GENK

Kumpul, simpan dan jual

Kumpul, simpan dan jual

Walaupun impian Azlie menjadi juruterbang tidak kesampaian, namun minatnya terhadap awan biru tidak pernah luput.


INI adalah model kesayangan Azlie.


DERETAN model kapal terbang miniatur yang tersusun di atas rak itu membuatkan sesiapa yang melihat berasa teruja.

Di sebuah bilik kecil tingkat bawah rumah Ahmad Nor Azlie Ramli, 29, terdapat lebih 50 himpunan model miniatur tersebut.

Azlie pernah memasang cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang.

Namun, impian itu tidak kesampaian. Bagaimanapun, minat beliau masih kekal dan terzahir menerusi koleksi miniatur kapal terbangnya.

Azlie berkata, dia mula giat mengumpul model kapal terbang sejak tahun 2007.

"Pada tahun tersebut, sebagai seorang jurutera, saya mempunyai banyak projek yang dijalankan dengan Malaysia Airlines System (MAS) dan sering berulang alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

"Saya mendapat akses ke bahagian lapangan dan dapat melihat kapal terbang pada jarak dekat. Sejak itu saya semakin obses kepada kapal terbang," katanya.

Kedai permainan

Model-model kapal terbang yang dimilikinya dibeli di kedai permainan sekitar Kuala Lumpur dan di KLIA.

"Pada mulanya saya beli model kapal terbang yang diperbuat daripada plastik ini pada harga RM29.90 dari sebuah kedai permainan. Bila saya letak dalam kereta, model itu mula rosak dan cair bila suhu terlampau panas.

"Koleksi terbaru saya kebanyakannya dihasilkan daripada besi 100 peratus dan dijual pada harga di antara RM49.90 hingga RM200," katanya.

Selain daripada model kapal terbang MAS dan AirAsia, Azli mempunyai koleksi model lain seperti Korean Air, KLM, British Airways, Egypt Air, Lion Air, Indian Airlines, Garuda, Thai Airways, Singapore Airlines, American Airlines, Air Canada dan banyak lagi.


AZLI menjaga setiap model miliknya dengan rapi.


Menurut Azlie, ada di antara himpunan kapal terbang miniaturnya telah diberikan kepada teman-teman dan ada yang telah dijual.

"Bila orang datang rumah kadang-kadang mereka suka koleksi saya. Saya beri kepada mereka sebagai cenderamata.

"Kalau diikutkan hati memanglah sayang tapi benda ini boleh dibeli lagi," katanya.

Kagumi MAS

Pemilik blog www.airplanemodel.blogspot.com itu juga mempamerkan sebahagian daripada koleksinya di dalam blog. Menerusi blog tersebut, orang ramai yang berminat boleh membeli kapal terbang miniatur yang mereka minati.

"Mengumpul model kapal terbang ini adalah sebahagian daripada hobi saya. Buat apa saya nak jual pada harga yang lebih mahal.

"Jika ada yang berminat dan ingin membeli, harganya adalah sama dengan harga saya membeli model itu," katanya.


KEMAS tersusun. Setiap model dipamerkan dengan teratur.


Azlie berkata, dia mengikuti setiap perkembangan MAS dan mengetahui dengan terperinci hampir kesemua pesawat yang digunakan oleh MAS. Dia begitu mengagumi MAS kerana kualiti, pencapaian dan khidmatnya yang bertaraf antarabangsa.

Malah katanya, MAS telah dinobatkan sebagai penerbangan lima bintang buat tahun keempat berturut-turut oleh penasihat penyelidikan industri penerbangan, Skytrax.

Azlie juga tahu banyak aspek mengenai kapal terbang termasuk mengumpul artikel dan foto.


AZLIE meminati apa sahaja mengenai kapal terbang termasuk artikel mengenainya.


Permainan simulator kapal terbang merupakan antara koleksi pelengkap kepada minatnya itu.

Selain itu, Azlie juga mengumpul beberapa permainan lain seperti figura aksi dan juga barangan Star Wars.

Process time in ms: 47