HIBURAN

Pelat sudah sebati sejak kecil

Pelat sudah sebati sejak kecil

"Apa yang saya suka kalau dia temankan saya, dia akan berikan pendapat yang jujur tentang progresif kerja saya. Kadangkala dia kata lakonan saya tak cukup bagus dan suruh saya perbaiki pada masa itu juga" – LISA SURIHANI




NAMPAKNYA rezeki pelakon jelita Lisa Surihani semakin melimpah ruah. Baru dua tahun bergelar pelakon sudah berderet filem dan drama yang menggunakan khidmatnya.

Memang ramai yang mengakui, kini Lisa antara pelakon terhangat di pasaran. Dia boleh diibaratkan sebagai pelaris produk.

Namun, sebagai manusia biasa, Lisa juga ada kekurangan diri yang tidak boleh disembunyikan. Mungkin ramai yang tidak perasaan akan kekurangan pada diri gadis berusia 23 tahun itu di layar perak dan kaca TV tetapi sebenarnya Lisa mengalami kesukaran untuk menyebut huruf 'r' dengan betul.

Walaupun begitu, pemenang anugerah Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-21 menerusi filem I'm Not Single itu langsung tidak terkejut dengan pertanyaan itu malah, mengakui pelat huruf 'r' memang sudah sebati dalam dirinya sejak kecil lagi.

Baginya itu bukanlah satu masalah yang besar kerana kebanyakan penerbit dan pengarah filem menganggap pelatnya itu bukan satu perkara yang besar kerana ramai lagi pelakon dan penyanyi turut menghadapi masalah yang sama.

"Saya tak terasa hati langsung dengan soalan itu. Ini pertama kali orang tanya. Saya juga tak terfikir pula untuk melakukan rawatan untuk mengubat pelat huruf 'r' ini.

"Saya tanamkan dalam diri yang pelat huruf 'r' ini bukannya perkara negatif mungkin ada boleh dijadikan sebagai identiti saya kerana ada juga pelakon yang mempunyai pelat 's'.

"Memang saya pernah maklumkan kepada pengarah tentang hal ini tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai masalah dengan sebutan saya dan belum pernah lagi saya mendapat komen negatif tentang itu," ujarnya.

Oleh itu, untuk menyebut setiap perkataan tanpa kesalahan di hadapan kamera, Lisa selalu melatih skrip yang mempunyai sebutan 'r'.




Bagaimanapun, Lisa menganggap semua komen negatif yang diterimanya sebagai satu motivasi diri yang perlu dipandang serius.

"Jika orang fikir pelat saya satu masalah yang besar, saya hormat pandangan mereka dan apa yang kurang saya akan perbaiki.

"Setiap individu ada hak untuk bercakap dan ia bergantung kepada saya untuk mengambil perkara itu sebagai menjatuhkan saya atau membina. Ramai peminat yang menyokong dan berpesan kepada saya supaya jangan berputus asa dengan mudah," ujarnya.

Ibu bukan pengurus peribadi!

Sejak mula melibatkan diri dalam dunia seni, Lisa sentiasa diekori ibunya. Tiada satu penggambaran, majlis sidang media mahupun majlis hiburan lain tanpa kelibat ibunya, Siti Amira Ahmad yang berusia 59 tahun.

Ramai yang menganggap ibunya adalah pengurus peribadinya seperti mana beberapa artis muda yang lain tetapi bagi Lisa dakwaan itu tidak tepat meskipun dia senang ditemani ibunya sejak berlakon pada usia seawal 11 tahun.

"Arwah ayah saya telah amanahkan 'mummy' untuk menjaga saya. Jadi tiada kaitan tentang 'mummy' tidak percaya untuk melepaskan saya seorang diri. Dia juga bukannya pembantu peribadi saya.

"Saya harap hal ini sudah jelas. 'Mummy' sekadar teman dan saya rasa selamat bila dia berada dekat dengan saya. Memang saya tahu apabila di lokasi pengambaran semua orang akan perhatikan dia tetapi dia tidak membawa apa-apa masalah pun.

"Bila selalu ikut saya pergi penggambaran, dia pula secara tidak langsung belajar tentang selok belok penggambaran. 'Mummy' sudah pandai komen 'conti (continuity) lari'. Saya rasa tak salah untuk dia temankan saya. Tambahan, arwah 'daddy' sudah tiada, jadi saya suka dia temankan saya daripada duduk seorang diri di rumah," luahnya.




Selain itu, Lisa yang bakal muncul dalam beberapa buah filem yang masih belum ditayangkan seperti V3: Samseng Jalanan, Kapoww!, Lagenda Budak Setan, Zoo dan Semerah Cinta Stilleto berkata meskipun ibunya bukan pengurus peribadi tetapi dia cukup selesa untuk berbincang tentang sesuatu perkara bersama ibunya.

"Apa yang saya suka kalau dia temankan saya, dia akan berikan pendapat yang jujur tentang progresif kerja saya. Kadangkala dia kata lakonan saya tak cukup bagus dan suruh saya perbaiki pada masa itu juga

"Selebihnya, saya rasa tenang jika setiap pekerjaan yang saya lakukan mendapat restunya," katanya.

Walaupun sentiasa diekori ibu, itu tidak bermakna segala pergerakan Lisa dikawal ketat oleh ibunya.

"Tolong jangan salah faham, 'mummy' hanya teman saya masa kerja seni sahaja seperti penggambaran, majlis hiburan dan sesi fotografi.

"Kalau saya nak keluar bersama teman-teman, mummy' tidak ikut. Saya tidaklah dikongkong seperti yang didakwa," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Mertua Vs Menantu 2 di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Garis panduan di klinik veteriner

Kebanyakan kucing yang dibawa ke klinik menghidap penyakit berjangkit dan bersifat zoonotik. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15