RENCANA UTAMA

Persis diva Hollywood

Persis diva Hollywood




Kad-kad yang ditampal pada kurungan anak-anak kucing lain berbunyi begini: 'Boleh Bergaul Dengan Kanak-Kanak' atau 'Sukakan Haiwan Lain'. Anda tahu, perkara seperti itu buat aku sedikit cemas sebab kad yang dilabelkan pada kurungan ku ialah 'Bossy'. Hanya satu perkataan itu sahaja. Tidak ada sebarang huraian. Cis...itu satu penghinaan! Aku risau aku tak akan dibeli.

Tertawa penulis saat membaca petikan itu dalam satu blog yang 'ditulis' oleh seekor kucing. Memang ia bukan tulisannya sendiri, tetapi itu adalah suara hati imaginasi seekor kucing betina yang semakin meningkat popular, Nora, Si Pemain Piano. Ia hanyalah secebis kisah yang diceritakan dalam blog www.ravenswingstudio.com sebelum kucing itu dibeli oleh pemiliknya, Betsy Alexander dan Burnell Yow dari sebuah pusat perlindungan haiwan di New Jersey, Amerika Syarikat (AS).

Barangkali saat pusat perlindungan Cherry Hill itu meletakkan label 'bossy' padanya, mereka sudah membayangkan kucing itu bakal menjadi seekor diva! Agensi berita Associated Press (AP) dalam laporannya baru-baru ini menyifatkan kucing itu kini menjalani kehidupan persis diva Hollywood di Philadelphia. Ia mempunyai ejen, jurugambar sendiri dan pegawai pengiring!

Bakat luar biasa kucing itu bermain piano sebenarnya telah diketahui sejak tahun 2007. Cuma, ia makin hangat diperkatakan mutakhir ini terutama apabila konduktor muzik popular, Mindaugas Piecaitis mempersembahkan orkestra secara duet dengan video solo persembahan Nora di Klaipeda Orchestra Chamber, Lithuania pada Jun lalu. Laman perkongsian video, YouTube pula semakin mempopularkannya.

Sehingga saat ini, video Nora bermain piano di laman YouTube telah disaksikan sehingga 20 juta penonton. Liputan yang diterimanya merentasi sempadan media dan benua. Kisahnya disiarkan di kaca TV seperti ABC, NBC, CNN, Bersama Martha Stewart dan banyak lagi. Selain di AS, Nora turut mendapat liputan media cetak di banyak negara seperti Britain, Itali dan Jepun.

Akhbar The Times London menyifatkan muzik piano gubahan kucing itu berada pada tahap pertengahan antara muzik komposer terkenal Amerika, Philip Glass dan muzik jazz. Seorang guru muzik di Jepun pernah mengatakan teknik Nora amat cemerlang dan dia menggunakan Nora sebagai contoh untuk para pelajarnya bermain piano.


NORA di samping pemiliknya, Betsy Alexander.


Selain itu, Public Radio International mengadakan kuiz dengan pendengar radio untuk membezakan muzik Nora dengan muzik komposer terkenal seperti Alban Berg, Arnold Schoenberg dan Anton Webern.

Tidak syak lagi kucing fotogenik bermata hijau dan berusia lima tahun itu kini mempunyai ramai peminat. Justeru, Nora kini telah memiliki DVD video, dua buah buku, laman web khas, sebuah blog, tiga buah kalendar, kole, kad ucapan, baju T dan poster.

Meskipun Betsy, 53, merupakan seorang guru piano, namun Nora tidak belajar bermain piano daripadanya. Itulah yang diceritakan kepada Kosmo! ketika dihubungi menerusi e-mel baru-baru ini.

"Nora mula bermain not pada piano secara sendiri. Ia tidak diajar. Entah macam mana, pada satu hari, ia melompat di atas bangku piano dan mula bermain piano. Sejak itu, Nora bermain piano hampir setiap hari," kata Betsy sambil memberitahu terdapat dua buah piano di rumahnya, namun piano pilihan Nora adalah Yamaha Disklavier Grand.

"Sebagai seorang guru piano, saya melihat Nora mempunyai bakat dalaman. Nora bukan bermain piano secara semberono, sebaliknya bermain dengan lembut dan mengeluarkan emosi. Ia main dengan ritma dan key yang betul.

"Nora juga pemuzik yang sensitif, mempelbagaikan tempo, dinamik dan stailnya untuk disesuaikan dengan moodnya," kata Betsy sambil memberitahu nama Nora diberikan sempena nama seorang artis Leonora Carrington.

Muzik Nora disifatkan avant garde. Mungkin kerana itu, ahli muzik avant garde Dean Santomieri dari San Francisco menggunakan muzik Nora dalam satu persembahan berkumpulan dua tahun lalu.


SELAIN meraih populariti di laman YouTube apabila ditontoni jutaan penonton di seluruh dunia, Nora juga mendapat liputan daripada pelbagai media.


"Seperkara yang amat tepat untuk mendefinisikan Nora sebagai pemuzik sejati adalah ia memberikan komitmen yang tinggi terhadap instrumen yang dimainkan. Nora juga rajin berlatih untuk memperbaiki keupayaannya. Keghairahannya terhadap muzik membuatkan Nora berbeza dengan pemain piano average," tambah Betsy. Mungkin itu menjelaskan mengapa terdapat banyak sekuel video Nora di laman YouTube.

Ditanya mengapa pada sesetengah video, Nora kelihatan seperti berhenti bermain dan hilang tumpuan, ini adalah penjelasannya.

"Bukan hilang tumpuan atau penat. Sebaliknya, setelah bermain beberapa not, Nora mendengar sehingga bunyi itu berlalu pergi. Kadang-kadang, Nora bermain selama seminit atau lebih terutama apabila ia berduet dengan salah seorang murid saya. Nora suka mendengar dan ia boleh merasakan getaran muzik menerusi misai dan pad kakinya," kata Betsy.

Walaupun Nora mempunyai bakat bermain piano, selebihnya ia hanya kucing biasa. Nora kuat tidur dan suka bermain dengan bulu burung berwarna kuning. Nora juga kuat makan.

"Agak malang, Nora ada masalah mengawal selera makannya dan menikmati makanan hampir sama seperti ia menikmati piano. Nora seperti selebriti Hollywood lain yang mengalami tekanan untuk tetap kekal langsing," katanya.

Ketika membeli Nora, Betsy sudah tahu bahawa kucing itu memang diva memandangkan ia dilabel sebagai Bossy. Nora tidak suka kucing lain, tetapi suka kepada pengunjung.

Betsy bersama suaminya, Burnell seorang jurugambar tinggal di sebuah rumah di Philadelphia dengan enam ekor kucing yang lain, ataranya Gabby, Max, Rennie, Miro dan Clara. Nora dibeli ketika kucing itu berusia setahun.

Sejak kecil lagi, Nora tidak suka kucing lain menguasainya. Ia suka berangan 'ketua' dengan melepak di atas satu arca kayu besar yang berukiran seperti ibu kucing dan anak-anaknya.

Menurut Betsy, sejak mula dipelihara, Nora sudah menunjukkan minat pada muzik. Nora suka bermain di atas piano dan mengejar bayang-bayangnya di atas piano. Selain itu, Nora suka duduk di bawah piano saat Betsy mengajar murid-muridnya.

Setahun selepas itu, Nora mengejutkan Betsy dan Burnell apabila kucing itu duduk di atas bangku dan meletakkan dua tapak kakinya (beraksi seperti tangan manusia) ke atas kekunci piano lalu memainkannya.

Ditanya adakah Nora akan membuat persembahan secara langsung dalam orkestra atau konsert, Betsy berkata:


NORA turut memiliki DVD yang menghimpunkan video-video ia bermain piano.


"Setakat ini, Nora hanya melakukan persembahan CATcerto iaitu persembahan dengan hanya muncul di skrin belakang orkestra. Nora tidak pernah bermain piano secara langsung dengan orkestra. Sebanyak 17 orkestra dari seluruh dunia telah membuat permintaan untuk mempersembahkan Nora dalam CATcerto," katanya.

Apakah perancangan Betsy untuk Nora selepas ini? Betsy menjawab:

"Nora akan terus bermain piano dan menggubah lagu. Mungkin dengan cara itu, ia dapat memberikan inspirasi kepada yang lain agar memperkaya kehidupan diri dengan mempelajari instrumen muzik. Mungkin cara itu juga, Nora dapat mendidik manusia agar menghormati haiwan," ujarnya.

Ternyata, Nora memang memberikan inspirasi. Betsy dalam satu temu bual dengan AP ada memberitahu:

"Nora mendapat beribu-ribu e-mel dan surat daripada peminatnya. Salah satu surat yang diterima amat mengagumkan. Seorang wanita yang mengendalikan bengkel muzik menulis mengatakan anak perempuannya yang berusia 13 tahun telah berhenti bermain piano, tetapi apabila dia melihat Nora, dia bermain semula," ujarnya.

Melihat kebolehan Nora dan bagaimana ia memberikan inspirasi kepada manusia, penulis terfikir satu soalan. Mungkinkah satu hari nanti, kita akan menyanyikan lagu popular yang digubah oleh seekor kucing? Ia tidak mustahil.

Process time in ms: 47