RENCANA UTAMA

Dua cubaan mencapai lantai sajak

Dua cubaan mencapai lantai sajak


MIMI MORTICIA pada majlis pelancaran buku puisinya.


BEBERAPA waktu kebelakangan ini, sajak dan puisi atau apa saja yang digelarkan, nampaknya mula menjadi tumpuan. Ia mungkin format yang ringkas dalam daerah penulisan yang sebenarnya tidak ramai betul-betul dapat memahaminya. Agaknya, ia sememangnya begitu, untuk terus diragui tetapi masih mampu melegakan syahwat kepada sang penulis.

Di ruang maya kini, banyak sekali blog dan laman web yang mempamerkan tulisan sebegini. Ada yang boleh dinikmati, tidak kurang pula yang mengarut sesuka hati.

Itulah keindahannya. Beberapa baris ayat yang kadang-kadang menjadi semacam mentera pengubat kepada seseorang, mungkin sekadar makanan basi buat seorang yang lain.


Salun Eksotikata (Kumpulan Penulis) Sindeket Sol-Jah 2009


Perkembangan itu juga tidak mengandung hanya yang negatif. Walaupun kualiti kerja penulisan dan penghasilan sesebuah sajak dari kelompok itu yang terdiri daripada penulis muda memang boleh dipersoalkan, tetapi saluran tersebut memberi satu sisi lain kepada mereka yang cuba menghampiri sajak dan puisi.

Mungkin tanpa rasa tahu yang tinggi, hasil yang tidak seberapa itu kemudiannya menawarkan satu lagi gaya penghasilan sajak yang berlainan daripada yang sedia ada atau konvensional. Jika diperhatikan, ia memang selalu gagal dalam menambat naluri generasi muda.

Bayangkan, bertahun-tahun kita menikmati sajak dengan gaya yang sama sahaja sejak dahulu sehinggalah sekarang. Kita faham, jika yang melahirkan sajak itu datang daripada kelompok penulis lama dengan gaya bahasa yang sudah sebati dengan waktu itu, kita akan mampu untuk turut sama menikmatinya.

Tetapi, masalah mungkin terselit dalam kalangan penulis-penulis muda yang kini ghairah menulis sajak. Bunyi dan gayanya sama sahaja dengan gaya penulis awal, seperti yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar hujung minggu?


GADIS ini dilihat cuba menyuntik elemen baru dalam penulisan puisi. - Gambar hiasan


Kegagalan untuk menemukan elemen ungkapan, lirikal dan sebagainya yang baru dalam sesebuah sajak dan dipaksa oleh ruang serta lingkung waktu yang berbeza. Jika tidak disedari, ia akan membuatkan kita tepu dan buntu.

Pada masa yang sama, kita berasa selesa dengan semua itu. Mereka hanya mahu menjadi seperti penulis lama yang pada waktu dahulu sudah berjaya membawa sajak dan puisi ke tahap tertentu. Justeru, tugas anak muda kini adalah untuk menolak garis sempadan sedia ada agar menjadi lebih luas.

Kita bukanlah yang pertama berdepan dengan dilema itu. Mana-mana khalayak literatur dunia yang besar (dari jumlah karya dan penikmat), mereka sudah menghadapi peralihan itu terlebih dahulu. Malah, banyak juga yang sudah menempuh kejayaan.

Namun, kelompok mereka yang menerbitkan kerja sajak di alam maya juga ada masalahnya. Entah disedari atau tidak, ruang yang terbuka bebas itu terlampau diambil mudah dan apa yang ditulis tidak ke mana.

Dua buah judul baru diterbitkan secara bebas (indie) yang diketengahkan dalam ruangan Buku minggu ini lahir dari ruang maya berkenaan.

Tangerin & Nikotin adalah koleksi daripada garapan Mimi Morticia. Ia menghimpunkan segumpal perasaan seorang perempuan yang pada kebanyakan muka suratnya berkisah tentang dirinya sendiri dan hal-hal simplistik perasaan resah tentang cinta.

Tidak ketinggalan dan seperti lazimnya selera muda, pesona seksual sentiasa menjadi serapah yang mujarab untuk memikat. Kalau pun tidak banyak, sedikit itu pasti ada.

Judul kedua, Salun Eksotikata pula merupakan himpunan beberapa sajak daripada beberapa orang penyumbang. Hal paling awal yang akan menangkap perhatian pembaca ialah kata pengantar oleh Marsli N.O. di muka depan. Beliau berkias, bertempik dan mungkin meradang dengan kumpulan puisi ini.


Tangerin & Nikotin Mimi Morticia
Sang Freud Press 2009


Ada enak dan tawar yang tersendiri pada kedua-dua buku itu. Pertama, ia semacam menjadi kontradiksi kepada sajak itu sendiri. Banyak yang tercatat di dalamnya, entahkan sajak, entahkan bukan. Banyak yang terlalu ringkas.

Bila dibaca, kita tahu yang baris kata itu ditulis seperti tidak sengaja. Ada juga sekadar mahu menyedapkan muzik diksinya, tetapi disampaikan dalam rangkap yang membosankan.

Ketika kita membaca dan berasa ada kekurangannya, satu daripada punca itu mungkin ia ditulis lekas-lekas kerana takut bayangan idea itu nanti lesap dari dalam kepala. Sajak begini, yang ekspres pembikinannya ternyata tidak melibatkan renungan dan tidak menemukan perasaan yang dalam. Hasilnya, hilang nyawa yang sepatutnya hadir sekali.

Gaya bahasa turut menjadi perkara mandatori untuk diselami kembali. Ia seperti ingin menampakkan sifat 'cool', tetapi sebenarnya terkeliru dan akhirnya menjadi pening lalat. Jika menulis hal-hal yang kecil begini, dikhuatiri nanti kita juga ikut menjadi kerdil.

Apa pun pencapaian akhirnya, dua judul itu dirasakan perlu ada untuk mengejutkan norma-norma lama yang selama ini mendominasi daerah sajak dan puisi. Mahu atau tidak, ia perlu dilihat sebagai cubaan generasi baru untuk menterjemah khayal mereka dalam bentuk baru. Namun, ia tidak bermakna kelompok itu sudah berada pada tahap yang boleh diangkat. Perjalanan masih jauh.


Process time in ms: 46