HIBURAN

Cabaran cerita epik - <i>Lembing Awang Pulang Ke Dayang akhirnya masuk panggung</i>

Cabaran cerita epik - Lembing Awang Pulang Ke Dayang akhirnya masuk panggung


ANTARA babak yang diketengahkan dalam filem ini.


MENANTI filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang selama empat tahun untuk ditayangkan, ramai yang mungkin sudah lupa akan karya itu.

Disebabkan pelbagai masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk isu penukaran aktres utama serta pengarah, akhirnya cerita epik dengan elemen legenda lama negara itu ditayangkan kepada media.

Melihat daripada poster filem, tidak dinafikan ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada produk lakonan Farid Kamil, Siti Elizad, Zul Huzaimy dan Mei Ling itu. Pemilihan pelakon-pelakon begitu meyakinkan. Sayangnya epik ini bagaimanapun memberikan perasaan sebaliknya.

Memang diakui penerbitnya, N. Azman mempunyai niat murni untuk mengangkat serta mempopularkan semula legenda-legenda tempatan yang semakin dilupakan. Memilih cerita tulisan Allahyarham Cikgu Shaharom Husain yang ditulis pada tahun 1957, filem ini bagaimanapun dibikin lebih menjurus kepada genre hikayat cereka.




Ini kerana pengarahnya, Majed Salleh telah mengolah 15 peratus cerita asalnya supaya bersesuaian dengan skala filem serta peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem dan Jabatan Agama Islam Selangor.

"Cabaran utama kami adalah untuk memendekkan cerita epik itu dari novel kepada dua jam. Sebenarnya banyak lagi cerita yang ingin kami masukkan tetapi dikongkong oleh durasinya. Jadi kami perlu memberi fokus kepada cara menghidupkan ceritanya.

"Kami yakin walaupun filem ini sudah lama disiapkan tetapi ia tidak akan lapuk disebabkan jalan ceritanya yang menarik," kata N. Azman mengenai filem yang akan ditayangkan pada 22 Oktober nanti.

Namun, melihat dari segi kualiti, ia tidak mencapai standard untuk pasaran perfileman sekarang. Bukan bererti untuk mengutuk atau mengkritik, mungkin jika filem itu ditayangkan empat tahun dahulu, pandangan dan pendapat penonton akan berbeza.

Tapi kini, apabila audiens sudah disogok dengan karya yang dilihat mampu memenuhi cita rasa, Lembing Awang Pulang Ke Dayang dirasakan sedikit ketinggalan. Syot, suntingan, audio, penata cahaya, lokasi, kostum, props dan kesan khas tidak memberangsangkan.


DARI kiri: Farid Kamil, Mei Ling dan Zul masing-masing teruja dapat melibatkan diri dalam filem genre epik ini.


Majed mungkin ada alasan tersendiri mengapa timbul sedikit masalah pada karya itu. Tetapi sebagai penonton, filem itu agak sukar untuk diterima akal. Bukan kerana jalan ceritanya, tetapi kekurangan dari segi skrip dan pengarahan yang kelihatan longgar. Bayangkan apakah nilai sebuah epik sekiranya penonton ketawa melihat dialog dan penceritaannya?

"Pada saya, filem itu tidak mempunyai banyak kelemahan. Mungkin apa yang perlu dibaiki adalah dari segi teknikal dan bukan pelakonnya.

"Dari segi audio, kami mempunyai sedikit masalah untuk menukar kepada format filem memandangkan kami merakam menggunakan kamera HD. Ketika itu, kami merupakan antara yang pertama menggunakan kamera HD. Jadi ada masalah yang tidak dapat dielakkan," jelas Majed.


N AZMAN


Mengambil alih tugas pengarah lain, adakah faktor itu juga telah mempengaruhi hasilnya? Majed yang tidak banyak bercerita mengenai pengarah lama memberitahu: "Sebenarnya banyak syot yang telah siap tetapi 40 peratus daripadanya tidak boleh digunakan. Selepas berlakunya isu penukaran pelakon, hampir 90 peratus filem itu perlu dirakamkan semula.

"Oleh itu kami juga ada menambahkan beberapa pelakon dan hanya menggunakan lima syot. Dulu syot yang diambil tidak mencukupi dan saya perlu menambahkan syot supaya dapat melengkapkan serta memastikan kelancaran filem."

Menelan kos RM1.6 juta, N. Azman merasakan filem itu boleh dibikin dengan lebih baik jika diberi peluang untuk merakamkan semula. Akan tetapi faktor penangguhan telah membuatkan ia menelan kos yang tinggi. Cuma harapannya adalah dia ingin penonton menyaksikan filem itu kerana ceritanya.


MAJED SALLEH


"Banyak sebenarnya cerita legenda yang boleh difilemkan tetapi kami tertarik dengan kisah cinta itu. Kini, banyak syarikat produksi takut untuk menerbitkan filem sebegini kerana khuatir tidak diterima ramai.

"Tidak benar jika menyatakan ia tidak akan mendapat sambutan kerana banyak negara luar juga menerbitkan filem menggunakan cerita legenda negara masing-masing," kata N. Azman.

Memilih Farid sebagai watak Awang, Zul sebagai Datuk Bachok dan Siti Elizad sebagai Dayang, Farid dan Zul yang menghadiri sesi tayangan perdana berkongsi pengalaman masing-masing. Watak Awang sebenarnya merupakan kali kedua Farid menjadi hero selepas Tujuh Perhentian.

Maka, anda boleh melihat Farid yang berusia 22 tahun dan 25 tahun dalam filem itu. Membuat persediaan terperinci termasuk berjumpa dengan pewaris Awang dan berlatih silat, Farid bagaimanapun agak terkilan kerana filem itu baru ditayangkan.

"Saya suka cerita ini tetapi sedih kerana ia mengambil masa yang lama untuk ditayangkan. Saya rasa rugi kerana banyak filem Melayu sekarang lebih baik. Maka, sebagai penonton, orang akan membuat perbandingan. Saya juga berharap penonton dapat menerima lakonan saya kerana ia dirakamkan empat tahun lalu," katanya.

Walaupun banyak masalah yang timbul pada produksi itu, Zul bagaimanapun memilih untuk meneruskan tugasnya. Merasakan dirinya telah melakukan yang terbaik, dia berharap filem itu dapat menjadi perintis kepada cerita sejarah lain.

"Jika meletakkan diri sebagai seorang penonton, mungkin banyak benda yang tidak cantik di mata saya. Tetapi sebagai seorang pelakon, saya rasa kami semua telah memberi yang terbaik walaupun secara jujurnya, saya tidak berpuas hati sebanyak 60 peratus dengan hasil lakonan saya.

"Tapi saya pun tak akan lari daripada produksi walaupun banyak masalah, sebab saya wajib melunaskan tanggungjawab saya sebagai Bachok dalam filem ini," ujar Zul.

Iklan@KOSMO!


Process time in ms: 31