan setiap isi kandungan tulisannya.

"Mengendalikan blog peribadi bermakna kita sendiri yang menjadi penulis, penyunting, penerbit dan penyelenggara. Jadi sikap berjaga-jaga perlu ada," ceritanya.

Bak kata pepatah 'berani buat berani tanggung', setiap komen dan maklum balas yang diterima perlu dibaca, dijawab, diselia atau dipadam seandainya ada yang keterlaluan.

"Sebenarnya, tidaklah terlalu sukar kerana penyedia tapak blog ada menyediakan fungsi untuk kawalan penyuntingan segera," terangnya ringkas.

Kandungan informatif

Ketika melayari setiap entri blog Ajami, seolah-olah segala sudut aktiviti kesenian dan hiburan tanah air ingin diperkatakannya.

Paling menarik ialah cara garapannya tentang filem tempatan dan luar negara, telefilem, filem pendek, teater dan buku.

Blog itu didaftarkan pada 22 Januari 2007. Asalnya hanya sebagai satu blog ulasan filem dari sudut penulisan skrip dan cara naratif sesebuah filem.

"Saya sanggup beli filem-filem klasik luar negara seperti Citizen Kane daripada e-bay dengan harga beratus ringgit untuk kepuasan menonton," jelasnya.

Ajami juga mengambil kesempatan membeli DVD dan VCD filem-filem lakonan atau arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai koleksi peribadi.

Mungkin suatu hari nanti dia akan membuat ulasan khas mengenai filem-filem idolanya itu di dalam blog miliknya. Antara lambakan koleksi itu, Ajami paling menyayangi VCD Rabun karya Yasmin Ahmad yang diberikan sendiri oleh arwah.

"Kini blog ini sudah berkembang seiring dengan kematangan saya menulis setiap entri. Saya lebarkan ke bidang seni lain seperti ulasan telefilem, persembahan teater, buku malah komentar rancangan Akademi Fantasia," jelasnya sambil ketawa kecil.


SUSUN atur dan warna amat penting untuk menyerikan blog bagi menarik lebih ramai pengunjung.


Blog Ajami Hashim turut memuatkan rakaman temuramah eksklusifnya melalui YouTube dengan pembikin-pembikin filem tempatan seperti arwah Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Amir Muhammad, Osman Ali, Bade Hj Azmi, James Lee dan ramai lagi.

"Setiap temuramah itu, saya cuba lari daripada menyoal perihal yang sudah ditulis di media cetak. Maksudnya, saya tanya soalan-soalan yang berorientasikan untuk berkongsi pengalaman bagaimana mereka membikin filem. Selain sudut pemikiran yang mungkin belum pernah diceritakan kepada umum," ungkapnya.

Ia lebih berkonsep seperti sesi bersembang yang santai. Dengan cara itu, selalunya selebriti akan lebih terbuka untuk bercerita.

Antara wawancara yang paling seronok pernah Ajami rakamkan ialah dengan artis Singapura, Taufik Batisah di dalam kereta semasa perjalanan dari bangunan Bernama menuju ke RTM pada tahun 2007.

Ajami turut mengajak orang ramai hadir ke tayangan filem dokumentari pendek terbitannya bertajuk Kakmin di Maskara Shorties pada 31 Oktober depan pada pukul 8 malam di Rumah Pena, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Process time in ms: 31