RENCANA UTAMA

Rumah ketenangan Jepun

Rumah ketenangan Jepun


DI kelilingi ratusan spesies tumbuhan, perkampungan ini mampu membangkitkan rasa damai.


DIIKTIRAF sebagai satu-satunya penginapan kelas pertama berkonsepkan rumah tradisional Jepun di luar Negara Matahari Terbit, suit Ume Tatami di Bukit Tinggi, Pahang, merupakan syurga bagi pencinta hutan hujan tropika tanah tinggi yang inginkan percutian eksklusif dan mewah.

Dikelilingi persekitaran menghijau yang membangkitkan rasa damai, ketenangan pula bagaikan meresapi jiwa sejurus kaki memijak batu memasuki rumah agam dua tingkat ini.

Direka oleh arkitek terkenal Jepun, Kaio Ariizumi pada tahun 1997 serentak dengan Taman Jepun dan Rumah Teh, suit ini dilengkapi dengan perincian unsur tradisional Zen. Malah untuk menghidupkan suasana seperti di tanah air sendiri, bahan binaan, kemasan dan barangan hiasan semuanya diimport khas dari Jepun.

Melangkah masuk ke rumah ini, mata tertancap pada ruang tamu yang dikenali sebagai anak rumah. Ia hanya dihiasi oleh sebuah meja bersila untuk empat orang di tengah-tengah ruang tamu sekali gus menjadi titik tumpu pada ruangan ini.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Colmar Tropicale, Berjaya Hills Hotel dan Resort, Chin Pei Ling, biarpun penggunaan perabot agak minimum, ia tidak menjejaskan elemen mewah suit ini.

“Dek kerana tidak sarat dengan perabot dan hiasan, kesemua ruang boleh diubah daripada ruang tamu kepada ruang makan serta bilik tidur yang boleh menempatkan 10 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Pelita batu

Di bahagian tengah yang memisahkan ruang tamu dan kamar mandi, satu ruangan menunggu diwujudkan. Dengan cerek lama digantung menggunakan buluh, penghuni boleh menikmati sendiri teh yang dihasilkan di sini.

Di bahagian luarnya pula, sejalur batu laluan pejalan kaki dibina hingga ke hujung.

“Dengan hiasan buluh yang menjadi identiti landskap dan rumah Jepun dan pelita batu di sebelah kanan, ia mengiringi anda ke balkoni jika ada yang ingin menikmati pemandangan segar flora dan mendengar cicipan unggas.

“Dengan penataan seni yang mengetengahkan konsep zen, pintu gelangsar kertas, tidur di atas hamparan futton dan lantai berlaminasi dilitupi hamparan tikar tatami sudah cukup untuk membawa anda ke negara itu,” ujarnya.

Dibina dengan keluasan 196 meter persegi dengan kos keseluruhan RM4 juta, idea Kaio Ariizumi untuk ‘membawa’ rumah Jepun ke Malaysia tidak terhenti di situ.


KAWANAN ikan koi di dalam kolam mampu membuatkan pengunjung tenang.


“Suit ini memiliki empat buah bilik, tiga daripadanya masih mengekalkan konsep tradisional Jepun manakala bilik tidur utama dihias dengan konsep moden.

“Walaupun hiasan dan kemasannya melanggari prinsip Zen, namun ia memberi peluang kepada pasangan yang ingin menikmati elemen moden ala Jepun,” kata Pei Ling.

Berada di tingkat atas rumah ibu, bilik tidur utama ini dilengkapi dengan katil kelamin dan kerusi rehat di sudut bilik.

Dengan binaan tingkap kaca lebar dengan kemasan bidai tarik, penghuni boleh menjamu mata melihat pemandangan menakjubkan seusai bangkit daripada tidur.

Dengan garapan elemen kejur yang menggunakan bahan tipikal tropika seperti unsur air, tempayan, pasu, batu sungai dan kayu, ia memberi peluang kepada penghuninya melayangkan segala masalah di luar pintu gerbang chumon.

Menyusuri denai berbatu ke Taman Jepun yang terletak di muka suit ini, perasaan bagaikan tidak sabar untuk meneroka seluruh isi taman berusia 12 tahun ini.


BUKAAN tingkap yang luas membolehkan penghuni melihat kehijauan alam tanpa perlu ke balkoni.


Kimono dan Rumah Teh

Dengan keluasan 0.5 hektar, taman yang dilatari dengan falsafah Shinto ini memiliki daya tarikan tersendiri.

“Dengan kepelbagaian pohon renek dan tumbuhan melata ala Jepun, taman ini turut dilengkapkan dengan binaan air terjun yang dihubungkan dengan pelantar pemijak bagi merentangi sungai yang menghimpunkan puluhan ikan koi di bawahnya.

“Keputusan untuk menggunakan unsur air sebagai pusat tumpuan landskap ini sememangnya berjaya menghidupkan suasana ‘meriah’ taman,” jelas Pei Ling.

Bunyi air dari sungai yang menghempas susunan bongkah batu menghasilkan satu irama mengasyikkan.

Biarpun persekitarannya di kelilingi hutan hujan tropika, rumput di taman ini sentiasa dijaga rapi. Malah spesies eksotik seperti sepit udang, birah, ara dan jenjuang turut menyumbang kepada kesegaran dan kehijauan taman.

“Sekiranya pengunjung berminat untuk mencuba pakaian kimono dan menyertai upacara tradisi iaitu minum teh Jepun, mereka dialu-alukan untuk singgah sebentar ke Rumah Teh yang terletak di bahagian atas taman.

“Dengan kadar yang berpatutan, pengunjung akan diajar tentang adat minum teh yang dahulunya hanya dilakukan oleh pahlawan samurai dan pembesar tempatan,” kata Pei Ling lagi.

Infiniti!»

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.

Varia!»

KLwyse imbau nostalgia silam

Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31