INFINITI

Selesa bersama teksi biru

Selesa bersama teksi biru




MUNGKIN sebelum ini kita jarang atau langsung tidak pernah mendengar ruangan blog yang menyediakan segala maklumat mengenai kemudahan perkhidmatan teksi ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Mungkin juga ada antara kita yang takut untuk memilih menggunakan perkhidmatan teksi kerana sering berfikiran negatif terhadap perkhidmatan itu.

Menyedari hakikat itu, KL Executive Taxi Services (KLETS) mengambil inisiatif menubuhkan laman web yang bukan sahaja menyediakan informasi tentang teksi eksekutif bahkan menjadi medium penghubung pemandu teksi berkenaan dengan masyarakat.

Malah, disebabkan Kuala Lumpur sering menerima kunjungan para pelancong terutamanya pelancong asing dari seluruh pelosok dunia, lalu blog yang diberikan nama http://klexecutivetaxi.blogspot.com/ pastinya mempunyai signifikannya.

Perunding KL Executive Taxi Services (KLETS), Mohamad Rejab memberitahu, blog yang baru sahaja berusia tiga bulan itu sememangnya banyak membantu para pemandu teksi kelas eksekutif untuk mendapat pelanggan.


LAMAN blog ini memaparkan segala kemudahan yang disediakan oleh KL Executive Taxi Services.


"Ini merupakan inisiatif saya sendiri untuk memiliki blog bagi membantu saya dan rakan-rakan lain mendapatkan pelanggan.

"Lagipun dengan adanya blog boleh dikatakan kami kerap menerima panggilan untuk tempahan," katanya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.

Keselesaan

Menceritakan kelebihan utama perkhidmatan teksi eksekutif itu berbanding teksi biasa Mohamad menjelaskan, keselesaan merupakan faktor utama orang ramai dan pelancong untuk memilih perkhidmatan teksi berwarna biru itu.

Keselesaannya dinilai dari segi keluasan tempat duduk, jarak kaki di antara penumpang, tempat penyimpanan barang dan pendingin hawa yang baik. Berkuasa 2000cc, ia membuatkan perjalanan bergerak lancar.

Lebih menarik lagi, faktor keselamatan turut dititikberatkan dan setiap penumpang diberikan insurans nyawa.

"Kebiasannya hanya pemandu sahaja mempunyai insurans tetapi sekiranya anda memilih perkhidmatan ini, keselamatan penumpang turut terjamin. Setiap penumpang diberikan insurans nyawa.


MOHAMAD REJAB


"Ini kerana kadangkala penumpang bukan sahaja memilih teksi kami di sekitar ibu negara sahaja malah turut digunakan bagi menuju ke destinasi luar yang lain," terangnya.

Sebelum tertubuhnya blog itu, pelbagai halangan dan cabaran terpaksa diharungi. Namun, demi maruah dan punca rezeki, mereka sanggup menghadapinya dengan sabar sehingga berjaya.

Pada awalnya, Mohamad bersama lima rakannya yang lain telah bertungkus-lumus menyiapkan kertas kerja dan menyediakan pelbagai dokumen penting bagi memastikan permohonan itu mendapat kelulusan.

Antaranya daripada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia mengenai perancangan penubuhannya.

Kelulusan

Berkat kesabaran beliau, akhirnya segala penat lelah dan usaha telah mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan.

Di samping itu, teksi eksekutif menyediakan kenderaan yang mampu memuatkan seramai empat sehingga tujuh orang penumpang.

Dipilih berdasarkan permintaan dan jumlah penumpang, jenama kereta yang digunakan sebagai teksi eksekutif ialah Naza Ria 2.5, Naza Citra 2.0, Nissan Serena 2.0, Toyota Innova 2.0 dan Hyundai Starex 2.5.

Jelas Mohamad, laman blog yang disediakan itu sentiasa dikemas kini terutama dari segi kadar bayaran dan lokasi perjalanan memandangkan blog terbabit sering dikunjungi oleh pelancong asing yang mahukan maklumat tepat.


MOHAMAD sering menerima tempahan daripada pelancong asing.


Menyentuh tambang yang dikenakan, rata-rata pengguna tidak pernah mempersoalkannya. Ini kerana kebanyakan mereka merasakan tambang tersebut begitu berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kadar tambang

Sebelum menerima sebarang tempahan, Mohamad terlebih dahulu akan menerangkan kadar teksi tersebut supaya tidak berlaku sebarang perselisihan faham.

Ini kerana teksi eksekutif memulakan caj tambang sebanyak RM6 diikuti pula 20 sen bagi setiap 100 kilometer (km).

"Tambang yang dikenakan itu termasuklah caj bagi tol, minyak, tempat letak kereta, insurans pemandu dan penumpang," ulasnya.

Bagaimanapun, anda tidak akan mendapat perkhidmatan tersebut sekiranya hanya menunggu di tepi jalan seperti teksi biasa yang dapat dilihat di atas jalan raya.

Teksi eksekutif hanya boleh didapati di sekitar Hotel Pacific Regency, Jalan P.Ramlee dan Hotel Suites iaitu berhadapan Menara Kuala Lumpur.

"Kita bakal mempunyai sebuah lagi perhentian teksi pada bulan hadapan iaitu berdekatan Seri Pacific Hotel. Bagi memudahkan lagi perjalanan, penumpang boleh menghubungi talian 012- 2517 515 yang beroperasi 24 jam.

"Namun, harus diingatkan tempahan perlu dilakukan sejam sebelum waktu perjalanan dan mereka boleh memilih jenis kenderaan yang diperlukan," katanya.

Process time in ms: 31