HIBURAN
Aku bukan lagi pemimpin KD - Anang

MENUTUP muka surat terakhir buku My Life My Secret beberapa minggu lalu, saya mengakui sememangnya bukan sedikit pendedahan sensasi yang telah diluahkan diva popular Indonesia, Krisdayanti dalam buku catatan hatinya. Bukanlah menghairankan apabila ia menjadi antara naskhah terhangat di negara itu dua bulan lalu.
Pengakuan berani Krisdayanti mengenai pelbagai pembedahan plastik yang dijalaninya termasuk menegangkan payu dara selain persengketaannya dengan Edwin Gutawa, ternyata meraih perhatian khalayak pembaca.
Mengambil masa lebih seminggu untuk menghabiskan bacaan buku itu, bagaimanapun bagi saya, Mendayung Dua Hati yang menjadi salah satu bab buku My Life My Secret juga tidak kurang hebatnya.

Ia mencerita perjalanan kisah sebenar cinta dua jiwa Krisdayanti dan Anang Hermansyah sebelum bersatu menjadi suami isteri.
"Jauh daripada perkiraan banyak orang, sejarah percintaanku dengan Anang tidak dimulai ketika riak karierku sudah meletup-letup. Anang tidak pernah melayangkan cinta pada kebesaran karierku. Saat bertemu, kami sama-sama orang yang masih berlumuran keringat dan hidup susah."
Demikian nukil Krisdayanti, 34, yang disapa manja Mimi oleh Anang mengenang keajaiban cinta mereka yang dibina sejak zaman remaja, ketika kedua-duanya hidup miskin dan sewaktu mereka belum mengenali apa itu dunia glamor.

Menjadi permaisuri hati Anang pada tanggal 22 Ogos 1996, Krisdayanti mengakui dalam buku itu bahawa bukan sedikit ujian yang diterima mereka kerana bukan sahaja melayar bahtera rumah tangga pada usia yang muda tetapi juga saat Krisdayanti sedang mula menikmati puncak populariti.
Kesabaran Anang dan kasih sayang Krisdayanti berjaya menciptakan kebahagiaan rumah tangga mereka sehingga sering dirujuk sebagai pasangan paling sempurna media Indonesia. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Titania Aurelie, 11 dan Azriel Akbar, 9.
Namun, tiga hari sebelum genap 13 tahun usia perkahwinan mereka dan tiga hari juga sebelum umat Islam menyambut Ramadan, rumah tangga Krisdayanti dan Anang sudah bertemu noktahnya.

Kelmarin, tanpa mahu berselindung dan tidak rela lagi menipu peminat tentang kebahagiaan rumah tangga mereka, Anang, 40, mengumumkan berita yang telah mengejutkan industri hiburan serantau.
"Aku memang sudah rasmi bercerai secara agama. Tepatnya, kira-kira setelah konsert Glow, Melly Goeslaw atau 19 Ogos lalu."
Demikian ungkap Anang kepada pemberita Indonesia di pejabat KD Production, Plaza Margaguna, Radio Dalam, Jakarta Selatan kelmarin. Premis itu juga kini menjadi rumah penginapan Anang bersama Aurelie dan Azriel selepas penyanyi dan komposer terkenal Indonesia itu mengakui mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga minggu lalu.

Namun, antara kenyataan Anang yang paling menyayat hati kelmarin apabila dia dalam nada sedih memberitahu media :
"Aku bukan pemimpin dia lagi, kerana dia sudah memiliki pemimpin lain. Sekarang aku sudah tidak lagi peduli dengan hal dia. Dia mahu tunggang terbalik, dia mahu meloncat-loncat, silakan saja kerana aku sudah tidak peduli lagi dengan dia," kata Anang sambil mengakui perceraian mereka sudah dipanjangkan ke pejabat agama.
Bagaimanapun menghormati bulan Ramadan, Anang memberitahu proses perceraian akan dilanjutkannya selepas bulan puasa.
Ditebak dengan pelbagai persoalan punca perceraian itu, 13 tahun bergelar nakhoda keluarga bersama Krisdayanti atau KD, Anang pada mulanya enggan melanjutkan luahan.
Melalui butir bicaranya, media sudah boleh meneka kehadiran orang ketiga mungkin menjadi penyebab keretakan rumah tangga mereka.
Namun, Anang berkali-kali enggan menyebutkan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin baru KD. Bagaimanapun, dia mengakui dia mendapat tahu mengenai kehadiran orang ketiga dalam rumah tangganya bukan daripada orang lain tetapi anaknya sendiri.
"Anak-anak yang bercerita kepada aku. Aurelie mengadu tentang kelakuan Krisdayanti yang sudah tidak seperti dulu," ujar Anang perlahan.
"Aku sudah ingatkan berkali-kali, tetapi tetap saja dia bermain api. Kata cerai itu datang daripada dia (Krisdayanti)."
Tidak mahu menceritakan apakah yang diluahkan oleh puteri sulungnya, ujar Anang, Aurelie ada memberitahu satu peristiwa yang berlaku di Bali atau lebih tepat lagi di Hotel Sultan.
Dalam temu bual yang turut ditayangkan rancangan Kasak Kusuk SCTV kelmarin, Aurelie turut bersuara mengenai perpisahan orang tua.
"Mimi (Krisdayanti) sudah bohong sama Pipi (Anang)," ungkap Aurelie.
Biarpun Anang dan anak-anaknya tidak mendedahkan siapakah lelaki yang menjadi penyebabkan runtuhnya istana cinta mereka, namun media melaporkan pelantun suara lagu Menghitung Hari itu sedang bermain cinta dengan seorang ahli perniagaan kaya berasal dari Timor Leste.
Adik kepada penyanyi Yuni Shara itu juga dikatakan kerap memanggil lelaki itu dengan sebutan Amor atau maknanya cinta.

Sebelum kehadiran ahli perniagaan itu, KD juga pernah digosip memiliki hubungan dengan beberapa jejaka. Bagaimanapun, hubungan itu tidak merobohkan rumah tangganya kerana sering diungkap KD sebagai sensasi media.
Antara jejaka yang pernah dikaitkan dengan KD termasuklah gitaris Tohpati, Ari Sigit pada pertengahan tahun 2003 selain dengan bintang popular, Dicky Wahyudi sekitar tahun 2007.
Menguatkan lagi dakwaan media mengenai keintiman KD dengan ahli perniagaan dari Timor Leste itu apabila usaha media menjejak bintang popular itu di Jakarta menemui kegagalan kerana KD mempunyai undangan persembahan sempena hari kemerdekaan Timor Leste.
Walaupun pengurus KD, Selby enggan memberi komen mengenai berita itu kerana menyatakan tidak berhak membuat ulasan, tetapi Penerbit KD Production, Hadi Sunyoto mengakui yang Anang sudah menjatuhkan talak kepada penyanyi yang pernah menjuarai rancangan Asia Bagus itu.
"Anang memberitahu aku yang dia sudah bercerai dengan KD. Secara agama sudah, tapi secara hukum belum. Kata Anang, semuanya akan diselesaikan selepas KD pulang dari luar negara termasuklah mengenai pembahagian harta," ujar Hadi.
Apa yang pasti, selepas 13 tahun KD dan Anang menyulam cinta, suka, duka dan air mata demi kebahagiaan rumah tangga dan kemasyhuran bersama, akhirnya gerhana yang tercipta membuatkan mereka kecundang juga.
"Hingga kini, aku dan anak-anak cuba untuk tegar," ungkap Anang dengan seraut wajah penyesalan.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


