RENCANA UTAMA

RON95 mesra alam

RON95 mesra alam

Ia sesuai bagi kebanyakan enjin kenderaan dan boleh menyumbang kepada kualiti udara yang lebih bersih.


KEBANYAKAN enjin kenderaan sekarang menggunakan teknologi yang sesuai dengan petrol RON95.


RON adalah singkatan kepada Research Octane Number merupakan kadar untuk menyukat ketahanan terhadap ketukan (knocking) sesuatu minyak petrol di dalam enjin manakala Petrol RON95 merujuk kepada campuran 95 peratus iso-oktana dan lima peratus heptana.

Mulai hari ini, kerajaan memperkenalkan petrol RON95 di seluruh negara. Pada masa yang sama petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran. Ini kerana penggunaan RON92 adalah kecil iaitu sekitar lima peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan penjualan petrol di negara ini.

Justeru, kerajaan mengambil langkah memperkenalkan RON95 bagi memastikan pengguna mendapat faedah langsung produk petroleum yang lebih berkualiti pada harga subsidi.

Spesifikasi

Pada masa sama, ia juga merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengurus sumber tenaga negara bagi menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan mengurangkan tanggungan subsidi ke atas produk petrol.

Bagaimanapun, petrol RON97 masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan yang memerlukan nilai RON minimum 97 terutamanya kenderaan-kenderaan yang berkuasa tinggi.

Selain itu, petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M. Ia dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada pengeluaran asap kenderaan. Spesifikasi EURO2M merupakan standard baru bagi petrol dan diesel yang akan diguna pakai mulai esok selaras dengan penggunaan RON 95 di seluruh negara.

Penggunaan EURO2M akan mengurangkan kandungan sulfur dalam petrol dan diesel dari 3,000 parts per million (ppm) kepada 500 ppm yang akan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di udara. Keadaan ini sudah tentu dapat menyumbang kepada kualiti udara yang lebih baik.

Kualiti udara

Sejak pengumuman pelaksanaan RON95, pelbagai pihak tampil memberi pandangan berkenaan kesesuaian langkah kerajaan memperkenalkan RON95.

Tidak dinafikan masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai persepsi bahawa produk ini boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi enjin kenderaan mereka.

Pengguna boleh merujuk buku panduan kenderaan atau pengeluar enjin kenderaan bagi memastikan tahap minimum RON yang diperlukan.

Kebanyakan enjin kenderaan ketika ini menggunakan teknologi yang direkabentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95.

Dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan seperti yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan, ia akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelak berlakunya fenomena ketukan enjin.

Sehubungan itu, sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan petrol RON95 adalah lebih 80 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan.

Kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat minyak telah mula memperkenalkan penjualan petrol RON95 di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya mulai 12 Mei 2009.


PETROL RON95 semakin diterima dalam kalangan pengguna di negara ini.


Dilaksanakan

Statistik menunjukkan 80 peratus pengguna telah bertukar menggunakan petrol RON95 berbanding RON97 di stesen-stesen yang terlibat. Selain itu, sehingga kini tiada rungutan atau aduan mengenai prestasi enjin kenderaan akibat daripada penggunaan petrol RON95. Ini menunjukkan kesesuaian produk tersebut kepada enjin kenderaan yang menggunakannya. Sehingga kini sebanyak 1,445 buah stesen minyak di seluruh negara telah menjual petrol RON 95 dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai hari ini.

Di samping itu, harga runcit petrol dan diesel masih mengekalkan kaedah Automatic Pricing Mechanism (APM). Kedudukan harga purata kos produk bulanan bagi petrol dan diesel akan menentukan kadar subsidi pada bulan tersebut.

Harga asas petrol RON95 ditetapkan pada RM1.75 seliter. Harga ini akan kekal sekiranya purata kos produk berada di antara AS$37.38 (RM131)setong dan AS$76.52 (RM270) setong. Pada paras harga purata AS$76.52 (RM270) setong, kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna.

Apabila purata kos produk meningkat melebihi AS$76.52 (RM270) setong, harga runcit akan dinaikkan di mana kerajaan masih mengekalkan subsidi sebanyak 30 sen seliter sehingga mencapai harga siling iaitu RM2.70 sen seliter.

Pada paras harga siling, kerajaan akan memberi subsidi melebihi 30 sen seliter apabila purata kos produk meningkat melebihi AS$118.48 (RM418) setong.

Memandangkan harga kos produk mengikut harga pasaran dunia dan sentiasa berubah-ubah, pengguna akan menikmati penurunan harga runcit petrol apabila purata kos produk menurun. Kerajaan akan menetapkan harga runcit petrol RON95 lebih rendah apabila purata kos produk berada di bawah AS$37.38 (RM131)setong.

Process time in ms: 32