SUKAN
Kecualikan cukai penaja
![]() |
|
|
PERKENALKAN segera insentif pengecualian cukai menyeluruh terhadap syarikat yang mahu menaja mana-mana pasukan bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), lapor AHMAD SYAKIR SAZILI.
Bagi Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar), inisiatif itu merupakan cara terbaik untuk menarik minat pihak swasta yang sebelum ini terpaksa melupakan hasrat untuk menaja mana-mana pasukan dalam Liga M.
Malahan beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan FAM, secara peribadi berharap, cadangan tersebut diberi perhatian serta diambil kira dalam Bajet 2010 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini.
"Pada saingan Piala Malaysia musim ini banyak pasukan yang mahu menarik diri kerana kekangan kewangan dan saya percaya masalah sedemikian akan terus berulang setiap tahun.
"Justeru, langkah penyelesaian perlu diperkenalkan kerajaan dan sudah tiba masanya syarikat-syarikat besar yang menjadi penaja sesebuah pasukan itu tidak perlu melunaskan cukai kepada kerajaan atas apa yang mereka laburkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang kawasan Larut di Batu Kurau, Taiping semalam.
Jelasnya, pengenalan insentif pengecualian cukai itu sekali gus akan menggalakkan lebih banyak penaja tampil dan seterusnya meningkatkan kualiti Liga M.





Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak