HIBURAN

Mencari gadis Melayu urban

Mencari gadis Melayu urban


DARI kiri: Rahimah, Nadiah, Hafiza, Jasmin, Robeaha, Syafiqa, Putri Noor dan Shazfinaz.


BELUM tersasar dari landasan asal, bagaimanapun metod pencarian Gadis Melayu musim kedua sedang menukar gear.

Jika musim pertama dianggap sebagai perintis salam perkenalan, musim kedua pula sudah seperti jentera pengemudi - menggerakkan program itu ke tahap yang lebih hebat.

Dalam pada mencari kelainan, suntikan perubahan terutamanya dalam pemilihan senarai 12 peserta menyebabkan pencarian gadis yang asalnya beridentiti gadis Melayu sejati, mula meraih kontroversi.

Gadis Melayu 2 musim terbaru awal-awal lagi dibidas dan dikritik hebat lantaran menonjolkan peserta yang terlalu urban dan seksi.

Paling menggerunkan, ada di kalangan peserta diselar tidak layak tersenarai dalam kelompok calon Gadis Melayu 2 dek kerana dicalit dengan kontroversi sebagai gadis Melayu yang terlalu bebas bersosial.

"Itu semua pengaruh zaman nakal masing-masing yang terdedah dengan aktiviti sosial ketika masih hijau menelaah hidup.

"Biarlah apa orang mahu kata, saya tetap anggap diri bertuah kerana masih kekal dalam rancangan ini.

"Saya akui, semua gambar yang tersebar di Internet itu adalah gambar saya. Itu gambar yang terkandung dalam album saya menerusi laman sosial Facebook. Itu semua gambar lama, gambar semasa saya baru habis sekolah, kira-kira tiga tahun lepas," jelas Sharifah Jasmine Soraya, 21, yang galak dikritik ramai gara-gara gambar kurang manisnya menjadi pengisi kontroversi forum gosip di Internet.

Sedar bukan salah sesiapa, Jasmine bagaimanapun mengakui, Gadis Melayu yang disertainya sejak awal Ogos lalu membenihkan banyak pengajaran.


HAFIZA seorang pengurus acara bebas.


Lebih utama aktiviti bermanfaat serta pendekatan agama yang diterapkan membuatkan dirinya sedar banyak kesilapan lalu.

"Saya belajar jadi seorang yang lebih baik dan tidak mahu kenakalan masa lalu memberi impak kepada masa depan saya. Gadis Melayu menjadi sandaran saya untuk menceburi bidang pengacaraan yang saya minati sejak bangku sekolah," ujarnya ketika berkunjung ke Studio Utusan bersama tujuh lagi peserta yang masih meneruskan persaingan dalam Gadis Melayu.

Penerbit program Gadis Melayu 2, Shukri Ibrahim terpaksa akur bahawa program yang dikemudinya sedang menunggu masa untuk dibidas.

Katanya, modul pengajian serta pendekatan program bukan semata-mata untuk mencari di mana mahalnya nilai Gadis Melayu itu, tetapi cenderung melahirkan gadis Melayu moden, berfikiran terbuka, bijak serta berani menyahut segala cabaran.

"Sebab itulah kita gunakan banyak pendekatan. Kami mahu lahirkan gadis Melayu berpersonaliti, ada pakej serta sebagai persediaan untuk masuk ke dunia penyiaran.

"Kami mahu juara nanti seorang gadis Melayu yang kontemporari tetapi masih kental nilai kemelayuan serta ketimuran yang diwarisi zaman-berzaman," ujarnya yang terbuka dengan kontroversi dicetuskan segelintir peserta.

Mungkin itu juga petanda bahawa program terbitannya sedang mendapat perhatian.

Jadi sesuai benar, pendekatan penjurian kali ini yang memperkenalkan undian SMS penentu 50 peratus markah peserta.

Tambah Shukri, antara perbezaan yang ditonjolkan pada musim ini, konsep imuniti diperkenalkan iaitu peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang berjaya memenangi cabaran pada episod setiap minggu akan dikecualikan daripada disingkirkan pada akhir rancangan.

Musim baru Gadis Melayu 2 mula bersiaran sejak 6 Ogos lalu pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam di TV9 dikendalikan oleh Sharifah Shawati Syed Mohd. dan Juliana Evans.


JASMIN antara peserta Gadis Melayu paling panas.


Selain khidmat pesanan ringkas (SMS), mereka dinilai secara profesional oleh dua juri tetap, bekas personaliti terkenal, Nur Farahin Jamsari dan penulis, Izza Syafina daripada majalah Cosmopolitan.

Peserta yang masih meneruskan perjuangan termasuklah Shazfinaz Hashim, Hafiza Bustanul Ariffin, Sharifah Jasmine Soraya Syed A. Jalil Jamalullail, Nadiah Adrianna Mohd Akbal, Putri Noor Nawal Ramlan, Rahimah Ibrohim, Robeaha Ramza dan Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin.

Mereka dikuarantin daripada masyarakat umum sejak awal Ogos lalu dan setiap masa haruslah mengikut peraturan disiplin yang ditetapkan.

Cuma sempena sambutan cuti Hari Raya Aidilfitri, semua peserta dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing selama seminggu.

Selepas bercuti seminggu mereka kembali ke set Gadis Melayu untuk meneruskan cabaran pemanduan kereta lasak di Sepang. Cabaran itu akan menguji ketangkasan serta ketahanan fizikal dan minda setiap peserta.

Itu antara pendekatan Gadis Melayu musim baru ini, selain ujian memasak, kewartawanan TV dan mendekati budaya Melayu yang diketengahkan.

Process time in ms: 46