HIBURAN
Ragam Aidilfitri Penyampai Ikon

MENGANJURKAN rumah terbuka setiap kali tiba Hari Raya Aidillfitri sudah menjadi perkara biasa bagi umat Islam di negara ini.
Kedatangan lebaran tidak lengkap sekiranya tradisi kunjung mengunjung untuk bermaaf-maafan tidak diadakan.
Begitu juga dengan Kolej Penyampai Ikon, sebuah program realiti televisyen terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) yang ke udara setiap Sabtu, jam 9 malam di TV2 mulai pertengahan Ogos lalu.
Pengetuanya, Yusanani Yushak telah menganjurkan rumah terbuka khusus untuk 17 orang pelajar Kolej Penyampai Ikon dan krew penerbitan program itu di Angkasapuri baru-baru ini.
Mereka datang ke rumah terbuka pengetua mereka penuh bergaya, mengenakan pakaian serba baru rekaan para pereka fesyen yang agak terkenal. Diri masing-masing disolek rapi. Keceriaan terbayang pada wajah mereka.
Maklumlah majlis itu bukan rumah terbuka biasa, tetapi merupakan salah satu acara rakaman bagi dimuatkan dalam program Penyampai Ikon pada Sabtu, 26 September 2009.
Di atas meja pula hidangan pelbagai kuih tradisional dan moden, tersaji. Makanan wajib lebaran seperti ketupat, lemang, rendang, kuah kacang turut menunggu mereka.
Apa lagi, mereka menjamu selera seolah-olah itulah Hari Raya Aidilfitri pertama bagi mereka.
Memang itulah lebaran sulung mereka sebagai sebahagian warga RTM.
Bila sudah berkumpul beramai-ramai, majlis rumah terbuka itu pun menjadi gamat dengan gelagat 17 orang peserta Kolej Penyampai Ikon yang sedang menjalani latihan intensif untuk menjadikan mereka sebagai wartawan siaran, pengacara program dan penyampai berita di RTM.
Mereka melupakan sejenak latihan menyampai berita di studio dan kepenatan melaksanakan tugas-tugas kewartawanan yang lain termasuk menyediakan laporan di lapangan yang menjadi rutin harian mereka sejak menyertai Kolej Penyampai Ikon pada Ogos 2009.
Pada majlis rumah terbuka itu, ada yang mengambil kesempatan untuk memeriahkan suasana hari raya dengan mendendangkan lagu-lagu lebaran.
Sekalipun tiada muzik iringan, tetapi Norsila Talaha, peserta dari Sarawak dan beberapa yang lain telah menghiburkan mereka yang hadir dengan lagu-lagu Aidilfitri yang kekal segar sepanjang zaman.
Yusanani, Konsultan Persembahan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, selaku pengetua, yang serius dan tegas sewaktu kelas-kelas penyampaian diadakan kelihatan santai pada malam itu. Beliau mengenakan baju kurung berwarna putih berbunga merah.
Beliau seolah-olah melupakan tugas berat yang diletakkan oleh pihak kementerian di atas bahunya untuk melahirkan sekumpulan penyampai berita yang berwibawa bagi program berita stesen kerajaan itu.

Para pelajar Penyampai Ikon yang menganggap Yusanani sebagai 'ibu' sepanjang berada di Kolej Penyampai Ikon dilayan dengan mesra.
Jika di studio atau di kelas, beliau bersikap tegas, tetapi pada majlis rumah terbuka itu, Yusanani menampilkan sifat-sifat keibuannya.
Ada kalanya beliau kelihatan bergurau dengan anak-anak buahnya itu, di samping menceritakan pengalaman lebih 15 tahun menjadi wartawan siaran dan penyampai berita terkenal sebuah stesen televisyen swasta pada suatu waktu dulu.
Calon-calon penyampai ikon lain pula bercerita tentang pengalaman hari raya mereka tahun lalu.
Sesekali ketawa besar kedengaran. Para pelajar penyampai ikon yang ditemui ada yang terkejut melihat penampilan pengetua mereka itu tetapi mereka tahu perwatakan tersebut akan bertukar selepas kelas diadakan apabila mereka kembali ke kelas selepas cuti hari raya nanti.
Sesetengah mereka menganggap Yusanani sebagai garang dan seorang guru yang cukup berdisiplin.
Malah Yusanani pernah naik angin apabila mendapat tahu ada antara pelajar Kolej Penyampai Ikon ponteng kelas atau keluar asrama pada waktu mereka patut mengulang kaji pelajaran di asrama.
Tetapi rumah terbuka itu adalah malam untuk meraikan kemenangan mereka mengharungi cabaran berpuasa sebulan pada bulan Ramadan.
Para peserta Penyampai Ikon bersama pengetua mereka serta krew penerbitan yang lain ingin menikmati kemenangan itu sepuas-puasnya sebelum mereka kembali ke dunia sebenar untuk menjalani latihan studio dan tugasan di lapangan.




Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak