VARIA
Sajian lidah lembu bakar di KDE
Masih tercari-cari tempat makan yang sesuai untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan? Apa kata anda singgah di Kelab Darul Ehsan.

![]() |
|
AYAM MASAK MERAH |
BERTEMAKAN 'Citarasa Tradisi Ramadan,' pengunjung boleh menikmati pelbagai sajian tradisi menyelerakan termasuk hidangan yang sering mendapat permintaan tinggi iaitu lidah lembu bakar yang dicicah dengan air asam.
Bertempat di Restoran Duyong, Kelab Darul Ehsan (KDE), kombinasi sajian tradisional masyarakat Timur dan Barat dihidangkan khusus untuk juadah berbuka puasa. Dengan latar belakang kolam renang, suasananya cukup indah untuk menikmati jamuan sambil bersantai.
Mampu memuatkan sehingga 1,000 tetamu dalam satu masa, restoran itu menyediakan menu utama seperti nasi minyak, nasi beriani, nasi hujan panas, nasi bukhari, nasi Arab dan nasi tomato.
Kesemua jenis nasi tersebut boleh dinikmati bersama ayam masak merah dan daging panggang.
Selain itu, anda juga boleh mengisi perut dengan menjamah lauk-pauk seperti ayam masak lemak rebung, kambing masak kuzi, sambal ayam, udang mentega, sotong cili dan kari ikan tenggiri.
"Kesemua jenis nasi itu akan digilirkan mengikut hari supaya setiap hari, sajian yang kami hidangkan berbeza. Seperti tahun-tahun lalu, menu lidah bakar sentiasa mendapat sambutan pengunjung.
"Lidah yang diperap selama dua hari bersama rempah ratus tempatan menjanjikan rasa yang asli.
"Anda perlu cuba keenakan rasa rempah yang cukup menyelerakan ini dan mencicahnya dengan air asam," jelas Chef Eksekutif, Mustafa Kamal Ahmad kepada Kosmo!.
Menariknya lagi, pada tahun ini, terdapat gerai yang menghidangkan sajian khas untuk kanak-kanak seperti burger, kentang goreng dan sosej gulung. Tidak lengkap rasanya jika hidangan pencuci mulut tidak disediakan.
Sambil berborak dan menikmati hidangan seterusnya, tidak rugi jika anda menjamah kuih-muih Melayu, bubur kacang, aiskrim potong, ais batu campur dan jeli.
Selain itu, jangan lupa untuk meninjau gerai-gerai makanan yang turut menyajikan aneka masakan seperti laksa Johor, nasi ayam Hainan dan ikan bakar. Bagi anda yang ingin bertukar selera, anda boleh menikmati enam set pilihan mi.
"Sekiranya anda tidak mahu makan nasi, kami turut menyediakan mi kari nyonya, bakso, mi udang, mi soto, mi jawa, atau mi rebus. Kesemuanya dihidangkan panas-panas," katanya.
Singgah pula di gerai yang menyediakan keladi goreng, char kuetiau dan mi mamak. Bukan itu sahaja, gerai yang menawarkan hidangan roti jala, roti pita, roti canai, roti john, roti boom, murtabak ayam dan popiah turut disediakan.
Bufet berbuka puasa itu boleh dinikmati dari 22 Ogos sehingga 18 September ini, mulai pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Untuk juadah berbuka di KDE, setiap pengunjung dewasa dikenakan harga RM48 bersih manakala RM28 bersih untuk kanak-kanak bawah umur 12 tahun.
Bagi anda yang ingin datang lebih daripada 40 tetamu, KDE menyediakan tempat khas untuk majlis tertentu di bilik persendirian dengan hidangan istimewa.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.





Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


