SUKAN

Skuad hoki STF makin digeruni

Skuad hoki STF makin digeruni


SKUAD hoki STF muncul juara peringkat kebangsaan bagi kategori SBP bawah 16 tahun.


JADUAL harian pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru sentiasa padat.

Bagaimanapun, bagi 38 orang pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah berkenaan, mereka masih mempunyai ruang dan masa untuk mengasah bakat dalam sukan hoki.

Segala-segalanya bermula dengan minat yang mendalam terhadap sukan tersebut termasuk usaha dan hasrat pihak sekolah menjadikan hoki sebagai salah satu aktiviti utama di sekolah berkenaan.

Selain itu, tarikan utama pelajar berkenaan menceburi sukan hoki turut disumbangkan dengan corak latihan yang menarik serta pendekatan 'tiada paksaan' ketika sesi latihan.

"Konsep saya adalah minat, jika minat apa yang dilakukan pasti mendatangkan keseronokan, manakala jika dipaksa pelajar akan rasa tertekan.

"Bagi pelajar tingkatan satu pula, saya tanamkan minat terhadap hoki dengan 'memanjakan' mereka semasa sesi latihan," kata jurulatih hoki STF, Nazarud- din Sharkan, 43.

Beliau yang telah terlibat dengan pembangunan sukan hoki STF sejak 16 tahun lalu menjelaskan bahawa 'memanjakan' pelajar junior bukan bermaksud memberikan mereka pelbagai kelebihan, cuma dalam latihan mereka tidak diberikan corak lati- han keras.


SITI ROISAH menunjukkan piala kejohanan yang dimenangi STF pada peringkat kebangsaan.


Tindakan itu katanya, berikutan kebanyakan pelajar yang menceburi sukan hoki di sekolah itu bermula daripada 'kosong' iaitu tidak mempunyai pengetahuan asas tentang hoki.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut berjanji kepada pelajar bahawa akan mencungkil bakat terpendam mereka, sekali gus menjadikan mereka pemain yang berkebolehan.

"Mereka kena berkorban dan perlu berlatih setiap petang selama sejam setengah bermula pukul 5 petang kecuali hari Sabtu dan Ahad.

"Pada waktu lain, skuad hoki digalakkan berlatih sendiri bagi memantapkan fizikal dan kemahiran masing-masing," katanya yang merupakan pembantu am di sekolah berkenaan.

Nazaruddin menambah, bagi mengelakkan anak-anak buahnya hilang tumpuan, beliau melarang mereka daripada menyertai sukan lain kecuali pada masa tertentu sahaja seperti sukan sekolah atau membabitkan asrama.

Ternyata usaha dan komitmen beliau serta dedikasi anak buahnya yang tidak mengenal erti penat dan putus asa selama ini sudah mula membuahkan hasil.

Tahun ini, pasukan hoki STF muncul juara peringkat kebangsaan bagi pertandingan kategori Sekolah Menengah Berasrama Penuh (SBP) bawah 16 tahun dengan menewaskan Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu 2-0 pada perlawanan akhir.

Lebih manis, kejohanan yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Selangor pada Jun lalu itu menobatkan beberapa pemain STF sebagai pemain terbaik pertandingan akhir, penjaga gol terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan.


BANGGA... Nur Azlin ditabalkan selaku penjaring terbanyak.


Manakala bagi umur bawah 18 tahun dan 14 tahun pula, STF tidak kurang hebatnya apabila muncul juara pada kejohanan peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Johor.

Bagi Nazaruddin, dalam setiap kejohanan yang disertai, beliau akan memilih pemain berdasarkan kemampuan dan kecergasan mereka dan bukannya faktor umur.

"Sebab itu dalam skuad bawah 18 tahun, saya turut senaraikan pemain berusia 14 tahun," kata- nya.

Sementara itu, pengurus pasukan hoki STF, Siti Maimunah Pakkan, 34, turut berbangga dengan pencapaian anak buahnya.

Beliau yang telah enam tahun terbabit dengan skuad hoki STF berhasrat untuk menjadikan pasukannya antara yang digeruni pihak lain.

"STF terkenal dengan pasukan pancaragamnya yang sering muncul juara pada mana-mana pertandingan, jadi saya turut berhasrat menjadikan skuad hoki sebagai pasukan yang kuat dan berpengaruh," katanya.

Process time in ms: 15