GENK

Tuned by Shaiful

Tuned by Shaiful

Daripada seorang mat rempit kepada seorang pelumba litar, Shaifulnizam Kamarudin kini mampu tersenyum kerana memiliki sebuah bengkel dan kedai alat ganti kereta.




STATUS sebagai pemilik sebuah bengkel pada usia muda sering menjadi tanda tanya kepada pelanggan. Adakah dia benar-benar berkelayakan dan sejauh mana kualiti perkhidmatan yang mampu diberikannya.

Mengakui dugaan itu terpaksa diharung oleh Shaifulnizam Kamarudin, 31, dia berusaha meraih kepercayaan pelanggan dan menyaingi bengkel-bengkel lain yang kebiasaannya dikuasai oleh kaum lain.

Justeru, jika ada tanggapan menyatakan Shaifulnizam kurang arif tentang selok-belok kenderaan, maka tanggapan itu adalah salah. Dia bukan sahaja berpengalaman membaiki alat-alat ganti kenderaan, malah berpengalaman memandu di litar dengan menyertai lebih 50 perlumbaan. Oleh itu, dia lebih memahami kehendak dan kualiti kereta.

"Memang pada mulanya, ramai yang mempertikaikan kebolehan saya. Ini kerana mereka tidak tahu, saya sebenarnya seorang pelumba.

"Dengan pengalaman itulah, saya buka DoriDori Auto Works sejak lebih setahun lalu.

"Saya kini mempunyai ramai pelanggan tetap terutama dari kelab-kelab kereta di Malaysia. Ada juga yang sanggup datang dari jauh seperti Perak dan Johor untuk mendapatkan khidmat di bengkel ini," katanya kepada Kosmo!.


SHAIFULNIZAM berdiri di hadapan bengkelnya yang terletak di Taman Perindustrian Batu 3, Shah Alam.


Merupakan lulusan Kejuruteraan Pesawat daripada Malaysian Airlines System Bhd. (MAS), Shaifulnizam memilih untuk menjadi mekanik selepas tamat pengajian.

Dia mula menjadi mekanik di YS Khong Motorsport. Bermula dari situ, dia belajar mengenai kereta sedikit demi sedikit.

Dia mengakui memang sukar pada mulanya, tetapi kerana minat, dia belajar daripada mekanik-mekanik lain dan menimba pengalaman sehingga berjaya.

Sebelum membuka DoriDori Auto Works, Shaifulnizam beroperasi di rumahnya di Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Kebanyakan rakan terdekat akan meminta khidmatnya untuk melakukan pembaikan, pengubahsuaian dan menaiktaraf kenderaan mereka.

Bukan mudah sebenarnya untuk membuka bengkel yang dilengkapi dengna peralatan canggih bernilai ribuan ringgit. Bukan pengalaman dan pengetahuan sahaja yang diperlukan, malah modal turut menjadi cabaran utama.

Shaifulnizam terpaksa mengeluarkan belanja sendiri sebanyak kira-kira RM200,000 untuk merealisasikan impiannya membuka bengkel itu. Pengalaman selama 12 tahun di litar perlumbaan diaplikasikan sepenuhnya.


PENGALAMAN memandu 17 tahun memberi kelebihan kepada Shaifulnizam untuk membuka bengkel kereta.


"Walaupun banyak dana serta pinjaman disediakan bagi membantu belia memulakan perniagaan, namun ia bukan semudah yang disangka. Oleh itu, saya kumpul sendiri wang," katanya.

DoriDori Auto Works menyediakan perkhidmatan yang meliputi servis kereta biasa sehinggalah pengubahsuaian ekstrem. Barang-barang alat ganti juga boleh didapati daripada harga serendah RM2 sehingga mencecah ribuan ringgit. Mana-mana kereta yang berkunjung ke bengkelnya akan menerima pelekat Tuned by Shaiful.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam sukan pemotoran, Shaifulnizam memberitahu, dia mula memandu kenderaan ketika berusia 14 tahun. Ketika itu, dia curi-curi memandu kereta bapanya. Malangnya, dia terlibat dengan kemalangan kecil.

Walaupun telah menerima 'hukuman' akibat perbuatannya itu, minat Shaifulnizam terhadap kereta begitu mendalam. Sejak itu, dia juga bercita-cita untuk berlumba dengan keretanya sendiri serta membuka sebuah bengkel.


SHAIFULNIZAM sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membuka bengkel kereta.


Dia mula melibatkan diri dalam perlumbaan bermula seawal usia 15 tahun apabila menyertai pelumbaan go-kart. Bakatnya mula dilihat dan ditawarkan tempat di satu perlumbaan.

Darah muda yang bergolak ketika itu menjadikan dia begitu teruja dengan kelajuan dan cuba menyaingi rakan-rakan lain. Shaifulnizam mula memilih jalan raya untuk berlumba selepas tamat persekolahan di peringkat menengah.

Pengalamannya mengendalikan kereta lumba di litar pula bermula seawal usia 19 tahun di Litar Batu Tiga, Shah Alam. Namun katanya, perlumbaan litar pada ketika itu tidak sama dengan zaman sekarang.

"Untuk melibatkan diri dalam sukan pemotoran bukan murah. Jika dahulu, banyak pihak memberi tajaan untuk memandu kenderaan mereka di litar.

"Tetapi kini, kebanyakan yang berlumba menggunakan kereta sendiri. Hanya yang berduit sahaja mampu berlumba. Untuk satu perlumbaan, seseorang pelumba memerlukan lebih kurang RM30,000, tidak termasuk kereta. Kalau perlumbaan yang lebih besar, kos boleh mencecah RM100,000," katanya.

Oleh kerana Shaifulnizam kini mempunyai mekaniknya sendiri, dia boleh mengurangkan kos tersebut.

Suatu ketika dahulu, dia memandu kenderaan orang lain untuk berlumba. Kini, Shaifulnizam mempunyai dua buah kereta lumba untuk dipandu.

Terbaru, Shaifulnizam menyertai Raly X, Sepang pada April lalu dan berjaya menjadi juara selepas mengalahkan 56 pelumba yang lain.


MENAWARKAN khidmat kepada semua jenis kenderaan pelbagai jenama.


Namun, katanya, berlumba sahaja tidak akan membawa apa-apa faedah untuk masa depan. Oleh itu, azam perlu dipupuk dari awal untuk menentukan hala tuju.

"Menyertai perlumbaan hanya untuk memenuhi minat kerana ia tidak mendapat pulangan. Hanya dapat nama sebagai pemenang dan trofi," katanya.

Kelajuan memberikannya kepuasan. Namun, tidak semestinya, pelumba kereta mengaplikasikan skil pemanduan litar di jalan raya biasa.

"Walaupun saya suka kelajuan, tetapi saya tidak menggunakannya di jalan raya. Ini kerana apabila berlaku kemalangan, ia melibatkan orang lain. Jadi, saya lebih suka berlumba di litar.

"Memandangkan pelumba sudah puas memandu laju kereta di litar, jadi jarang kita dengar mereka terlibat dalam kemalangan serius. Kemalangan kecil, memang tak boleh dielakkan," ujarnya.

Dia menasihatkan anak-anak muda supaya tidak terlalu mengikut perasaan dalam mengekspresikan diri. Sebabnya, ia bukan sahaja merugikan diri sendiri malah mendatangkan bahaya kepada orang lain.

"Jika benar-benar minat berlumba, carilah medium yang sesuai dan sertailah perlumbaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Jangan terlalu ikutkan perasaan.

"Berlumba di litar dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan pada kereta dan pemandu. Jangan bahayakan diri sendiri dan orang lain dengan berlumba di jalan raya," nasihatnya kepada anak-anak muda sekarang.

Process time in ms: 62