RENCANA UTAMA

Galakan kewangan filem tempatan

Galakan kewangan filem tempatan

Hanya kerajaan Malaysia yang memulangkan kembali duti hiburan kepada penerbit filem untuk membantu mereka. Adakah ia berjaya menyuntik semangat penerbit filem untuk menghasilkan filem lebih baik?




SEWAKTU anda membeli tiket wayang, apa yang anda perhatikan di atas tiket tersebut? Kebiasaanya kita hanya melihat nombor dewan panggung, harga tiket dan nombor tempat duduk.

Cuba lihat betul-betul pada tiket itu, anda akan mendapati di atas tiket tersebut, tercatat perkataan duti hiburan serta harga potongan.

Apakah duti hiburan sebenarnya? Semua orang tahu duti hiburan adalah cukai yang dikenakan kerajaan. Bagaimanapun, dalam industri perfileman 14 peratus daripada 20 peratus keseluruhan duti hiburan itu akan dibayar balik kepada penerbit filem.

Duti hiburan dipulangkan semula sebagai galakan kewangan untuk membantu penerbit filem tempatan.

Terima kasih kepada kerajaan dan karyawan filem seperti Deddy M.Borhan dan rakan seangkatannya seperti Tan Sri Jins Shamsuddin yang berjuang mendapatkan pulangan duti hiburan daripada pihak kerajaan sekitar tahun 1980-an.


DUTI hiburan dipulangkan kerajaan sebagai galakan kewangan kepada penerbit filem tempatan.


Duti hiburan yang dianggap satu skim membantu para pengeluar filem itu sekadar diaplikasikan beberapa tahun kemudian.

Duti hiburan dikira sebanyak 20 peratus daripada jumlah tiket. Tidak kiralah sama ada harga tiket yang dikenakan sebanyak RM10 mahupun RM11. Contohnya jika tiket itu berjumlah RM10 maka RM2 secara automatik menjadi duti hiburan. Sama halnya dengan tiket berharga RM11.

Kemudian bakinya yang berjumlah RM8 atau RM9 dibahagi-bahagikan sama rata antara pihak pemamer (pemilik pawagam) dan penerbit untuk minggu pertama tayangan sesebuah filem.

Daripada 20 peratus duti hiburan itu, dua peratus akan digunakan untuk kos pentadbiran, dua peratus untuk tabungan dan dua peratus untuk Persatuan Filem Malaysia.

Dipulangkan sejak 1988

Secara amnya, bantuan skim itu dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri agar pengeluar filem serta pemilik pawagam tempatan layak menerima amaun bayaran yang diperoleh melalui jualan tiket di seluruh pawagam di Malaysia.

Hanya filem garapan penggiat seni tanah air yang berkelayakan meraih pulangan semula duti hiburan. Filem tempatan yang dimaksudkan adalah karya yang diterbitkan di Malaysia atau mana-mana tempat lain oleh warganegara Malaysia atau suatu syarikat yang diperbadankan di negara ini yang majoriti sahamnya dipegang oleh warganegara Malaysia.

Menurut sumber yang diperoleh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), skim itu mula berkuat kuasa sejak dua dekad yang lalu selepas mendapat kelulusan pada Mesyuarat Menteri Besar pada tahun 1986. Duti hiburan pertama sebanyak RM400,000 dibayar pada tahun 1988.


JANGAN Pandang Belakang turut ditayangkan di Singapura dan Filipina.


Duti hiburan sebelum ini dipulangkan kepada penerbit filem dalam tempoh tiga hingga empat tahun atau kadangkala lebih daripada itu. Kini semuanya sudah berubah apabila penggiat seni boleh menerima semula wang kepunyaan mereka sesingkat tiga hingga enam bulan atau paling lama mencecah setahun.

Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang kini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan pihak Finas menerbitkan sinar cerah apabila kerajaan bersetuju membayar kepada para penerbit filem sebanyak RM2.4 juta untuk duti hiburan tertunggak sejak tahun 2000.


FILEM Impak Maksima meraih duti hiburan sebanyak RM365,675.


Bahkan skim itu diteruskan sehinggalah ke saat ini apabila para penerbit terus mendapat pulangan duti hiburan masing-masing dengan cepat tanpa berdepan dengan sebarang masalah.

Skim pulangan duti hiburan yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1988 itu hakikatnya telah memberi keseimbangan dan kesaksamaan kepada para penerbit.

Filem berkualiti

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkiflee Ab. Wahab, pembayaran duti hiburan atau dikenali sebagai galakan kewangan itu membantu para produser untuk meneruskan projek terbaru mereka agar bilangan filem di negara ini terus bertambah.

"Jika ada filem yang tidak mendapat kutipan baik di pawagam, sekurang-kurangnya pemberian duti hiburan ini dapat menampung kos pengeluaran manakala filem yang mendapat sambutan hebat pula membantu penerbit untuk menambah modal membikin produk baru.

"Kalau diikutkan memang banyak kesan yang diperoleh daripada para penerbit menerusi pulangan duti hiburan ini. Harapan saya agar skim galakan ini tidak hanya menambahkan kuantiti filem di pasaran, sebaliknya penerbit dapat menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti.

"Kalau sudah ada filem-filem yang bagus maka mudahlah arena perfileman tempatan untuk diterima sekali gus mendapat sambutan pada peringkat antarabangsa," jelasnya.


PENERBIT filem tempatan menerima duti hiburan masing-masing pada April 2009.








Sambung Zulkiflee lagi, ada alasan relevan duti hiburan sebelum ini lewat diagih-agihkan kepada para penerbit tempatan.

"Pembayaran duti hiburan bukan sengaja dilewat-lewatkan kepada para penerbit. Memanglah sebelum ini ada yang memakan waktu tiga hingga empat tahun untuk dipulangkan semula wang produser yang terlibat.

"Bayaran duti hiburan ini dilakukan secara beransur-ansur. Tidak dinafikan ada kerajaan negeri yang lambat membayar duti hiburan dan ada juga yang cepat bayar. Tetapi pihak Finas cukup bersyukur apabila kerajaan pusat sudah memberikan peruntukan terlebih dahulu kepada kami.

"Dengan ini ia memudahkan kami di Finas untuk membayar pulangan duti hiburan kepada penerbit-penerbit dalam waktu yang cepat tanpa sebarang masalah.

"Peruntukan yang diperoleh ini menjadi langkah terbaik dan saya harap usaha ini dapat diteruskan sehingga bila-bila. Kita patut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sanggup membantu penggiat seni untuk mencapai lebih kejayaan pada masa depan," ujarnya.

Bahagian penerbit

Antara produksi yang menerima duti hiburan pada tahun 2006 adalah Tayang Unggul Sdn. Bhd. sebanyak RM569,583 (untuk enam buah filem iaitu Gangster, Cinta Luar Biasa, Berlari Ke Langit, Diari Romeo, Bintang Hati dan Trauma), Grand Brilliance Sdn. Bhd. sebanyak RM443,759 (Senario XX, I Know What Did Last Raya dan Buli).

Tidak ketinggalan Enfiniti Productions Sdn. Bhd. sebanyak RM378,412 (filem Puteri Gunung Ledang) dan Skop Productions Sdn. Bhd. sebanyak RM320,005 (filem Sembilu 2005, Gila-Gila Pengantin Remaja, Janji Diana dan GK3 The Movie).

Dua penerima lain ialah produksi Boommax Sdn. Bhd. sebanyak RM79,426 (filem Aku No.1 dan Aku Kaya The Movie).

Sementara itu, filem lain yang pernah menerima pulangan duti hiburan untuk Mei hingga Oktober 2008 termasuk Orang Minyak berjumlah RM28,845, Chermin (RM41,467) dan Diva (RM49,430).

Tidak terkecuali filem Qabil Khushry Qabil Igam (RM85,678), 9 September dan Congkak (RM215,989), Evolusi KL Drift (RM229,211), Duyung (RM330,626) dan Anak Halal dan Kala Malam Bulan Mengambang (RM338,791) turut menerima duti pulangan hiburan.

Filem keluaran KRU Communications Sdn. Bhd., Cicakman yang dibintangi oleh Yusry, Aznil Nawawi, Fasha Sandha dan Saiful Apek menerima pulangan duti hiburan tinggi iaitu sebanyak RM726,792.17 yang diberi pada April 2008.

Paling sedikit pulangan duti diterima oleh syarikat produksi Cosmos Discovery Sdn. Bhd. iaitu sebanyak RM19,562 untuk dua buah filem yang berjudul Makar dan Di Ambang Misteri pada Ogos 2006.

Varia!»

Berhutang dalam Islam

ISLAM tidak melarang umatnya berhutang tetapi perlu melalui kontrak yang berlandaskan syarak.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15